A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga, Di Majlis Ceramah Arif Budiman Ke-14 Anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura

Published Date: 20 July 2018 12:00 AM

News Speeches

Yang dihormati Tuan Haji Sidek Saniff Mantan Menteri Negara Kanan

Encik Mohamed Noh Daipi Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura

Para Pensyarah

Para Pengetua dan Naib Pengetua Sekolah

Para tetamu undangan termasuk para guru pesara

Para guru dan hadirin sekalian

Assalamualaikum wbh

Selamat petang dan salam sejahtera

PENGENALAN

1.Saya berbesar hati dapat bersama-sama anda dalam menjayakan majlis Ceramah Arif Budiman yang ke-14 pada petang ini dan kita akan sama-sama menimba ilmu sebentar nanti.

2. Terlebih dahulu, selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada Encik Sidek Saniff kerana sudi menyampaikan ceramah dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman beliau dengan kita pada hari ini. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Sidek atas kejayaan beliau menulis dan menerbitkan memoir atau riwayat hidup beliau yang berjudul “Sidek Saniff: Langkah Liku Selayang Kenangan” dan “Sidek Saniff: Life Reflections at Eighty”. Kedua-dua buku tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada Selasa, 10 Julai lalu. Kededua buku tersebut kaya dengan teladan dan akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pembacanya.

3. Encik Sidek pernah berkhidmat sebagai guru, anggota parlimen, Setiausaha Parlimen sehinggalah sebagai Menteri Negara Kanan. Beliau banyak menyumbang bakti menerusi Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), MENDAKI, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan lain-lain lagi. Perdana Menteri mengakhiri kata-kata sanjungannya kepada Encik Sidek dengan mengungkapkan pantun berikut:

Asam paya buah di hutan,
Ambil pelepah dibuat lidi;
Tuan berbakti kepada watan,
Jasa dikenang hingga abadi.

4.Terima kasih Encik Sidek.

5. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan, guru-guru Bahasa Melayu yang menunjukkan iltizam dan sokongan padu dengan menghadiri majlis pada petang Jumaat yang berbahagia ini.

PRESTASI PUSAT BAHASA MELAYU SINGAPURA

Para hadirin sekalian

6. Pada 13 Mac lepas, saya telah merasmikan Seminar Bahasa Melayu 2018 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura ringkasnya MLCS. Seminar itu dihadiri lebih daripada 500 guru peserta. Seramai 170 guru daripada kumpulan itu menyampaikan 53 kertas kajian semasa sesi sidang selari. Saya juga melancarkan empat penerbitan termasuk buku prosiding seminar dan App Legenda Singapura bagi murid Darjah Tiga dan Empat. MLCS telah berjaya melaksanakan hal tersebut secara tekal sejak penubuhannya. Hal ini menunjukkan rekod prestasi cemerlang MLCS.

7. Sejak penubuhannya juga, MLCS telah menjalankan lebih daripada 30 sesi kursus setiap tahun yang melibatkan 800 hingga 1,000 guru setahun. Empat kursus baharu diperkenalkan setiap tahun bagi memastikan pengetahuan guru berkaitan bahasa dan budaya kian kukuh dan kaedah pengajaran yang guru laksanakan kekal relevan, rencam, berkesan dan menyeronokkan. Hal ini pastinya jelas mencerminkan iltizam MLCS dan para guru Bahasa Melayu kita.

AMALAN PENGAJARAN SINGAPURA

8. Tahun ini, MLCS mula menjalankan kursus berkaitan “Amalan Pengajaran Singapura” atau “Singapore Teaching Practice”, ringkasnya STP. MLCS menyokong kukuh usaha Akademi Guru Singapura (AST), Kementerian Pendidikan dengan menerbitkan buku rujukan berkaitan STP dan telah menganjurkan dua kursus untuk para guru permulaan pada bulan Julai ini. Lebih banyak kursus akan dijalankan bagi guru-guru dan pegawai Bahasa Melayu sehingga akhir tahun ini.

9. STP ialah model pengajaran dan pembelajaran yang dibina berasaskan pengalaman lalu dan disesuaikan untuk para guru bagi mengajar dengan berkesan. STP menggalakkan guru menyelaraskan antara teori dan amalan pengajaran supaya kaedah yang digunakan sentiasa relevan dan menyeronokkan. STP membantu setiap guru menjadi lebih yakin dan reflektif dalam amalan pengajaran mereka untuk membantu setiap pelajar belajar dengan berkesan dan seronok belajar di bilik darjah.

MENGERATKAN KERJASAMA FRATENITI BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DI SINGAPURA

10. Saya juga gembira bahawa usaha menyemarakkan penggunaan bahasa dan mendalami rasa penghargaan pada kesusasteraan Melayu yang dianjurkan untuk semua peringkat umur semakin rancak dengan sokongan dana oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). MLLPC juga telah menganjurkan kegiatan seperti Fiesta Bahasa yang berlangsung 7 Julai lalu dan menerbitkan Siri Bacaan Nabil Nabilah. Kerjasama yang kukuh antara institusi pendidikan, pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan badan-badan akar umbi akan menguntungkan para pelajar kita dan menjadikan suasana berbahasa Melayu di negara kita lebih hidup dan menyegarkan. Saya juga amat mengalu-alukan ibu bapa untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anak mereka dan menyediakan bahan-bahan bacaan bahasa Melayu di rumah.

11. Tidak lama lagi, kita akan meraikan sambutan Bulan Bahasa yang ke-30. Saya ingin menyeru supaya kita sama-sama menyokong usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura dengan mengambil bahagian dalam acara-acara yang disusun bagi Bulan Bahasa 2018 yang akan dilancarkan pada 1 September ini di Wisma Geylang Serai. Banyak kegiatan bahasa, budaya dan sastera yang akan dianjurkan semasa Bulan Bahasa kelak.

12. Kalau kita renungkan pendekatan yang kita lakarkan bersama, dari segi mempromosikan pembelajaran dan pengajaran penggunaan bahasa, budaya dan kesusteraan Melayu, dan juga usaha untuk melestarikan semua ini di peringkat masyarakat, kita dapat rasakan bukan saja ada pembangunan yang mantap, tetapi komitmen yang kukuh dan mendalam daripada semua yang terlibat. Guru-guru Bahasa Melayu kita juga telah turun padang di peringkat masyarakat untuk memperkayakan proses pembelajaran anak-anak kita dan masyarakat Singapura.

13. Walaupun masih banyak yang boleh kita lakukan, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua yang telah menyumbang dalam usaha ini.

PENUTUP

14. Para hadirin sekalian, sebagai penutup, tahniah dan terima kasih kepada MLCS atas penganjuran Ceramah Arif Budiman yang ke-14 ini. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Encik Sidek Saniff kerana sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dengan kita semua. Marilah kita sama-sama memanfaatkan ceramah petang ini.

15. Sekian, terima kasih.