A Singapore Government Agency Website How to identify
Official website links end with .gov.sg

Government agencies communicate via .gov.sg website
(e.g. go.gov.sg/open). Trusted websites

Secure websites use HTTPS

Look for a lock () or https:// as an added precaution.
Share sensitive information only on official, secure websites.

Ucapan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga Di Seminar Bahasa Melayu 2018

Published Date: 13 March 2018 12:00 AM

News Speeches

Encik Mohamed Noh Daipi
Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura

Profesor Madya Dr Parilah Mohd Shah
Pensyarah Kanan
Jabatan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran
Universiti Kebangsaan Malaysia

Para tetamu undangan, para guru dan hadirin sekalian
Assalamualaikum Wr. Wb.

Selamat pagi dan salam sejahtera

PENGENALAN

1. Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama anda pada pagi ini di Seminar Bahasa Melayu 2018 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS). Saya juga berasa amat gembira menyambut kehadiran penyampai ucaptama kita, Profesor Madya Dr Parilah Mohd Shah di Singapura.

2. Terima kasih sekalung budi kepada Dr Parilah kerana sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dengan kita semua pada hari ini. Saya yakin, kehadiran beliau dapat menambah nilai pada pengetahuan dan kemahiran guru-guru bahasa Melayu kita di Singapura.

PENGAJARAN INOVATIF PEMIKIRAN KREATIF

3. Saya berasa berbesar hati dengan kehadiran lebih daripada 500 guru dan tetamu di seminar tahunan ini. Seramai 170 orang guru akan menyampaikan 53 kertas kajian semasa sesi sidang selari nanti. Jumlah ini merupakan satu rekod baharu. Sambutan hangat ini merupakan satu cerminan semangat guru-guru kita yang amat saya kagumi, mentelah lagi Cikgu sepatutnya sedang bercuti. Hal ini juga merupakan cerminan iltizam Cikgu menimba dan berkongsi ilmu dengan ikhlas demi bahasa Melayu yang kita cintai dan juga anak-anak didik kita yang kita sayangi. Syabas saya ucapkan.

4. Tema Seminar Bahasa Melayu 2018 iaitu Pengajaran Inovatif, Pemikiran Kreatif amat menarik sekali. Tema ini menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru kita dalam usaha memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terus relevan dan bermakna di Singapura. Mengajar bahasa Melayu secara inovatif di bilik darjah kini perlu dijadikan kemahiran asas bagi setiap guru untuk memastikan keperluan pembelajaran anak didik kita terus didorong dan disokong. Kemahiran mengajar secara inovatif saya yakin merupakan kunci bagi kejayaan anak didik kita bagi semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu

5. John Hattie (2013), seorang pengkaji bidang pendidikan yang tersohor berpendapat bahawa antara penyumbang utama yang mempengaruhi kejayaan seseorang pelajar ialah guru dan strategi pengajaran yang dijalankan dalam bilik darjah. Dalam bukunya yang bertajuk Visible Learning for Teachers: Maximizing Impact on Learning1 atau Pembelajaran Jelas bagi Guru: Memaksimumkan Kesan Pembelajaran, Hattie mengutarakan dua gagasan utama.

6. Pertama, setiap pendidik perlu tahu dan sedar akan impak yang mampu dicipta dalam proses pengajarannya kerana pendidik yang mahir tidak akan menggunakan satu-satu strategi sahaja. Seorang guru yang mahir dan berkesan akan bersikap reflektif dan kerap menilai kesan pengajaran terhadap anak didik mereka dan akan terus memperbaik kaedah pengajarannya.

7. Kedua, pengajaran dan pembelajaran akan menjadi jelas apabila guru itu sendiri jelas tentang apa yang mahu diajarkan kepada anak didiknya dan apa yang telah mereka pelajari. Inilah yang akan meningkatkan peluang kejayaan guru yang inovatif dan pelajar yang kreatif.

8. Selaras dengan pemikiran hari ini, perspektif budaya juga sangat penting apabila meneliti aspek inovasi dan kreativiti. Sebagai contoh, warisan budaya kita juga cenderung melihat inovasi dan kreativiti sebagai hikmah Melayu yang bersifat kolektif. Dalam buku Tunjuk Ajar Melayu (2006)2, Dr Haji Tenas Effendy menghimpunkan kearifan Melayu seperti yang berikut:

Yang disebut orang yang arif
berguru tidak membilang waktu
bertanya tidak membuang masa
yang setitik menjadi lautan
yang sekepal dijadikan gunung
yang sepatah dibentangkan
yang sejari dikembangkan
yang sekalimat dimanfaatkan
yang sejengkal dikekalkan.

PELANCARAN BAHAN PENERBITAN MLCS

9. Dalam usaha menyokong guru-guru kita menyemai budaya inovasi dan kreativiti dalam diri anak didik kita, MLCS sentiasa berusaha gigih untuk mempelbagaikan penerbitan bahan-bahan pembelajaran. Bahan-bahan ini saya pasti akan memperkaya gedung ilmu buat guru-guru kita di sekolah. Hari ini, MLCS melancarkan empat penerbitan termasuk buku prosiding seminar yang telah diagihkan kepada hadirin sekalian.

10. Berikutnya ialah buku Bicara Budiman Dr Muhammad Ariff Ahmad versi penuh yang memuatkan seluruh wawancara MLCS dengan Dr Muhammad Ariff. Wawancara ini memberikan kita gambaran falsafah, pemikiran, hati budi dan pengalaman Allahyarham pendeta kita yang amat kita kasihi.

11. Selanjutnya ialah pakej Menjadikan Pemikiran Jelas: Pelaksanaan Rutin Berfikir di Bilik Darjah. Pakej ini merupakan bahan praktikal bagi guru-guru yang mahu melaksanakan rutin berfikir di bilik darjah. MLCS telah membayar hak cipta kepada syarikat penerbitan asal untuk menterjemah dan menerbitkan pakej ini. Buku ini juga diharapkan dapat dijadikan rujukan dan panduan bagi guru-guru kita dalam membina budaya berfikir di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

12. Seterusnya App Legenda Singapura yang memuatkan kisah-kisah legenda popular kita bagi murid-murid darjah tiga dan empat yang boleh dimuat turun secara percuma. Ayuh kita kenalkan anak didik kita kepada watak-watak Sang Nila Utama, Badang, Hang Nadim, dan ramai lagi. Marilah kita sama-sama memuat turun app ini untuk terus menghargai cerita rakyat Melayu kita.

PENUTUP

13. Para hadirin sekalian, marilah kita terus berusaha untuk melahirkan masyarakat pendidik yang sentiasa membudayakan pengajaran inovatif dan membentuk pemikiran kreatif untuk terus menjadikan bahasa Melayu kita kekal relevan dan terus dicintai anak didik kita.

14. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan tahniah kepada MLCS yang telah menganjurkan Seminar Bahasa Melayu 2018 dengan jayanya dan atas penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran. Saya juga mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Prof Madya Dr Parilah Mohd Shah atas sokongan yang beliau berikan. Semoga seminar dan sesi perkongsian pada pagi ini dapat kita manfaatkan bersama-sama.

15. Dengan ini, saya dengan penuh suka citanya merasmikan Seminar Bahasa Melayu 2018. Terima kasih.


Footnotes
  1. John Hattie. (2013). Visible Learning for Teachers: Maximising Impact on Learning. London: Routledge.
  2. Tenas Effendy. (2006). Tunjuk Ajar Melayu. Yogyakarta: Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu