Ucapan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen, Kementerian Pendidikan Di Fiesta Bahasa 2016 Pada Sabtu, 13 Ogos 2016

Published Date: 16 August 2016 12:00 AM

News Speeches

PENDAHULUAN

Bunga anggerik bunga pertiwi,

     Lambang suci kota tercinta;

Girang nian di dalam hati,

     Dapat bersama hadirin semua.

1. Saya berasa amat gembira dapat bersama-sama anda semua dalam Fiesta Bahasa tahun ini. Saya yakin bahawa anda semua akan berseronok dengan acara-acara menarik yang dianjurkan di samping meraih ilmu.

2. Saya juga teruja melihat ramai guru, pelajar dan ibu bapa hari ini. Sokongan padu yang diberikan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) – Taman Warisan Melayu juga amat memberangsangkan! Berikan tepukan gemuruh kepada semua.

MISI MIMI

3. Pada Fiesta Bahasa tahun lalu, kami melancarkan buku bersiri Nabil Nabilah. Buku-buku yang ditulis oleh guru-guru bahasa Melayu kita sendiri menerima sambutan yang amat baik oleh pelbagai pihak. Syabas kepada semua guru yang terlibat!

4. Pada tahun ini, sejajar dengan tema Fiesta Bahasa: Kelas Maya, Ayuh Teroka!, saya dengan bangga memperkenalkan ‘Misi Mimi’, sebuah portal permainan bahasa Melayu. Projek ini bermatlamat untuk menyuntik keseronokan dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Menerusi permainan dalam talian, murid-murid kita dapat mengenali dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu sesuai dengan cita rasa mereka. Selain itu, portal permainan Misi Mimi ini juga menggalak murid-murid berkolaborasi dan memupuk meneroka semangat belajar secara kendiri.

TEMA FIESTA BAHASA: KELAS MAYA, AYUH TEROKA!

5. Dengan bertemakan, Kelas Maya, Ayuh Teroka! Fiesta Bahasa pada tahun ini mengetengahkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai alat pemangkin pembelajaran bahasa Melayu. Pelbagai perkongsian amalan baik dalam bilik darjah yang memanfaatkan kelebihan ICT bakal ditonjolkan dalam Fiesta Bahasa 2016 ini. Lebih penting lagi, Fiesta Bahasa tahun ini ingin meningkatkan kesedaran mengenai kerelevanan Bahasa Melayu dalam konteks hari ini. Bahasa Melayu sememangnya sesuai untuk dimartabatkan menjadi bahasa ilmu dan teknologi.

6. Saya berharap projek Misi Mimi dapat memacu jalan untuk pembinaan lebih banyak bahan pengajaran bahasa Melayu yang berasaskan ICT pada masa akan datang. MLLPC beriltizam untuk memperkasakan guru-guru bahasa Melayu dengan bahan-bahan yang bermutu dan menarik bagi murid-murid.

PENUTUP

7. Saya ingin menyeru kepada pengguna bahasa Melayu setempat untuk menyumbang bakti terhadap usaha menggalakkan penggunaan, pembinaan bahan dan pembelajaran bahasa Melayu. Hanya dengan sokongan padu segenap lapisan masyarakat, mampu kita mencapai wawasan yang diimpikan. Semoga kita dapat mempelajari ilmu baharu, dan pada masa yang sama berseronok dengan acara-acara yang tersedia hari ini.

8. Sekian, terima kasih.

Share this article: