A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga, Di Majlis Ceramah Arif Budiman Ke-15 Anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura

Published Date: 15 July 2019 12:00 AM

News Speeches

Yang dihormati Encik Mohamed Noh Daipi
Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura Profesor Madya Dr Farish Ahmad Noor
Pensyarah Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang Para tetamu undangan Para guru dan hadirin sekalian Assalamualaikum wbh Selamat petang dan salam sejahtera

Pengenalan

1. Saya berbesar hati dapat bersama-sama anda di majlis Ceramah Arif Budiman ke-15 pada petang ini dan kita akan sama-sama menimba ilmu sebentar nanti.

2. Terlebih dahulu, selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada Profesor Madya Dr Farish Ahmad Noor kerana sudi menyampaikan ceramah dan  berkongsi pengetahuan serta pengalaman beliau dengan kita pada hari ini.

3. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin, tuan-tuan dan puan-puan, guru-guru Bahasa Melayu yang menunjukkan iltizam dan sokongan padu dengan menghadiri majlis pada petang Jumaat yang berbahagia ini.

Memperingati Dwiabad Singapura (Bicentennial Singapore)

4. Tahun 2019 merupakan tahun memperingati dwiabad ketibaan Stamford Raffles di Singapura. Tahun ini merupakan satu detik pengisahan yang kaya dengan sejarahnya. Namun natijahnya, sejarah kita tidak bermula pada tahun 1819. Sejarah kita sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada tahun tersebut.

5. Lebih daripada 700 tahun yang lalu, sikap keterbukaan kita terhadap kedatangan pelbagai manusia dan idea, telah menghubungkan kita kepada pelbagai arus geopolitik yang membentuk evolusi sejarah Singapura. Sejarah kita kaya dan mahal harganya – satu perjalanan sejarah sebuah pulau yang tidak lekang dihambat oleh kekurangan yang dimilikinya, tetapi sentiasa mampu maju ke hadapan melepasi hambatan dan kekangan serta cabaran demi cabaran yang ada. Kita tidak pernah berputus asa. Generasi demi generasi kita berusaha gigih bersama-sama sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa, bahasa dan agama membina keupayaan kita untuk mencapai keharmonian, kemakmuran dan kemajuan bersama.

6. Realitinya, kita semua saling terkait dalam evolusi sejarah ini. Kita terus menyokong antara satu sama lain dalam membina kedaulatan negara kita. Tahun 2019 merupakan masa untuk kita meneroka dan menggali sejarah silam yang membentuk jati diri kita, menghargai makna dan kepentingan sejarah kita untuk menghadapi masa hadapan dengan lebih yakin.

Singapura Sebelum Raffles

7. Tahun ini, Pusat Bahasa Melayu Singapura telah memilih ‘Singapura Sebelum Raffles’ sebagai tajuk Ceramah Arif Budiman ke-15 sempena memperingati dwiabad Singapura. Ini merupakan satu kesempatan bagi kita menyelidik sejarah Singapura. Pengetahuan tentang sejarah silam penting dalam memahami keterkaitan sejarah dan hubungan dalam pembentukan identiti unik warga Singapura dalam mengharungi arus-arus perubahan masa hadapan.

8. Pengetahuan tentang sejarah lampau Singapura dan rantau ini penting untuk kita membetulkan sebarang salah tanggap, stereotaip dan prejudis dalam kita memberi gambaran yang meluas dan menyeluruh untuk memahami perkembangan sejarah kita dan rantau ini. Pengetahuan tentang sejarah yang meluas pasti membantu guru-guru kita untuk menjelaskan dengan lebih baik lagi tentang kaitan sejarah dan perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu di Singapura dan Asia Tenggara kepada pelajar-pelajar mereka. Diharapkan para guru akan menggunakan pengetahuan yang diperoleh untuk menyuntik kesegaran dan keseronokan di samping meningkatkan kesedaran tentang fakta-fakta sejarah silam dan nilai-nilai penting yang boleh dipelajari menerusi pembelajaran bahasa Melayu dan interaksi guru dengan pelajar di bilik darjah.

