A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Dr Syed Harun Alhabsyi Anggota Parlimen GRC Nee Soon Dan Pengerusi, Jawatankuasa Pembelajaran Dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) Di Fiesta Bahasa 2025 Di Anjung, Wisma Geylang Serai

Last Updated: 26 Jul 2025

News Speeches

Para tetamu undangan, Anggota Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), pegawaipegawai Kementerian Pendidikan Singapura, wakil-wakil pertubuhan, para guru, ibu bapa, pelajar serta hadirin sekalian, salam sejahtera.

Bahasa indah warisan bangsa,

          Dijunjung tinggi sepanjang waktu;

Selamat datang ke Fiesta Bahasa,

          Kekalkan bahasa, kita bersatu.

Pengenalan

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua kerana telah meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan Fiesta Bahasa 2025. Program unggul dwitahunan anjuran MLLPC ini telah memasuki tahun yang kesepuluh penganjurannya. Tahun ini, Fiesta Bahasa bertujuan untuk memupuk keseronokan mempelajari bahasa Melayu melalui platform yang inovatif dan imaginatif, serta memperkasa generasi muda dalam penggunaan bahasa Melayu dengan yakin melalui persembahan dan penyampaian kreatif.

2. Saya amat teruja melihat begitu ramai guru, pelajar dan ibu bapa yang turut serta dalam acara hari ini. Hal ini mencerminkan komitmen kita untuk memastikan bahasa Melayu kekal relevan dalam komunikasi harian dan kekal dipraktikkan. Pada masa yang sama, kita juga akur bahawa pengaruh media sosial dan perubahan landskap penggunaan bahasa ibunda berdepan dengan cabaran baharu, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Justeru, kita perlu bijak mencipta persekitaran pembelajaran bahasa Melayu yang menyeronokkan.

Tema Fiesta Bahasa 2025

3. Bahasa merupakan asas pada proses berfikir. Bahasa membentuk cara kita mentafsir dunia, menyampaikan hujah, dan memahami pandangan yang berbeza. Bahasa juga mampu mengubah persepsi, membina nilai, dan mendorong tindakan yang progresif dalam masyarakat.

4. Tema Fiesta Bahasa "Mencetus Pemikiran, Meneraju Perubahan" pada tahun ini amat bertepatan dengan realiti semasa. Tema ini dipilih khas dan menekankan peranan bahasa bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi sebagai pemangkin kepada pemikiran kritis. Dalam era digital kini, bahasa Melayu merupakan wahana yang mampu menyampaikan pemikiran kreatif dan berpotensi menjadi agen perubahan yang dinamik.

Aktiviti Menarik Dan Reruai Pembelajaran Interaktif

5. Fiesta Bahasa kali ini menampilkan sebelas reruai pembelajaran interaktif yang diusahakan oleh sekolahsekolah dan Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB). Saya gembira mendapat tahu bahawa reruai ini turut dikendalikan oleh para guru dan pelajar dari peringkat prasekolah hingga prauniversiti. Reruai-reruai yang bersifat interaktif ini memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melalui pelbagai bentuk pembelajaran bahasa Melayu yang menarik dan menyeronokkan. Melalui pendekatan reruai ini, pengunjung seakan-akan melalui pengalaman belajar Bahasa Melayu di pelbagai institusi dan sekolah di satu lokasi.

6. Yang jelas, aktiviti-aktiviti yang telah dirancang ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut merangsang daya pemikiran kritis dan kreativiti para pengunjung. Melalui aktiviti-aktiviti bahasa bersifat amali ini, para pelajar dapat menghayati penggunaan bahasa Melayu dalam konteks kehidupan sebenar.

Pertandingan Cipta Kata

7. Sempena Fiesta Bahasa 2025, sebuah pertandingan Cipta Kata yang julung-julung kali diadakan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada sekolah-sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti. Saya berbesar hati mengetahui bahawa terdapat juga kategori terbuka untuk menggalakkan penyertaan secara spontan dalam kalangan hadirin. Saya menggalakkan anda semua untuk menyertai Pertandingan Cipta Kata!

Sambutan Sg60: Peraduan Menulis Cerpen 'Orang Singapura'

8. Sempena sambutan SG60 pada tahun ini, MLLPC, melalui Fiesta Bahasa akan meraikannya melalui tiga perkara. Pertama, menganugerahkan pemenang-pemenang Peraduan Menulis Cerpen 'Orang Singapura'. Walaupun pertama kali dianjurkan, peraduan telah menerima lebih daripada 550 penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah rendah hingga ke posmenengah. Syabas, bagi semua yang telah turut serta!

Sambutan Sg60: Buku Rekod Singapura

9. Kedua, sebentar nanti, kita akan bersama-sama mencipta rekod baharu dalam Buku Rekod Singapura dengan menari sambil menyanyikan lagu 'Orang Singapura' ciptaan Pak Zubir Said. Tarian ini menggabungkan seni pergerakan yang ceria dan anggun yang turut mencerminkan kesopanan dan kelembutan budaya masyarakat Melayu seperti yang digambarkan dalam lagu tersebut.

Sambutan Sg60: Maskot Arif Dan Suri

10. Ketiga, bagi menandakan sedekad penganjuran Fiesta Bahasa, saya dengan sukacitanya memperkenalkan dua maskot baharu – Arif dan Suri. Nama mereka telah diilhamkan daripada'arif budiman' dan 'suri teladan'. Kehadiran mereka melambangkan aspirasi kita untuk melahirkan generasi yang arif, budiman dan mencintai bahasa dan warisan kita. Maskot-maskot ini bakal menjadi duta bahasa animasi kita yang baharu.

Penutup

11. Kepada para guru, ibu bapa, dan hadirin sekalian, saya ucapkan terima kasih atas sokongan anda yang tidak terhingga. Usaha gigih anda dalam mendidik dan membimbing generasi muda kita amat dihargai. Seperti kata pepatah Melayu, 'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', usaha memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama erat antara semua pihak. Dengan semangat perpaduan yang berterusan, segala cabaran dapat kita tangani bersama-sama.

12. Ayuh kita sama-sama melestarikan bahasa Melayu, dalam Fiesta Bahasa 2025!

Bunga raya mekar di taman,

          Harum semerbak pagi menjelang;

Arif dan Suri membawa harapan,

          Bahasa kita terus gemilang.

Berlayar sampan di lautan biru,

          Ombak membuai tiada henti;

Marilah kita bersama maju,

          Bahasa Melayu sentiasa di hati.

Sekian, terima kasih.