A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Dr. Mohamad Maliki Bin Osman, Menteri Kedua Pendidikan, Di Pertandingan E-Piala Suara Serumpun 2020, Pertandingan Dikir Barat Peringkat Nasional Antara Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, Pada Sabtu

Published Date: 07 November 2020 12:00 PM

News Speeches

Selamat petang dan salam sejahtera saya ucapkan kepada panel pengadil yang arif, para aktivis yang berdedikasi dan para penonton yang saya hormati.

Izinkan saya memulakan ucapan saya dengan serangkap pantun.

Burung kedidi terbang rendah,

Pisang sesisir dimakan undan;

Pertama kali dalam sejarah,

Kita berdikir dalam talian.

PENGENALAN

1. Sejujurnya, apabila saya mula-mula mendapat tahu tentang rancangan untuk mengadakan pertandingan dikir barat dalam fasa kedua ini, saya berasa agak khuatir. Bagaimanakah persembahan dikir barat yang penuh bertenaga dan memerlukan anggota-anggotanya untuk bernyanyi dengan lantang secara serentak, mampu mematuhi arahan jarak selamat dan memastikan para aktivisnya tidak memikul risiko dijangkiti COVID-19?

2. Namun setelah saya meneliti format pertandingan serta mengenal pasti langkah-langkah keselamatan yang telah diambil pihak penganjur, saya berasa lega dan kagum. Pertandingan sebegini yang langsung tidak dijangkakan dapat diadakan beberapa bulan yang lalu, telah berjaya dilaksanakan dengan baik oleh sekumpulan anak muda daripada Serumpun Dk Sg dan kumpulan dikir barat Andika Kencana. Setinggi-tinggi tahniah buat mereka!

3. Pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap kehidupan di serata dunia. Dalam kita membiasakan diri dengan norma-norma baharu, pelitup dan jarak selamat merupakan elemen-elemen penting yang sudah menjadi agak sebati dalam kehidupan seharian kita. Biarpun kes-kes baharu di Singapura berada pada paras yang rendah dan terkawal, selaku rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa berwaspada agar gelombang kedua di Singapura dapat dielakkan dan penularan wabak ini tidak berulang lagi.

4. Meskipun pergerakan kita terbatas, kita tidak seharusnya mengaku tewas dan membiarkan aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan seperti dikir barat, terkubur tanpa usaha untuk melestarikannya. Dikir barat sememangnya merupakan salah satu cabang seni yang bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan diri belia kita; dikir barat juga memberikan penekanan pada penggunaan bahasa Melayu yang bermutu. Oleh sebab itulah, usaha untuk menjalankan pertandingan ini amat dialu-alukan agar kita dapat sama-sama berjuang untuk terus menyemai minat terhadap seni dikir barat yang kita cintai.

5. Saya telah dimaklumkan bahawa memandangkan pertandingan ini dijalankan melalui wadah Zoom, pihak penganjur pada mulanya menjangkakan hanya 10 kumpulan sahaja yang mungkin mengambil bahagian. Namun, dengan 15 kumpulan yang akhirnya menyahut cabaran untuk menyertai pertandingan ini, ia membuktikan kegigihan, kesungguhan, semangat padu anda serta rasa cinta yang teramat terhadap seni ini. Hal ini juga membuktikan bahawa dengan penglibatan semua pihak, kita masih mampu menjalani kehidupan biarpun dalam suasana yang berlainan. Tahniah saya ucapkan kepada semua pendikir yang terlibat!

6. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, ingin saya tekankan bahawa kalah menang sudah menjadi adat pertandingan. Namun itu tidak seharusnya menjadi matlamat utama penyertaan. Saya berharap mereka yang menyertai pertandingan ini lebih terdorong oleh rasa cinta terhadap seni, budaya dan bahasa Melayu.

7. Akhir sekali, saya amat berbesar hati diundang untuk sama-sama menjayakan pertandingan ini. Jutaan terima kasih saya hulurkan kepada pergerakan Bapa Sepanjang Hayat, Serumpun DK SG dan kumpulan dikir barat Andika Kencana kerana mengambil inisiatif untuk menjalankan pertandingan ini. Semoga segala usaha yang dijalankan dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

Ikan sembilang ikan gelama,

Di bawah titi tumpang berehat;

Kuatkan semangat teruskan usaha,

Majulah seni bangsa berdaulat!

8. Sekian, terima kasih.