Pembelajaran Bahasa Sepanjang Hayat

9. Sehubungan dengan perkara ini, Menteri Pendidikan Encik Ong Ye Kung menegaskan semula akan pentingnya pembelajaran bahasa ibunda dalam kalangan pelajar semasa Persidangan Guru 2019 pada bulan Jun lalu. Beliau menekankan tentang peri pentingnya mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam Bahasa Ibunda dari kecil lagi. Beliau menekankan bahawa pendidik perlu menanamkan rasa ingin tahu dan meneroka cara-cara baharu yang menarik untuk menyemai dan mengukuhkan minat pelajar terhadap sejarah dan budaya nenek moyang mereka, dan juga masyarakat Singapura yang lain. Bak kata orang: fasih bahasa, cinta budaya.

10. Marilah kita terus berusaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta bersikap reflektif dan sentiasa berusaha untuk menjadikan pembelajaran bahasa Melayu menarik, seronok dan berupaya meningkatkan keterujaan dalam kalangan para pelajar kita untuk terus mempelajari bahasa Melayu yang kita cintai bersama.

Laporan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD)’s dan Teaching and Learning International Survey (TALIS) 2018 atau Organisasi bagi Ekonomi dan Pembangunan dan Tinjauan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran

Hadirin sekalian,

11. Pada 19 Jun lalu, Kementerian Pendidikan telah menerbitkan laporan yang dikeluarkan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD)’s and Teaching and Learning International Survey atau Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi dan Tinjauan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran yang melibatkan guru-guru daripada 48 sistem pendidikan daripada seluruh dunia termasuk Singapura.

12. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa Singapura mempunyai tenaga pendidik yang muda, bersemangat dan berkemahiran tinggi, sentiasa berpeluang untuk mempertingkatkan kemahiran. Selain itu, para guru dan pemimpin sekolah juga terlibat aktif dalam pembangunan profesional dengan memberikan sokongan padu menerusi program induksi, pementoran dan program pembangunan guru yang berterusan. Dengan mengimbangi masa bekerja yang lebih baik dan melaksanakan amalan pengajaran yang menekankan pengaplikasian kemahiran dan pengetahuan, guru-guru Singapura percaya dan bersikap positif serta berkeyakinan untuk mengajar dalam persekitaran berbilang budaya dengan cemerlang.

13. Selain daripada kursus, seminar, program persidangan serantau yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa Melayu Singapura, usaha menganjurkan Ceramah Arif Budiman ini juga merupakan satu bentuk program pembangunan profesional bagi guru-guru kita kerana para guru boleh meraih pengetahuan yang mendalam daripada pakar yang diundang termasuklah tentang bahasa, sastera, sejarah, warisan dan budaya, serta nasihat yang boleh diterapkan dalam interaksi guru dengan pelajar khususnya, bagi memperluas dan memperkaya perspektif kita bersama.

Bulan Bahasa 2019

Hadirin yang dihormati sekalian

14. Tidak lama lagi, kita akan meraikan sambutan Bulan Bahasa yang ke-31.   Saya ingin menyeru supaya kita sama-sama menyokong usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura dengan mengambil bahagian dalam acara-acara yang disusun bagi Bulan Bahasa 2019 yang akan dilancarkan secara rasmi pada September depan. Banyak kegiatan bahasa, budaya dan sastera yang akan dianjurkan semasa Bulan Bahasa kelak.

15. Merenung semula pendekatan yang kita lakarkan bersama sejauh ini, terdapat pembangunan yang mantap dan komitmen yang kukuh dan mendalam daripada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Bulan Bahasa setiap tahun. Guru-guru Bahasa Melayu kita juga boleh terus turun padang di peringkat masyarakat untuk memperkaya proses pembelajaran anak-anak didik kita dan masyarakat Singapura keseluruhannya tentang bahasa, budaya, sastera dan nilai-nilai masyarakat Melayu.

16. Walaupun masih banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama, saya menyeru agar kita terus merancakkan lagi kegiatan-kegiatan kebahasaan dan kebudayaan dan meluaskan ruang pengaplikasian dan penggunaannya kepada anak didik kita dan masyarakat Singapura.

Penutup

17. Para hadirin sekalian, sebagai penutup, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Pusat Bahasa Melayu Singapura atas penganjuran Ceramah Arif Budiman yang ke-15 ini.  Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Profesor Madya Dr Farish Ahmad Noor kerana sudi berkongsi pengetahuan dan kepakaran beliau dengan kita semua.

18. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

Pohon keladi pohon selasih,
Hiasan jambangan di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Jadi kenangan sepanjang zaman.

19. Sekian, terima kasih.