A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga Di Seminar Bahasa Melayu 2019, Selasa, 19 Mac 2019, 8.30 Pagi Di Auditorium Moelc Bishan Anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura

Published Date: 19 March 2019 12:00 AM

News Speeches

Encik Mohamed Noh Daipi Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura

Profesor Madya Dr Norliza Jamaluddin Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia

Encik Sarkasi Said dan isteri

Para tetamu undangan, para guru dan hadirin sekalian Assalamualaikum Wr. Wb.

elamat pagi dan salam sejahtera

PENGENALAN

1. Saya berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan para pendidik bahasa Melayu pada pagi ini di Seminar Bahasa Melayu 2019 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS).

2. Saya ucapkan selamat datang dan terima kasih kepada Profesor Madya Dr Norliza Jamaluddin kerana sudi menyampaikan ucaptama dan berkongsi pengetahuan beliau dengan kita. Saya yakin, ilmu dan kemahiran beliau, khususnya dalam bidang pengajaran bahasa akan membawa manfaat kepada kita semua. Untuk pengetahuan anda, Dr Norliza bukanlah asing bagi kita. Beliau menyumbang sebagai pakar runding atau konsultan kurikulum Bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan dan pensyarah yang melatih guru-guru kita bagi kursus Tatabahasa sejak 2014 di MLCS. Terima kasih, Dr Norliza.

PERUBAHAN DALAM LANDSKAP PENDIDIKAN

3. Sejak lewat tahun lepas, pihak Kementerian Pendidikan telah mengutarakan banyak usaha pembaikan dan penyesuaian bagi meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan serta pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sekolah-sekolah digalakkan untuk menyuntik keseronokan dalam pembelajaran dengan mengurangkan penghafalan fakta dan latih tubi, dan memansuhkan beberapa ujian serta peperiksaan bermula sejak 2010. Kita mengurangkan pembezaan pencapaian akademik dengan memperbaharu sistem penggredan atau band pemarkahan bagi PSLE bermula 2021. Seterusnya, sistem penyaluran atau streaming di peringkat menengah akan dihentikan menjelang 2024 dan diganti dengan pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB Penuh).

4. Apakah kesan daripada perubahan-perubahan ini? Para pelajar kita tidak harus belajar hanya untuk keperluan peperiksaan semata-mata, tetapi mereka perlu dididik untuk menghargai tujuan pembangunan dan kecekapan diri serta mendakap nilai belajar sepanjang hayat. Untuk meningkatkan peluang anak-anak kita berjaya dalam kehidupan, kita harus memupuk dalam diri anak-anak kita sikap ingin tahu, membina keupayaan menyesuaikan diri dalam suasana alam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan yang sering berubah. Pemikiran asas seperti ini perlu disemai sejak kecil agar anak-anak kita berdaya bingkas (nimble) dan berjaya mengharungi perubahan yang berlaku.

AMALAN PENGAJARAN SINGAPURA

5. Bagaimanakah pendidik Bahasa Melayu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan kita? Tema Seminar Bahasa Melayu 2019, iaitu ‘Amalan Pengajaran Bahasa Melayu di Singapura’ amat bersesuaian dengan perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di Singapura. Amalan Pengajaran Singapura atau Singapore Teaching Practice (STP) perlu dijadikan pedoman dalam konteks persekitaran pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Para pendidik kita harus berusaha melaksanakan pendekatan dan kaedah pengajaran serta penilaian yang disarankan oleh STP bagi memastikan kita ‘berdiri sama tinggi’ dengan guru-guru yang mengajar subjek lain.

6. Saya amat gembira mengetahui MLCS telah menerbitkan buku rujukan berkaitan STP dan telah melatih sekitar 250 orang guru sejak lewat tahun lepas. Kursus ini penting bagi memastikan guru-guru dapat melaksanakan pengajaran yang lebih teratur, berkesan dan menyeronokkan di bilik darjah. Kini, para guru kita bukan sahaja mengajar dengan berlandaskan STP tetapi 126 orang guru yang akan menyampaikan 54 kertas kajian semasa sesi sidang selari nanti, juga telah menerapkan STP dalam pengajaran di bilik darjah sebagai sebahagian daripada proses kajian mereka. Natijahnya, guru-guru kita telah mengaplikasikan pengetahuan tentang STP dalam kajian mereka. Saya pasti perkongsian mereka nanti amat berguna untuk para peserta seminar. Syabas saya ucapkan!

