Ucapan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga Di Karnival Kesantunan Melayu 2017

Published Date: 14 October 2017 12:00 AM

News Speeches

Selamat pagi dan salam sejahtera.

PENGENALAN

1. Saya amat gembira dapat bersama-sama anda pada pagi ini di Karnival Kesantunan Melayu 2017. Dianjurkan buat julung-julung kalinya, karnival ini merupakan evolusi daripada Projek Kesantunan Melayu yang merupakan program unggul MLLPC.

2. Setinggi-tinggi terima kasih juga saya ucapkan kepada Dr Abbas Mohd Shariff yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dalam Ceramah Kesantunan sebentar tadi. Saya pasti hadirin sekalian telah meraih banyak pengetahuan dan manfaat tentang kesantunan Melayu.

3. Secara peribadi, saya amat terkesan setelah mempelajari akan tingginya nilai kesantunan Melayu kita. Daripada pengamatan saya, kesantunan merupakan teras dalam budaya Melayu kita dan dapat kita lihat dalam segenap aspek kehidupan. Maka itu, amatlah rugi sebagai orang Melayu sekiranya kita tidak menyedari hal ini dan tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.

LATAR BELAKANG

4. Izinkan saya menyingkap rentetan sejarah bermulanya Projek Kesantunan Melayu ini. Tahun 2012 merupakan titik bermulanya Projek Kesantunan Melayu. Perkhemahan Kesantunan Melayu yang pertama telah dijalankan. Diterajui oleh Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat dari Institut Pendidikan Nasional (NIE), usaha sulung ini ialah hasil gabungan antara MLLPC, NIE, Majlis Bahasa Melayu Singapura dan beberapa buah sekolah.

5. Sambutan yang menggalakkan telah mendorong perkhemahan ini diluaskan lagi cakupannya. Pada tahun-tahun berikutnya, para penerima Anugerah Guru Arif Budiman serta beberapa orang guru Bahasa Melayu telah turut melibatkan diri dengan menganjurkan bengkel-bengkel kesantunan Melayu di sekolah-sekolah dan kelab-kelab masyarakat. Ini membolehkan pengajaran tentang kesantunan Melayu disebarluaskan kepada pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah.

PROJEK KESANTUNAN MELAYU 2017

6. Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun keenam Projek Kesantunan Melayu dianjurkan. Satu kelainan yang ada pada Projek Kesantunan Melayu kali ini ialah dua aktiviti teras, iaitu Pertandingan Video Pendek serta Karnival Kesantunan

7. Dibuka khusus untuk pelajar-pelajar yang berusia di antara 11 hingga 16 tahun, Pertandingan Video Pendek merupakan acara kemuncak pada video-video kesantunan seminit yang dihasilkan oleh MLLPC; yang telah dilancarkan pada bulan Jun tahun ini bersempena bulan Ramadan. Video-video tersebut bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan menyebarkan mesej tentang beberapa aspek kesantunan Melayu dalam kehidupan seharian daripada tutur kata sehinggalah adab tingkah laku; dan telah dimuat naik ke beberapa lelaman media sosial MLLPC. Saya pasti ramai dalam kalangan hadirin yang telah sempat menyaksikan video-video tersebut.

8. Saya sendiri telah berpeluang untuk terlibat dalam penghasilan video-video tersebut. Penglibatan saya merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan menyeronokkan.

9. Hadirin sekalian, saya gembira apabila dimaklumkan bahawa pertandingan video ini telah mendapat sambutan hangat daripada para pelajar kita. Kita telah menyaksikan lebih daripada 60 orang peserta yang telah menghasilkan video-video penyertaan. Syabas saya ucapkan kepada semua yang telah menyertai pertandingan ini. Kita tunggukan keputusan yang akan diumumkan sebentar nanti.

10. Aktiviti teras kedua Projek Kesantunan tahun ini ialah Karnival Kesantunan Melayu yang berlangsung pada hari ini. Karnival ini bertujuan mencipta suasana kesantunan yang autentik bagi para pelajar dan orang awam terhadap pelbagai aspek kesantunan. Sebanyak 18 reruai kesantunan Melayu oleh 9 sekolah, dari peringkat sekolah rendah hingga ke maktab rendah, akan mempamerkan pelbagai latar dan senario kesantunan Melayu dalam kehidupan seharian. Saya ingin menggalak hadirin untuk mengalami sendiri suasana kesantunan Melayu yang sebenar.

MENYEMAI NILAI KESANTUNAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

11. Memupuk nilai kesantunan bukanlah tanggungjawab mutlak sesuatu pihak sahaja. Sesuai dengan tuntutan hidup bermasyarakat, setiap lapisan masyarakat berperanan untuk memupuk nilai dan kesantunan dalam diri anak-anak dari kecil lagi supaya menjadi lebih berbudi bahasa, beradab dan bernilai murni selayaknya sebagai anak Melayu Singapura.

12. Kesedaran dan amalan kesopanan merupakan faktor penting yang mempengaruhi proses sahsiah diri serta membentuk rakyat yang berbudi bahasa. Semoga nilai-nilai murni, adab, sopan santun, sikap berbudi bahasa, berhemah, hormat-menghormati dan bantu-membantu dapat dijadikan amalan hidup seharian kita. Di peringkat makro pula, saya percaya bahawa nilai-nilai ini mampu menjadi penggerak kemajuan Singapura sedang kita kekal berdaya saing. Malah, inilah yang akan membuatkan kita unik di mata dunia.

PENUTUP

13. Sebagai penutup, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan Projek Kesantunan Melayu ini, terutamanya kepada guru-guru bahasa Melayu kita yang terlibat secara langsung tahun demi tahun dalam acara ini. Kesungguhan anda mencerminkan kepercayaan anda yang mendalam akan kepentingan pemupukan nilai dalam diri anak-anak didik anda. Semoga usaha ini bakal membentuk masyarakat yang berbudi bahasa dan bernilai murni. Ayuh, kita terus semarakkan budaya Melayu kita ini!

14. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

Bila memandang ke muka laut,
        Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
        Budi yang baik dikenang selalu.

Share this article: