Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the Perkampungan Bahas 2010 Opening Ceremony at National University of Singapore, on Saturday, 29 May 2010 at 3:00pm.

Encik Izzuddin Taherally,
Presiden 4PM

Encik Syed Faisal,
Pengerusi Perkampungan Bahas 4PM

Para Anggota Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu,

Para tetamu dari Brunei Darussalam dan Malaysia,

Guru-guru dan para pembahas,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Selamat sejahtera.

Pengenalan

Saya amat gembira dapat bersama-sama anda pada hari ini di Upacara Pembukaan Perkampungan Bahas 2010. Saya diberitahu bahawa dalam kalangan anda terdapat para pembahas dari negara-negara jiran kita iaitu Negara Brunei Darussalam dan juga Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) kerana berjaya menarik minat mereka dan sekalung penghargaan kepada pembahas-pembahas setempat dan negara jiran kerana sudi menyokong usaha murni kami meluaskan persada perbahasan ini ke peringkat rantau dan meningkatkan mutu perbahasan dalam bahasa Melayu di Singapura.

Bahas 4PM dan Format Baru

Bahas 4PM ialah acara tahunan yang dianjurkan oleh 4PM sejak lama lagi. Matlamatnya antara lain adalah untuk menggalak dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Maktab Rendah, Madrasah dan Politeknik. Peraduan Bahas ini juga merupakan wahana untuk para pelajar mengasah minda mereka secara kritis dengan membincangkan isu-isu terkini.

Apa yang unik tentang Bahas 4PM adalah usahanya yang konsisten untuk meningkatkan mutu pertandingan dari masa ke semasa. Setiap tahun, pihak penganjur terus berusaha untuk memperkenalkan inisiatif baharu. Namun hal ini bukanlah satu petanda bahawa format yang sebelumnya gagal untuk memberi kesan kepada para pelajar. Malah, perubahan atau inisiatif baru ini diperkenalkan untuk menjadikan peraduan bahas lebih menarik dan lebih mencabar, sekaligus setaraf dengan pertandingan bahas sejagat. Antara perubahan yang telah diadakan sebelum ini termasuklah pengenalan sistem celahan, yang sesuai dengan konteks adab dan kesantunan masyarakat Melayu, dan juga menghidupkan semula suasana berkampung melalui Perkampungan Bahas. Hal ini sedikit sebanyak membantu generasi muda masa kini mengenali nilai bekerjasama dan bergotong royong dalam kehidupan bermasyarakat. Pada tahun ini, Bahas 4PM telah mengenalkan satu lagi pembaharuan kepada format pertandingan, iaitu dengan memperkenalkan sistem liga di peringkat saringan.

Saya diberitahu bahawa pada awalnya ahli jawatankuasa Bahas 4PM ini telah diundang oleh Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) untuk menyaksikan pertandingan debat antara universiti-universiti di Malaysia pada tahun lepas. Di sanalah, mereka diberi kesempatan untuk mengenali sistem liga yang digunakan oleh MADUM.

Mereka percaya bahawa sistem liga ini dapat menaikkan mutu prestasi setiap pembahas, di mana setiap pasukan diberikan lebih banyak peluang untuk berbahas dalam beberapa pusingan. Dengan kerjasama pihak Alumni Debat IPT Malaysia dan juga MADUM, pada tahun ini sistem liga akhirnya dapat diperkenalkan di Singapura.

Syabas saya ucapkan kepada 4PM di atas kegigihan mereka. Sikap positif, semangat dan inisiatif sebeginilah yang ingin saya galakkan dalam kalangan anak muda kita yang terus memperjuangkan citra bahasa Melayu.

Serumpun Sebahasa, Seiya Sekata

Serumpun sebahasa, seiya sekata. Itulah tema yang dipilih bagi Perkhemahan Bahas tahun ini. Serumpun boleh ditakrifkan sebagai segolongan besar bangsa yang sama asal usul dan kebudayaannya. Serumpun sebahasa sebagai contoh, ialah orang-orang Melayu di Singapura, Malaysia dan Brunei Darussalam yang jika dikaji susur galur mereka, akan terbukti berasal daripada punca yang sama. Dan bahasa yang digunakan oleh masyarakatnya hingga ke hari ini, juga serupa walaupun setiap masyarakat itu terpisah oleh jarak geografi.

Seiya sekata bermakna sepakat dan bersatu hati. Apa yang saya harapkan di sini agar para peserta semua akan dapat bersatu hati untuk melestarikan bahasa Melayu kita, biarpun di medan perbahasan, di institusi pengajian ataupun di rumah. Dengan menggunakan bahasa Melayu dalam perbahasan juga bererti kita dapat menyampaikan buah fikiran, memujuk pendengar, meningkah kata lawan dengan cara santun dan membina kerjasama dengan rakan sepasukan untuk membina hujah dengan berkesan dan tersusun.

Lantas, melalui tema serumpun sebahasa, seiya sekata diharapkan dapat mencerna pemikiran dan pengalaman yang luas berbahas dengan rakan-rakan serantau, bak kata pepatah, ‘berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandai’.

Bahas Muhibbah

Saya amat mengalu-alukan pengambilan bahagian para pembahas setempat dan juga para pembahas dari Brunei Darussalam dan Malaysia. Saya yakin bahawa pelibatan mereka akan memperkaya pengalaman para pembahas setempat. Sudah pasti banyak pengetahuan yang boleh diraih daripada mereka.

Kepada para pembahas jemputan, terima kasih kerana sudi meluangkan masa walaupun anda sibuk dengan kegiatan harian anda. Saya berharap anda semua akan menikmati pengalaman berada di Singapura ini sebaik-baiknya. Saya yakin kehadiran anda di sini untuk berkongsi pengalaman bersama pembahas yang lain sangat bermanfaat. Walaupun jarak memisahkan kita, cinta kepada bahasa ibunda menyatukan aspirasi kita.

Hal inilah yang terus menjadi harapan Jawatankuasa Penggalakan dan Penggunaan Bahasa Melayu atau ringkasnya MLLPC. Kami gembira kerana MLLPC dapat terus menyokong 4PM menganjurkan program Perkampungan Bahasa ini. MLLPC akan terus komited dalam memberikan sokongan kepada pertubuhan masyarakat yang berminat dan bersungguh-sungguh menganjurkan aktiviti-aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan bagi pengguna bahasa Melayu di Singapura.

Penutup

Akhir kata, saya berharap semoga Perkampungan Bahas 2010 dapat meningkatkan kesedaran dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu di samping menjalinkan hubungan muhibah sesama kita. Semoga pengalaman yang diraih oleh para peserta semasa berlangsungnya perkampungan ini dapat dimanfaatkan demi kebaikan diri dan perkembangan bahasa Melayu.

Izinkan saya mengakhiri ucapan dengan serangkap pantun.

Riuh gelanggang acara bermula, Dimula indah bahasanya ilmu; Muhibah terjalin harapan di jiwa, Menegakkan bahasa teguh bersatu.

Sekian, terima kasih.