Ucapan Tetamu Terhormat, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen, Kementerian Pendidikan Dan Kementerian Pembangunan Sosial Dan Keluarga Di Seminar Bahasa Melayu Pada 15 Mac 2016, Jam 8.30 Pagi Di Auditorium Moelc Bishan

Published Date: 15 March 2016 12:00 AM

News Speeches

Encik Mohamed Noh Daipi Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura Akademi Guru Singapura

Profesor Madya Dr Dahlia Janan Timbalan Dekan Akademi dan Pembangunan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Para tetamu undangan, para guru dan hadirin sekalian

Assalamualaikum Wr. Wb.

Selamat pagi dan salam sejahtera

PENGENALAN

1. Saya amat gembira dapat bersama-sama anda pada pagi ini di Seminar Bahasa Melayu 2016 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Akademi Guru Singapura. Saya juga gembira menyambut kehadiran Profesor Madya Dr Dahlia Janan di negara kita.

2. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Dahlia yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dengan kita semua pada hari ini. Kehadiran beliau sesungguhnya menunjukkan hubungan akrab antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia dengan Kementerian Pendidikan (MOE), Singapura.

MENJANA INOVASI, MEMARAK INSPIRASI

3. Saya berasa gembira dan bangga melihat ramai guru yang hadir pada hari ini. Saya diberitahu sambutan yang melebihi 400 orang guru peserta adalah sesuatu yang lumrah bagi seminar tahunan ini. Hari ini terdapat 520 peserta, penyampai dan tetamu yang mengikuti seminar ini. Saya juga kagum kerana pada tahun ini terdapat 48 kertas kajian yang akan dikongsi semasa sesi sidang selari nanti, berbanding sebanyak 38 pada tahun lalu. Hal ini jelas menunjukkan iltizam guru-guru bahasa Melayu untuk menjalankan kajian, menimba ilmu dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman pengajaran di bilik darjah. Syabas saya ucapkan.

4. Semangat untuk memajukan diri sebeginilah yang kita mahu para guru serlahkan untuk terus meningkatkan citra kerjaya keguruan. Idea-idea baharu yang inovatif dan kreatif yang terhasil daripada kajian yang dijalankan di sekolah masing-masing boleh dikongsi dan diperluas dan hal ini boleh menjana semangat keusahawanan guru (teacherpreneureship) – iaitu semangat memperluas ilmu dan kemahiran dengan harapan untuk menjadikan sekolah kita dipenuhi dengan rakan guru yang berkelayakan, penuh ihsan, budiman dan berkesan.

5. Lantas, tema Seminar Bahasa Melayu 2016, Menjana Inovasi, Memarak Inspirasi amat menarik kerana kita digalakkan untuk menjalankan pelbagai usaha kreatif bagi memarak inspirasi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan hasrat pengguna bahasa Melayu, khususnya di Singapura. Kita haruslah sentiasa memperkukuh dan meluaskan usaha secara kreatif, menjana idea-idea inovatif, bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang kita cintai ini kekal relevan dan diminati oleh para pelajar kita. Hanya dengan cara ini, kita mampu menyemarakkan inspirasi kepada para pelajar kita untuk terus mencintai dan mendalami pembelajaran bahasa Melayu.

6. Oleh itu, dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, penting bagi kita untuk memastikan kaedah yang digunakan menepati keperluan pembelajaran para pelajar masa kini dan berkesan dalam memperteguh minat dan mempercekap para pelajar kita berbahasa. Gunakanlah seminar ini sebagai platform untuk memikirkan dan bertukar-tukar pandangan tentang kandungan, kaedah dan amalan terbaik yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa dengan berkesan.

CARA MEMBINA KECEKAPAN

7. Saya ingin menyarankan tiga cara bagaimana Cikgu dapat terus membina kecekapan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pertama, seiring dengan pergerakan SkillsFuture atau Kemahiran Masa Hadapan, adalah penting bagi guru untuk terus mempertingkatkan keupayaan, pengetahuan dan kemahiran mereka dari segi kandungan kurikulum, pedagogi, penilaian dan penggunaan ICT demi memastikan pembelajaran pelajar yang berkesan berlaku di bilik darjah setiap hari. Menerusi usaha dan amalan pembelajaran sepanjang hayat, kita mampu mempertingkatkan keupayaan untuk kekal relevan, berdaya tahan dan berdaya saing. Guru-guru juga harus meneroka dan menjana idea-idea inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran demi merangsang dan memberi inspirasi kepada para pelajar agar terus belajar, suka dan mencintai bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada jati diri mereka.

8. Kedua, Cikgu boleh menerapkan dan menggunakan pengetahuan atau kemahiran yang diraih daripada pelbagai program pembangunan profesional yang diikuti dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di bilik darjah masing-masing. Dengan melaksanakan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di bilik darjah, guru mampu membuat penilaian akan keberkesanan pengajaran terhadap pembelajaran pelajar.

9. Ketiga, berkongsi pengetahuan dan kepakaran. Melalui pelbagai platform yang disediakan termasuklah Seminar Bahasa Melayu dan sesi perkongsian profesional, guru-guru bahasa Melayu boleh berkongsi pengalaman, kemahiran dan dapatan kajian yang dilaksanakan di bilik darjah dalam mempertingkat pengajaran dan pembelajaran. Dengan menghayati dan mengamalkan budaya pembelajaran secara kolaboratif sebegini, diharapkan kita mampu membina komuniti guru bahasa Melayu yang sentiasa memandang ke hadapan, tidak jemu membuat percubaan demi percubaan dalam menjana inovasi dan memarak inspirasi pelajar-pelajar kita di sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

PELANCARAN BUKU

10. Saya gembira mengetahui Pusat Bahasa Melayu Singapura aktif dalam menerbitkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. MLCS menggunakan program penyerapan yang ditauliahkan oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) yang kini saya terajui dan juga yang didanakan oleh Akademi Guru Singapura (AST), sebagai wadah untuk membimbing para guru peserta melakukan usaha susulan membina bahan pengajaran. Natijahnya, guru menggunakan ilmu yang diraih semasa program penyerapan untuk membina bahan pengajaran pembelajaran. Hari ini terdapat tiga penerbitan yang akan dilancarkan: pertama - Pembelajaran Bahasa Melalui Pantun, kedua – Penggunaan Bahasa Figuratif dalam Penulisan Karangan dan ketiga – CITRA, sebuah antologi cerpen bagi pelajar sekolah menengah. Syabas saya ucapkan kepada MLCS dan para guru pembina bahan yang terlibat.

PENUTUP

11. Saya ingin memberikan jaminan bahawa Pemerintah akan terus menyokong usaha bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu. Ini adalah satu usaha bersama kerana kita mahu anak-anak kita tidak kekok berbahasa Melayu. Kita mahukan anak-anak kita, tahu dan boleh menghayati budaya kita. Saya percaya bahawa seseorang yang berbudaya dan berbahasa ibunda dapat membangunkan sebuah masyarakat yang berjaya.

12. Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada MLCS yang telah menganjurkan Seminar Bahasa Melayu 2016 dengan jayanya. Saya juga mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Dr Dahlia Janan atas sokongan yang beliau berikan, kepada semua pengkaji dan penyampai kertas kajian, guru yang terlibat dalam pameran dan semua para peserta seminar. Semoga seminar dan sesi sidang selari pada pagi ini dapat kita manfaatkan bersama-sama.

13. Dengan ini saya merasmikan pembukaan Seminar Bahasa Melayu 2016. Sekian, terima kasih.

Share this article: