Speech (in Malay) by Mr Ong Ye Kung, Minister for Education (Higher Education and Skills) at the 13th Malay Literary Award Presentation, at Four Seasons Hotel

Published Date: 28 October 2017 12:00 AM

News Speeches

Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Setia usaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Pengerusi, Majlis Bahasa Melayu Singapura

Puan Rosa Daniel, Ketua Pegawai Eksekutif,
Majlis Seni Kebangsaan

Profésor Madya Hadijah Rahmat, Pengerusi, Jawatankuasa Anugerah Persuratan

Para Penilai Anugerah Persuratan dan Penerima Anugerah

Tetamu yang dihormati,

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Izinkan saya mulakan dengan serangkap pantun:

Jalan-jalan di Bukit Bendéra,
     Beréhat sebentar di tengah hari;
Kalau tidak kerana sastera,
     Tidaklah saya sampai ke mari.

Pengenalan

1. Selamat petang. Saya berasa gembira dan besar hati kerana dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Anugerah Persuratan yang ketiga belas ini. Saya pasti, para sasterawan menanti-nantikan majlis yang dianjurkan setiap dua tahun sekali ini. Majlis ini bukan sahaja untuk mengiktiraf para penulis dan aktivis, tetapi juga satu peluang untuk bertemu kawan-kawan dan mengukuhkan jalinan.

Pentingnya Sastera

2. Kita semua berada di sini kerana kita tahu pentingnya sastera. Pramoedya, penulis Indonesia yang terkenal, mengatakan bahawa tanpa sastera, kita hanyalah haiwan yang pandai. Keras sedikit bunyinya, tetapi begitulah pentingnya sastera dalam kehidupan kita. Sastera memaparkan isu-isu yang luas, sama ada politik, sosial atau budaya. Sastera menjadi benang penganyam masyarakat. Dengan itu, kita lebih faham isu-isu kompleks dalam dunia kita yang cepat berubah.

3. Dan lebih penting lagi, sastera menyediakan ruang yang selamat untuk berinteraksi, membina kepercayaan dan bertukar-tukar fikiran. Namun ada juga yang cuba mengambil kesempatan perbezaan yang wujud untuk memecah belah masyarakat kita. Semua ini disampaikan dalam pilihan kata-kata dan frasa-frasa yang indah dan mendalam maknanya.

Bahasa-bahasa yang saya pelajari

4. Pembelajaran bahasa membuka minda saya kepada suatu dunia yang baru. Setiap bahasa yang saya pelajari mengajar saya tentang budaya penutur aslinya. Bagi diri saya, mula-mula saya belajar bahasa Mandarin. Lebih banyak saya belajar, lebih banyak saya perlu baca, dan lebih kerap saya gunakan bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin kaya dengan sejarah dan budaya Cina. Saya mula menghayati indahnya bahasa Mandarin dalam setiap puisi dan cerita yang saya baca.

5. Selepas itu, saya belajar bahasa Inggeris pula. Bahasa Inggeris membantu saya untuk menyampaikan idea saya dengan berkesan. Saya gunakannya di tempat kerja dan dengan kawan-kawan. Dengan kebolehan berbahasa Inggeris dan Mandarin, saya boleh bertukar-tukar bahasa mengikut konteks perbualan.

6. Pada masa ini, saya sedang belajar bahasa Melayu. Saya sedar ada banyak elemen masyarakat dan budaya dalam bahasa dan sastera Melayu. Perkataan seperti “gotong-royong” dan “kunjung-mengunjung” menunjukkan perpaduan masyarakat. Nuansa seperti ini penting apabila kita cuba memahami budaya satu sama lain. Sebagai contoh, tema Pesta Penulis Singapura tahun lepas ialah perkataan Melayu – Sayang. Sayang ialah perkataan Bahasa Melayu yang ada pelbagai makna, digunakan sama ada untuk menyatakan perasaan cinta dan kasih, ataupun untuk meluahkan rasa kepahitan dan kehilangan.

7. Kita perlu mengajarkan nuansa-nuansa bahasa dan budaya seawal mungkin. Salah satu caranya melalui buku kanak-kanak seperti kita seronok membaca tentang Badang atau Singapura dilanggar Todak ketika kita kecil. Penting sekali kita menanam tabiat membaca dalam diri anak-anak dari kecil. Secara langsung atau tidak, kita perkenalkan mereka kepada warisan bahasa dan budaya kita yang ada dalam cerita-cerita tersebut.

Kategori Buku Bergambar Kanak-kanak

8. Anugerah Persuratan tahun ini mengenalkan satu kategori baru – Kategori Buku Bergambar Kanak-kanak. Kita percaya akan pentingnya buku-buku yang berkualiti untuk menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

9. Di samping itu, membaca buku bersama anak-anak juga dapat merapatkan hubungan ibu bapa dengan anak. Buku-buku yang baik dapat digunakan untuk membina kemahiran berkomunikasi dan menanam nilai budaya.

Sokongan pada Pembangunan Sastera Melayu

10. Pembangunan dan penggalakan persuratan Melayu memang menjadi salah satu keutamaan NAC. Banyak platform di Singapura yang disediakan untuk menghargai karya dan sastera, contohnya:

  • Pesta Membaca anjuran NLB,
  • Bulan Bahasa anjuran Majlis Bahasa Melayu dan
  • Anugerah Golden Point anjuran NAC.

Platform Rantau untuk Sastera Melayu

11. Di peringkat rantau dan antarabangsa, Singapura yang diwakili oleh Majlis Bahasa Melayu, membincangkan perkembangan dan penggalakan sastera di Majlis Sastera Asia Tenggara atau Mastera. Singapura menjadi anggota Mastera sejak tahun dua ribu dua belas. Para penulis kita juga telah diiktiraf dan menerima hadiah atau anugerah di peringkat rantau dalam Mastera. Para penulis tersebut termasuklah Encik Suratman Markasan, Puan Noor Hasnah Adam, Encik Johar Buang, Dr Azhar Ibrahim dan pada bulan lepas, Encik Hassan Hassa’arie, yang baru menerima Hadiah Penulis Muda. Ini merupakan perkembangan yang baik untuk sastera tanah air kita.

Penutup

12. Saya mengucapkan tahniah kepada Majlis Bahasa Melayu Singapura atas kejayaan menganjurkan Anugerah Persuratan ketiga belas ini. Tidak lupa juga kepada Profesor Madya Hadijah Rahmat, Pengerusi Anugerah Persuratan dan Dr Sa’eda Buang, selaku Ketua Penilai untuk anugerah tahun ini. Kerja keras dan usaha mereka memastikan bahawa majlis ini berjaya. Para penulis dan penerima anugerah hari ini telah memberikan sumbangan penting dalam membentuk warisan Sastera Melayu Singapura. Tahniah kepada semua pemenang.

13. Sekian, terima kasih.

Share this article: