A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Oleh Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Kedua Pendidikan, Di Acara Kemuncak Peraduan Mencari Suara Si Feri Pada Ahad, 20 September 2020

Published Date: 20 September 2020 12:00 AM

News Speeches

1. Salam sejahtera dan selamat petang semua. Saya berbesar hati dapat bersama-sama anda hari ini dalam Acara Kemuncak Peraduan Mencari Suara Si Feri yang merupakan sebahagian daripada sambutan Pesta Buku Melayu Singapura 2020 selama seminggu.

2. Saya difahamkan acara ini pada asalnya dirancang pada bulan Mac tetapi terpaksa ditangguhkan dek COVID-19.

3. Saya gembira kerana pihak penganjur telah berjaya mengubah suai acara ini ke bentuk maya. Ini suatu innovasi yang patut dibanggakan.

4. Saya berharap anda semua akan berasa seronok petang ini mendengar kisah-kisah menarik yang akan disampaikan oleh peserta dengan suara-suara mereka yang menawan.

Peri Pentingnya Memelihara Bahasa Ibunda

5. Ramai di antara kita terdedah kepada kedua-dua Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda.

6. Kebolehan berdwibahasa telah memberikan banyak manfaat kepada kita:

a. Kajian menunjukkan bahawa pembelajaran dua bahasa dapat lebih menyumbang kepada kemahiran kognitif dan sosio-emosi seseorang .

b. Kebolehan berdwibahasa juga menyediakan kita dengan lebih banyak peluang, terutamanya dengan kebangkitan Cina, India, dan negara-negara Asia yang lain.

7. Selain bermanfaat secara praktikal, dasar dwibahasa kita membolehkan setiap kaum mengekalkan tradisi, budaya dan warisan mereka yang berkait rapat dengan Bahasa Ibunda masing-masing. Ini telah menguatkan identiti berbilang budaya kita dan membantu kita untuk memahami jati diri kita sebagai rakyat Singapura sambil merai kepelbagaian kita.

8. Oleh kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa dominan yang digunakan dalam persekitaran pembelajaran dan pekerjaan di Singapura, ruang dan peluang untuk menggunakan Bahasa Ibunda kita telah menjadi lebih terhad dari masa ke masa.

9. Kita perlu mempertingkatkan usaha untuk memelihara Bahasa Ibunda dengan menggunakannya secara lebih kerap. Satu cara untuk melakukan demikian adalah melalui penceritaan.

10. Sebagai seorang anak muda dahulu, membaca buku telah membantu saya untuk lebih menghargai Bahasa Melayu. Salah satu cerita kegemaran saya yang tidak dapat saya lupa ialah kisah Si Tompok.

  1. Saya rasa ramai yang seusia dengan saya akan ingat cerita ini yang terdapat dalam salah satu siri buku Bacaan Cekap terbitan CDIS ketika itu.
  2. Cerita berkisarkan seekor kucing bernama Tompok. Tompok tinggal bersama seorang peladang bersama isterinya dan bayi yang baru lahir. Anak bayi itu bernama Comel.
  3. Pada suatu hari, peladang dan isteri keluar bekerja di ladang mereka. Comel sedang tidur dan Tompok duduk disebelahnya. Tiba-tiba datang seekor ular sawa datang mendekati Comel. Tompok terus menerkam ular itu dan mereka bergelut seketika. Sementara itu, Comel terjaga dan merangkak dan bersembunyi di bawah katil.
  4. Tompok berjaya menawan ular sawa itu dan membunuhnya. Tompok menggigitnya dan membawanya ke dapur.
  5. Ketika itu, peladang dan isteri pulang dari ladang. Mereka terperanjat melihat Comel tiada di atas tilam tidurnya. Dalam ketakutan mereka memanggil dan mencari Comel. Mereka ke dapur dan ternampak Tompok sedang mengunakan mulutnya membersihkan kesan darah di badannya. Tanpa menyiasat, isteri peladang terus mengambil sebatang penyapu dan memukul Tompok. Sangkanya Tompok telah memakan atau menggigit anaknya Comel.
  6. Tompok mengiau kuat pada mulanya tetapi tidak lama kemudian, suaranya tidak kedengaran. Tompok mati dibunuh.
  7. Isteri peladang mengambil Tompok untuk membuangnya di dalam tong sampah dan terperanjat melihat bangkai ular sawa di dalam tong sampah.
  8. Ketika itu lah Comel merangkak keluar dari bawah katil dan dilihat peladang dan isteri.
  9. Mereka baru sedar bahawa Tompok telah menyelamatkan anak mereka dari serangan ular sawa. Peladang dan isteri amat menyesal kerana mereka membunuh Tompok tanpa usul periksa.
  10. Cerita ini sukar untuk dilupakan kerana memberi satu pengajaran supaya kita jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa usul periksa. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.
  11. Buku ini juga mempunyai ilustrasi yang begitu baik sekali – dengan suasana rumah kampung yang indah. Sukar untuk dilupakan.

