A Singapore Government Agency WebsiteHow to identify 
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites  

Secure websites use HTTPS

Look for a lock (lock) or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Speech by Senior Parliamentary Secretary Dr Syed Harun Alhabsyi at the Persatuan Pemudi Islam Singapura's Kampung Bijak 2026 (In Conjunction with Bulan Bahasa)

Published on: 12 Sep 2026

NewsSpeeches

Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim,

Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Puan Aidaroyani Adam, ibu bapa, kakitangan dan para pelajar Pusat Jagaan Pelajar 7oaks

Hadirin yang saya hormati,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam sejahtera

PENGENALAN

1.Oleh sebab Profesor Madya Dr Razwana sudah menjual pantun di penghujung ucapan beliau tadi, izinkan saya membalas pantun beliau.

Bunga Melati mekar berseri,
Indah tersusun menghiasi laman;
Bahasa penting, dekat di hati,
Penyuluh budaya, pejuang warisan.

2.Terima kasih Presiden PPIS atas ucapan yang penuh semangat dan inspirasi. Saya berbesar hati dapat bersama anda semua di Kampung Bijak ini, sempena sambutan Bulan Bahasa yang begitu bermakna.

3.Tema Bulan Bahasa 2026 – “Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.” amat bertepatan. Ia menyerlahkan aspirasi kita untuk terus memartabatkan bahasa Melayu dengan mengimbau kembali kenangan dan nilai kehidupan kampung, menghargai keindahan bahasa serta budaya, dan pada masa yang sama, menyemai kemahiran serta pemikiran yang akan membimbing generasi kita, terutama pelajar Pusat Jagaan Pelajar 7oaks, ke arah masa depan yang cerah.

BAHASA CERMINAN BUDAYA

4.Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi. Dalam setiap patah kata yang diucapkan, tersimpan nilai. Bahasa berupaya untuk memulih keperitan, memberikan ketenangan dan menghubungkan sesama insan. Bahasa juga membentuk cara kita mentafsir dunia, menyampaikan hujah dan saling memahami pandangan yang berbeza. Bahasa juga memupuk kepercayaan dan menyuburkan jiwa sesuatu bangsa. Bahasa wahana pemikiran kreatif lagi dinamik; pembawa kekayaan warisan leluhur kita sambil kita mengharungi cabaran zaman yang baharu.

AKTIVITI MENARIK DAN RERUAI KEUSAHAWANAN

5.Saya berpeluang melawat reruai-reruai interaktif yang diusahakan oleh pelajar-pelajar Pusat Jagaan Pelajar 7oaks. Sebagaimana yang dikongsikan oleh Profesor Madya Dr Razwana saya bangga dengan kesungguhan dan kegigihan para pelajar muda kita.

6.Sempena Bulan Bahasa, saya berharap agar para pelajar bukan sahaja dapat memperkukuhkan kemahiran bahasa Melayu yang dipelajari, malah berpeluang mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Penggunaan bahasa Melayu secara aktif dalam berkomunikasi, berkongsi idea dan berinteraksi bersama rakan-rakan akan menjadikan pembelajaran bahasa lebih bermakna dan menyeronokkan.

7.Perlulah kita berikan kepada anak-anak kita, secara berterusan, ruang dan peluang untuk meneroka, berkarya serta menyampaikan idea dalam bahasa ibunda mereka. Segala usaha kita untuk menyemarakkan penggunaan bahasa ibunda bukan sahaja bertempat di bilik darjah dan sekolah-sekolah kita, malah ia perlu disemai, disuburkan dan dibiasakan penggunaannya di rumah.

8.Seiring dengan itu, kepada para guru, ibu bapa dan hadirin sekalian, terima kasih atas segala sokongan yang dicurahkan. Dengan usaha gigih dan bimbingan semasyarakat, generasi muda kita berkembang maju menjadi insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

9.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dua inisiatif yang dirancang oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) untuk menyuburkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Inisiatif pertama ialah Pertandingan Katapella. Melalui Katapella, pelajar-pelajar sekolah rendah berpeluang mengekspresikan diri secara artistik melalui nyanyian dan koreografi aksi yang berharmoni. Katapella turut membina keyakinan diri dan semangat berpasukan, kerana setiap persembahan dilakukan bersama-sama di atas pentas.

10.Selain Katapella, terdapat satu lagi acara bahasa dan budaya anjuran MLLPC yang menyatukan pelajar-pelajar sekolah rendah dari pelbagai sekolah untuk bersama-sama menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka dalam bahasa Melayu. Acara yang dipanggil Fiesta Bahasa ini merupakan ruang untuk para pelajar bertutur dan berkarya dalam bahasa ibunda mereka melalui pelbagai aktiviti, pertandingan dan persembahan yang meriah.

11.Saya berharap agar semangat yang ditunjukkan hari ini di Kampung Bijak akan terus menyala apabila para pelajar menyertai Pertandingan Katapella dan Fiesta Bahasa pada tahun hadapan.

PENUTUP

12.Tuan-tuan & puan-puan, akhir kata, mungkin kadangkala kecenderungan kita menggunakan bahasa Melayu kurang menyerlah. Ada antara kita yang kurang keyakinan dalam penggunaan bahasa secara formal, atau risau akan penguasaan kosa kata. Namun, bak pepatah Melayu – alah bisa, tegal biasa.

13.Sebagai masyarakat yang menghargai bahasa dan warisan budaya, marilah kita – ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan golongan belia – terus berganding bahu untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu terus berkembang dan mekar seiring dengan perubahan zaman.

14.Usaha ini mampu dimulakan dengan langkah-langkah yang kecil lagi kelihatan sederhana, seperti bertutur seharian dalam bahasa ibunda di rumah, membudayakan amalan membaca buku-buku bahasa ibunda bersama anak-anak kita, serta menyokong inisiatif-inisiatif yang menggalakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu secara kreatif dan berinovasi, seperti acara Kampung Bijak hari ini.

15.Basahkan lidah kita dengan bahasa Melayu yang dicintai bersama, kerana Bahasa itu satu jendela kepada keindahan warisan dan budaya kita.

16.Saya ucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada Pusat Jagaan Pelajar 7Oaks dan PPIS atas inisiatif Kampung Bijak ini. Semoga usaha murni kita bersama terus maju jaya dalam melestarikan Bahasa Melayu kita.

Bunga Kenanga di tepi taman,
Tumbuh segar, harum mewangi;
Warisan bangsa dilupa jangan,
Bahasa dijaga, budaya dilestari.

17.Sekian, terima kasih.