Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
[PEMBUKAAN]
Yang berbahagia rakan seperjuangan, Menteri Negara Zhulkarnain Abdul Rahim
Mantan Pengerusi MLLPC, Encik Hawazi Daipi
Rakan-rakan kongsi daripada pertubuhan seni, sastera, budaya dan persatuan akar umbi,
Para wakil dari Kementrian Pendidikan, pegawai sekretariat MLLPC,
Pendidik, para pelajar, hadirin dan hadirat yang saya muliakan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
1.Setinggi-tinggi rasa kesyukuran kita panjatkan dengan dapatnya kita berhimpun bersama pada hari yang penuh bersejarah ini untuk meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). Bagi pihak MLLPC, sekalung budi penghargaan saya tujukan kepada semua yang hadir pada upacara yang penuh bermakana ini.
2.Sambutan dua dekad ini membawa tema yang amat indah dan bermakna: “20 Tahun Menyemai Bahasa, Menuai Generasi”. Tema ini merangkumi seluruh denyut nadi dan perjalanan MLLPC sejak awal penubuhannya. Menabur benih bahasa dan menyiram tunas budaya bukanlah usaha sehari dua; ia menuntut kesabaran, iltizam dan perhatian yang berterusan agar apa yang kita semai hari ini dapat dituai sebagai generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berakar umbi budi pekertinya.
Tuai padi antara masak,
Disemai benih subur berpucuk;
Dua dekad MLLPC bertapak,
Generasi dituai bahasa dipupuk.
[PENGHORMATAN KEPADA MANTAN PENGERUSI]
3.Hadirin yang dihormati sekalian, ladang perjuangan MLLPC yang subur pada hari ini tidak bermula dengan sendirinya. Ia dibuka, dibajak dan dibangunkan dengan penuh wawasan oleh barisan pengerusi terdahulu. Pepatah Melayu mengingatkan kita, “Yang lama dikelek, yang baharu didukung” dan sesungguhnya, “Tanpa yang lama, tiadalah yang baharu”.
4.Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan mantan Pengerusi MLLPC yang telah meletakkan asas kukuh dalam proses menyemai bahasa:
- Encik Hawazi Daipi, yang telah menyemai benih pertama penubuhan MLLPC;
- Encik Masagos Zulkifli, yang telah meletakkan asas visi yang kukuh, sekali gus memacu MLLPC dalam merangka hala tuju yang strategik;
- Encik Hawazi Daipi, yang menyuburkan usaha tersebut dengan meluaskan jaringan kolaborasi serta memperkasakan inisiatif pembelajaran kreatif;
- Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, yang terus menyemarakkan pembaharuan dan mendekatkan MLLPC kepada jiwa generasi muda; dan
- Dr. Mohamad Maliki Osman, yang membawa dinamisme, inovasi, serta memantapkan peranan MLLPC dalam landskap pendidikan semasa.
5.Setiap mantan pengerusi telah menyumbang tenaga, mencanang pembaharuan dan memperkukuh keupayaan MLLPC sehingga kini.
[PENGHARGAAN ATAS SUMBANGAN AHLI JAWATANKUASA]
6.Hadirin dan hadirat sekalian, di samping kepimpinan para mantan pengerusi, kekuatan tunjang MLLPC turut digembleng oleh barisan Ahli Jawatankuasa MLLPC yang terdiri daripada para ketua masyarakat, tokoh budayawan, cendekiawan, serta pakar dalam bidang masing-masing; sama ada dalam bidang persuratan, pendidikan, media, seni, mahupun pembangunan belia.
7.Bak kata pujangga, “Ibarat seikat lidi, jika dihimpunkan pelbagai kepakaran, tersimpul kukuh membersihkan laman.” Kehadiran tokoh-tokoh berwibawa ini telah menyuntik kepelbagaian perspektif, bimbingan strategik, serta idea-idea bernas yang memandu MLLPC merangka dasar dan program yang relevan.
8.Sumbangan para ahli jawatankuasa amat besar:
- Menjadi jambatan penghubung antara dasar pendidikan dengan aspirasi sebenar masyarakat di peringkat akar umbi;
- Menyumbang kepakaran bidang untuk memastikan program yang dirangka bertepatan dengan peredaran zaman dan cita rasa generasi masa kini, tanpa menjejaskan nilai tradisi; serta
- Meluangkan masa, buah fikiran dan tenaga secara sukarela demi memastikan agenda pemerkasaan bahasa Melayu terus mampan.