11. Hari ini, terdapat lebih ramai keluarga muda Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu di rumah.

12. Salah satu cara ibu bapa muda dapat membiasakan anak mereka dengan persekitaran bahasa Melayu di rumah adalah dengan membaca buku secara lantang agar anak mereka terbiasa dengan Bahasa Melayu dan sebutan baku.

13. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan muzik untuk melibatkan dan menarik minat anak-anak mereka dalam bahasa Melayu. Tentunya, perkataan dan istilah baharu lebih mudah dipelajari apabila disertakan dengan lagu dan irama yang menarik.

Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS)

14. Semasa Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) 2019, satu pertandingan menulis cerita siri Feri telah dilancarkan.

15. Lima cerita terbaik daripada siri Feri telah dipilih dan akan diterbitkan tahun hadapan.

16. Pemenang-pemenang pertandingan bakat suara hari ini akan dipilih untuk menjadi bakat suara bagi buku audio Feri.

17. Saya bangga dengan usaha untuk melibatkan dan menarik minat generasi muda pada kesusasteraan Melayu tempatan. Pada zaman dahulu, penceritaan secara lisan merupakan satu-satunya cara untuk menyampaikan sesuatu cerita secara temurun, dari satu generasi ke satu generasi – namun tradisi ini tetap dapat kita teruskan hari ini dengan penggunaan teknologi. Semestinya, penceritaan dapat membantu menjadikan cerita lebih menarik kerana emosi sebenar pengarang dapat disampaikan dengan jelas lagi.

18. Saya juga mendapat tahu terdapat rancangan untuk menerbitkan buku elektronik bagi siri ini. Ini adalah satu perkembangan yang penting untuk melibatkan generasi pembaca Melayu masa hadapan, yang rata-ratanya warga natif digital. Usaha ini akan memudahkan mereka berinteraksi dengan cerita dan meraih pemahaman yang lebih mendalam tentang apa yang mereka baca.

19. Acara Peraduan Mencari Suara Si Feri dan Siri Feri lantas:

  • membuka peluang meneroka kandungan kreatif Melayu baharu; dan
  • meningkatkan kelompok bakat suara Melayu di Singapura; serta
  • mewujudkan peluang pekerjaan bagi mereka yang ingin menceburi kerjaya ini.

20. Untuk terus mempromosikan Bahasa Melayu kepada orang ramai, satu siri animasi berdasarkan kisah-kisah Feri mungkin boleh dihasilkan pada masa depan dengan sokongan daripada pemerintah dan syarikat-syarikat swasta.

21. Akhir kata, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua peserta hari ini atas penyertaan serta usaha anda.

22. Menang kalah adat pertandingan. Tidak kira apa jua keputusan, yang penting anda semua telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.

23. Pengalaman anda menyertai pertandingan sangat berharga dan dapat mendorong anda berkembang dan melakukan lebih baik lagi. Ini seharusnya lebih utama daripada keputusan pertandingan.

24. Oleh itu, saya menggalakkan anda untuk terus menggunakan bakat anda dalam bercerita dan menjadikan cerita-cerita yang anda sampaikan itu hidup untuk orang lain.

Terima kasih.