Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the 4th Arif Budiman Lecture 2010 organised by MLLPC, Malay Language Centre of Singapore and Malay Language Unit, Curriculum Planning and Development Division, Ministry of Education, on Saturday, 31 July at 9.00 am at Ministry of Education Language Centre, Bishan Centre

Encik Mohamed Noh Daipi
Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura dan
Penolong Pengarah Bahasa Ibunda

Profesor Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Para tetamu undangan,para guru, pelajar dan hadirin sekalian

Salam sejahtera

Pengenalan

Hakikatnya, keperluan pembelajaran berubah dari masa ke masa maka, kaedah pengajaran kita juga perlu disesuaikan agar pelajar sentiasa berminat dan berasa seronok ketika mempelajari bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Global

Hadirin sekalian, ceramah pada pagi ini ‘Pembuanaan Bahasa Melayu di Luar Nusantara’ mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Dalam kita hangat membincangkan kedudukan bahasa Melayu di negara kita dan usaha-usaha ke arah mengukuhkan penggunaannya, kita juga perlu menyedari akan peri pentingnya pengetahuan tentang perkembangan bahasa Melayu pada peringkat global. Hal ini berguna bagi kita menyelaraskan perkembangan bahasa Melayu di negara kita dengan yang berlaku di peringkat global.

Bahasa Melayu kini ditutur oleh lebih 300 juta penduduk di seluruh dunia dan menjadi bahasa ibunda bagi masyarakat Kepulauan Melayu yang mewakili hampir separuh daripada Asia Tenggara. Malah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia telah pun diajar dan dipelajari di universiti-universiti antarabangsa di luar Nusantara, contohnya di Tokyo, Seoul, Beijing, Melbourne, Canberra, USA (seperti Cornell dan Yale) Mosko, Paris, Praha (Prague), Leiden, Warsaw, Berlin dan Kahirah.

Saya yakin, antara faktor-faktor yang mendorong pelajar-pelajar di universiti-universiti tersebut untuk mendalami bahasa Melayu dan bahasa Indonesia adalah keyakinan mereka terhadap bahasa kita sebagai bahasa ilmu, mempunyai potensi ekonomi di samping nilai estetik bahasa yang tersendiri. Perkara-perkara ini telah disebarluaskan oleh pelbagai kumpulan daripada para cendekiawan hinggalah kepada para penulis yang memanfaatkan kewujudan media baharu dalam menghasilkan kerja dan karya mereka. Maka, tidaklah mustahil bahasa Melayu akan melonjak ke peringkat antarabangsa dan mampu menjadi setaraf dengan bahasa utama dunia. Usaha Sama Dengan Masyarakat Melayu

Sejak tahun 2006, MLLPC, di bawah naungan Kementerian Pendidikan telah mendapatkan sokongan padu masyarakat umum terutama daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan media untuk melestarikan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pejar, guru dan orang awam. MLLPC telah menjalankan program-program kreatif seperti Siri Ceramah Arif Budiman ini, Kuiz Cepat Tepat dan Peraduan Vodcast Lensa Bahasa.

Kerjasama erat yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, media dan sekolah amat perlu untuk kita terus menggalakkan generasi muda agar selesa menggunakan bahasa Melayu dan mempunyai minat yang mendalam terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu. Saya harap, ibu bapa juga akan terus memainkan peranan mereka dengan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih kerap semasa berbual dengan anak-anak mereka di rumah.

Perkembangan Terkini Pusat Bahasa Melayu Singapura

Sejajar dengan pengumuman yang dibuat pada Ceramah Arif Budiman Ketiga pada 30 Jan tahun ini, saya dengan rasa suka citanya ingin memaklumkan para hadirin bahawa pejabat sementara Pusat Bahasa Melayu Singapura sudah mula beroperasi di tingkat tiga bangunan ini. Tambahan pula, Pusat Bahasa Melayu sudahpun merancang beberapa program latihan untuk guru-guru pada tahun ini. Siri Ceramah Arif Budiman pada hari ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Bahasa Melayu dan sokongan MLLPC, merupakan pembuka tirai kepada program-program lain yang bakal dianjurkan oleh Pusat Bahasa Melayu Singapura.

Program-program lain yang bakal diadakan pada tahun ini termasuklah program bimbingan Kurikulum Berasaskan Sekolah untuk sekolah-sekolah percubaan, latihan untuk Guru-guru Kanan tentang strategi pengajaran Bahasa Melayu untuk murid-murid pelbagai kebolehan, program induksi untuk guru-guru bahasa Melayu yang baharu, program pementoran untuk Guru-guru Kanan. Program-program yang saya sebutkan sudah pasti akan membuka ruang dan peluang kepada guru-guru kita untuk terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Berilah sokongan padu cikgu-cikgu sekalian kepada setiap program anjuran Pusat Bahasa Melayu. Pusat Bahasa Melayu adalah aset kita bersama. Aset yang dilaburkan akan dapat diraih hasilnya bukan sahaja oleh guru bahasa Melayu tetapi generasi muda dalam kalangan pelajar kita pada masa akan datang. Aset ini akan menjadi lebih ampuh dan berharga jika anak-anak kita terus fasih bertutur dalam bahasa Melayu, menghargai hasil kesusasteraan, menjiwai nilai dan budaya Melayu. Semoga bahasa Melayu akan terus berkembang di negara kita dan proses pembuanaannya melangkaui Nusantara.

Penutup

Sebagai penutup bicara saya, izinkan saya menyampaikan pantun untuk direnungkan bersama,

Gaharu cendana harum setara,
Wangi semerbak mengharum istana;
Walau diri di luar Nusantara,
Bahasa kita tetap diguna.

Sekian, terima kasih.