9.Tanpa bimbingan, pandangan kritis dan komitmen padu barisan ahli jawatankuasa sepanjang 20 tahun ini, MLLPC tidak akan mampu melangkah sejauh ini dengan begitu utuh. Sekalung budi dan penghargaan tulus ikhlas saya tujukan kepada kesemua ahli jawatankuasa yang pernah dan sedang berkhidmat bersama MLLPC.
[PENGHARGAAN KEPADA BARISAN SEKRETARIAT]
10.Hadirin yang saya kasihi, jika pengerusi merencana wawasan, maka barisan Sekretariat MLLPC sepanjang 20 tahun inilah ‘penyemai’ setia yang berada di barisan hadapan, membanting tulang di balik tabir.
11.Tanggungjawab para pegawai sekretariat amat luar biasa. Mereka bukan sahaja memikul amanah utama sebagai perancang dan pembangun kurikulum, malah mengimbangi tuntutan tugas tambahan, iaitu mengurus tadbir pendanaan, menyusun logistik dan menggerakkan puluhan program MLLPC dengan cemerlang.
12.Usaha yang dilaksanakan para sekretariat ibarat menabur benih tanpa memilih tanah. Segala keringat, masa dan komitmen yang dicurahkan oleh sekretariat ialah denyut nadi MLLPC. Tanpa dedikasi mereka yang menggerakkan jentera ini dari hari ke hari, tidak mungkin kita dapat menuai kejayaan dan meraikan detik bermakna ini. Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada seluruh warga sekretariat, dahulu dan sekarang.
[PENGHARGAAN KEPADA RAKAN KONGSI DAN KOMUNITI]
13.Sidang hadirin sekalian, usaha menyemai bahasa demi menuai generasi memerlukan seluruh ekosistem masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu.
14.Kejayaan MLLPC selama 20 tahun ialah hasil sinergi kukuh pelbagai pihak:
- Pihak sekolah dan para guru yang gigih menyiram benih minat dan cinta terhadap bahasa Melayu dalam bilik darjah;
- Pertubuhan-pertubuhan seni dan budaya serta persatuan sastera yang menghidupkan khazanah warisan melalui karya pentas, penulisan dan budaya;
- Persatuan-persatuan akar umbi serta rakan masyarakat yang sentiasa menyediakan wadah dan ruang pelibatan kepada anak-anak kita.
15.Apabila kita mempunyai matlamat yang sama, impak yang kita berikan kepada pelajar menjadi menyeluruh dan mendalam. Pada akhirnya, kita ingin melihat hasil tuaian ini, iaitu suara generasi muda kita yang terus didekati dan berdiri megah melaungkan keindahan bahasa, kehalusan sastera dan ketinggian adab budaya Melayu.
[HALA TUJU MLLPC MASA HADAPAN]
16.Hadirin yang dihormati, melangkah ke dua dekad yang seterusnya, landskap pembelajaran semakin dinamik dengan kemajuan teknologi dan kepesatan dunia digital. Namun, matlamat MLLPC tetap jelas dan tidak berganjak.
17.MLLPC akan sentiasa memperkukuh kerjasama semua, serta memastikan setiap program yang dilaksanakan dan didanai benar-benar memberikan nilai tambah serta pengalaman autentik kepada pelajar kita, demi kelangsungan dan pelestarian bahasa, sastera dan budaya Melayu.
18.Dalam dunia digital yang berkembang pesat, kita juga harus terus meneroka bagaimana teknologi dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran bahasa. Teknologi harus menjadi jambatan yang mendekatkan generasi muda kepada bahasa dan budaya mereka, bukan menjauhkan mereka daripadanya.
19.Kita juga ingin melahirkan anak bangsa yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, malah teguh jati dirinya dan berakar pada warisan serta berdaya saing di persada dunia.
[PENUTUP]
20.Akhir sekali, marilah kita bersama-sama memperbaharui tekad. Teruskanlah usaha murni ini, teruslah berganding bahu, agar setiap benih bahasa yang kita semai hari ini akan terus bercambah mekar dan dituai oleh generasi demi generasi akan datang.
Subur menghijau pohon di taman,
Rendang berteduh si anak rusa;
Menyemai bahasa zaman-berzaman,
Menuai generasi penegak bangsa.
21.Sekali lagi, tahniah kepada MLLPC atas sambutan ulang tahun ke-20. Semoga usaha kita terus diberkati dan berkekalan demi masa depan anak-anak kita. Ingatlah pesan dahulu kala “Bulat air kerana pembentung. Bulat manusia kerana muafakat”.
22.Sekian, terima kasih.