PELANCARAN BAHAN PENERBITAN MLCS

Cikgu-cikgu sekalian

7. Dalam usaha untuk menyokong guru-guru kita dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, MLCS terus berusaha menghasilkan bahan-bahan pembelajaran dan rujukan yang menarik serta pelbagai. Bahan-bahan ini ialah khazanah pendidikan di Singapura. Sebentar nanti, saya akan melancarkan empat buah penerbitan baharu, termasuk buku prosiding seminar berjudul ‘Amalan Pengajaran Bahasa Melayu di Singapura’ yang telah diagihkan kepada para hadirin sekalian. Buku ini mengandungi 37 kertas kajian yang dihasilkan oleh guru-guru sekolah rendah dan 17 lagi oleh guru-guru sekolah menengah.

8. Buku ‘Penulisan Karangan Berdasarkan Gambar Bersiri’ pula menyokong keperluan pembelajaran murid-murid Darjah 3 hingga 6. Ia mengandungi siri panduan bagi murid memahami bahagian, ciri dan proses penulisan karangan. Buku ini penting bagi memupuk pemahaman yang mendalam tentang kaedah penulisan karangan yang baik dan kreatif.

9. Pakej bermain sambil belajar ‘Bijak Bahasa Bestari Budaya’ menegaskan hubungan akrab antara bahasa dan budaya. Pakej ini menggalakkan pembelajaran bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar Menengah 1 dan 2, dan tertumpu pada pembelajaran golongan kata dalam konteks budaya Melayu setempat.

10. Bahan penerbitan seterusnya ialah pakej video wawancara berjudul ‘Bicara Budiman: Sarkasi Said’. Pakej video ini merakamkan penghormatan MLCS pada tokoh ‘Generasi Perintis’ kita. Ia merakamkan perjalanan hidup, falsafah, pencapaian dan sumbangan besar Encik Sarkasi Said, tokoh batik setempat yang tersohor seantero dunia. Pak Sarkasi telah menceburkan diri dalam seni lukis batik sejak beliau berumur belasan tahun. Sumbangannya telah menjangkau lebih daripada 60 tahun. Hasil goresan canting dan coretan warnanya tersebar luas merentas pelbagai benua. Dunia melihat dan menghargai hasil karya beliau. Pak Sarkasi lahir pada 27 Mac 1940. Sembilan hari lagi, beliau akan menyambut hari lahirnya yang ke-79. Selamat hari lahir, Pak Sarkasi. Kami doakan Pak Sarkasi panjang umur, terus sihat dan sentiasa bahagia di samping keluarga tersayang. Saya amat gembira MLCS melakukan usaha ini. Bahasa dan budaya pada dasarnya adalah satu. Menghormati dan menghargai pengorbanan dan sumbangan orang tua kita adalah sikap budiman yang tiada duanya.

PENUTUP

11. Akhir kalam, saya berharap warga pendidik bahasa Melayu Singapura dapat memanfaatkan usaha dan bahan-bahan terbitan MLCS. Semoga usaha sama dalam menjayakan seminar pada pagi ini dapat memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Singapura. Tahniah sekali lagi kepada MLCS, guru penyampai kertas kajian dan guru yang terlibat dalam pameran serta kepada lebih 500 peserta seminar pada hari ini.

12. Sebagai pengakhir ucapan, izinkan saya menguntaikan serangkap pantun buat hadirin sekalian: Padi segemal kepuk di hulu, Sirih di hilir merakap junjungan; Kepalang duduk menuntut ilmu, Pasir sebutir jadikan intan. Sekian, terima kasih.