Speeches/Interviews

July 07, 2018

Speech by Senior Parliamentary Secretary for Education and Chairman of the Malay Language Learning and Promotion Committee (MLLPC), Associate Professor Muhammad Faishal Ibrahim, at the Fiesta Bahasa

A very good morning to everyone. I am happy to join you at this year’s Language Fiesta 2018, a collaborative effort by our Malay Unit officers from MOE’s Curriculum Planning and Development Division (CPDD) and the MLLPC.

2. This is the 4th year that Fiesta Bahasa is being organised since 2015, and we can see that it has grown from a small-scale event since it was first held in Punggol Primary School to a turnout of about 800 for today’s event.

3. This is commendable in our continued effort to provide a nurturing environment for our students to use the Malay Language beyond their classrooms and experience it as a living language.

4. Please allow me to continue my speech in Malay.

5. Hadirin sekalian, saya rasa amat gembira melihat pelibatan aktif sekolah-sekolah dan ibu bapa serta sokongan padu yang diberikan oleh pertubuhan masyarakat seperti Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dalam acara Fiesta Bahasa tahun demi tahun. Sumbangan kepakaran dan tenaga pelbagai pihak untuk menjayakan Fiesta Bahasamengayakan lagi pengalaman anak-anak kita meningkatkan kefasihan bahasa Melayu mereka.

6. Pada pertama kali Fiesta Bahasa dianjurkan pada tahun 2015 di Sekolah Rendah Punggol, MLLPC telah melancarkan Siri Bacaan Nabil dan Nabilah untuk bacaan murid-murid Darjah 1 dan 2. Kami mendapat maklum balas positif daripada para guru dan murid-murid. Mereka tertarik kepada jalan cerita yang mempunyai latar belakang Singapura. Nilai-nilai murni yang teranyam dalam cerita-cerita tersebut juga amat baik sekali dalam pembangunan watak anak-anak kita.

7. Pada tahun ini, Siri Bacaan Nabil Nabilah Darjah 3 dan Darjah 4 pula akan dilancarkan nanti. Seperti siri bacaan Darjah 1 dan 2, buku-buku ini ditulis oleh guru-guru Bahasa Melayu kita. Mereka begitu rapat dengan murid-murid kita dan tahu akan cita rasa kanak-kanak dalam lingkungan umur 9-10 tahun.

8. Pelibatan guru-guru yang menulis buku-buku Nabil Nabilah tidak setakat di sini. Mereka mengendalikan aktiviti menarik dan interaktif di reruai masing-masing untuk setiap pengunjung. Kunjungilah reruai mereka nanti.

9. Hadirin sekalian, minat membaca kanak-kanak berkait rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Oleh itu, kami berharap, buku Nabil Nabilah dapat membudayakan amalan membaca dalam kehidupan murid-murid kita kerana kita tahu bahawa membaca itu jembatan ilmu.

10. Dengan pelancaran 20 judul Siri Bacaan Nabil Nabilah Darjah 3 dan Darjah 4, maka bertambahlah lagi bilangan buku-buku bahasa Melayu yang bermutu. Saya menggesa guru-guru Bahasa Melayu agar memanfaatkan sumber yang ada untuk meningkatkan lagi minat murid-murid mempelajari bahasa Melayu.

11. Dalam Fiesta Bahasa tahun ini, kita semua akan dihiburkan dengan lagu tema Nabil Nabilah yang ditulis khas sempena pelancaran siri bacaan ini dan dipersembahkan oleh Dzar Ismail, Duta Bahasa 2017 bersama adik Shah Riszuan. Irama dan liriknya sesuai sekali dengan cita rasa anak-anak kita.

12. Saya juga mendorong ibu bapa untuk terlibat sama dalam menjalankan aktiviti bacaan di rumah dengan adanya saranan aktiviti untuk ibu bapa yang disertakan dalam siri bacaan tersebut. Apabila ibu bapa terlibat sama dalam kegiatan membaca, anak-anak akan teruja untuk menjadikan amalan membaca satu kegiatan harian mereka.

13. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan Fiesta Bahasa tahun ini. Semoga usaha bersama kita memberikan manfaat kepada murid-murid dan pengguna bahasa Melayu generasi masa depan.

14. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya ini dengan serangkap pantun:

Kalau ke Jurong membeli laksa,
Belikan saya kuih keria;
Suka membaca lestari bahasa,
Terbuka juga jendela dunia.

15. Terima Kasih.