Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the Pre-school Parenting Symposium on Saturday, 24 April 2010, at 9.00am at Tampines Regional Library

Encik Zulkifli Mohammed, Presiden Majlis Pusat

Encik Haji Nasir Aman, Timbalan Presiden Majlis Pusat

Guru-guru

Para Ibu bapa

Para Hadirin sekalian

Selamat Pagi.

Saya amat berbesar hati kerana dapat merasmikan simposium ini. Saya difahamkan kemungkinan simposium ini merupakan simposium yang pertama dikhususkan untuk ibu bapa bagi kanak-kanak prasekolah. Saya amat gembira melihat ramai ibu bapa yang hadir pada pagi ini. Kehadiran hadirin semua pada pagi hujung minggu ini yang sudah tentunya amat berharga kepada diri anda. Anda dapat menimba pengetahuan tentang cara-cara untuk menyokong pembelajaran anak-anak anda dan dapat mengukuhkan iltizam anda untuk membuat sesuatu keputusan yang bernas sepanjang pengalaman anda sebagai ibu bapa. Hadirin sekalian

Tempoh pendidikan prasekolah merupakan satu fasa yang amat penting dalam pembesaran diri kanak-kanak. Fasa inilah yang akan menjadi asas pendidikan kanak-kanak sejurus sebelum mereka memasuki alam pendidikan formal. Baru minggu lalu saya bertemu dengan Professor Iram Siraj-Blatchford, seorang profesor dari Institut Pendidikan, Universiti London. Beliau dan kumpulannya telah melakukan kajian terhadap kemajuan dan perkembangan 2,800 kanak-kanak di England sejak mereka mula menghadiri pendidikan prasekolah lebih sepuluh tahun yang lalu. Kajian ini memberikan pemahaman unik berkenaan kesan positif yang berlarutan daripada pengalaman semasa kanak-kanak, lebih-lebih lagi berkenaan suasana pembelajaran di rumah dan kualiti prasekolah yang menyediakan kanak-kanak dengan asas yang kukuh dan permulaan yang baik.

Secara lahiriah, kanak-kanak mempunyai sifat sentiasa ingin tahu dan cara paling baik bagi mereka mempelajari sesuatu adalah melalui interaksi dengan ibu bapa dan dengan kanak-kanak lain. Memang sudah lumrah apabila ibu bapa melaporkan anak-anak mereka suka meneroka dan bertanya soalan-soalan berkenaan benda-benda yang mereka lihat di sekeliling mereka. Kajian Profesor Iram Siraj menunjukkan bahawa respons ibu bapa terhadap soalan-soalan anak-anak mereka dan dorongan terhadap sifat ingin tahu mereka itu mempunyai pengaruh yang besar terhadap sikap kanak-kanak tersebut terhadap pembelajaran. Keyakinan dan kemahiran bertutur seperti kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang-orang di sekeliling mereka boleh dibentuk melalui cara perbualan ibu bapa dengan anak-anak mereka serta keupayaan ibu bapa mengembangkan pemikiran anak-anak mereka.

Kanak-kanak belajar melalui apa yang mereka lihat, dengar dan alami. Kanak-kanak yang diberikan peluang untuk memerhati dan menemukan sendiri perkara-perkara baharu kemungkinan besar akan membentuk rasa cinta akan pembelajaran. Peluang-peluang ini boleh diwujudkan dalam aktiviti harian kanak-kanak atau rutin keluarga. Contohnya aktiviti-aktiviti yang dapat dijadikan sebagai aktiviti keluarga termasuklah aktiviti membaca kepada anak-anak mereka, sering ke perpustakaan dan bermain dengan angka-angka dan huruf-huruf. Ibu bapa boleh juga menyanyi bersama anak-anak mereka, melukis dan mengenalkan pantun, puisi dan lagu kanak-kanak kepada anak-anak mereka. Aktiviti-aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran kanak-kanak secara spesifik seperti mengaitkan huruf dengan bunyi dan memahami konsep angka tetapi juga dapat menyemai rasa cinta terhadap pembelajaran secara amnya.

Ibu bapa merupakan model utama yang pertama bagi anak-anak mereka. Sikap dan tatalaku yang mereka tunjukkan adalah lebih penting daripada arahan-arahan yang mereka berikan kepada anak-anak mereka. Sekiranya mereka ingin menggalakkan anak-anak mereka membaca, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak mereka. Kajian menunjukkan usaha ibu bapa dalam mewujudkan suasana pembelajaran di rumah yang positif akan membantu anak-anak membentuk sikap yakin diri, bekerjasama dengan rakan-rakan sekelas mereka dan berinteraksi dengan orang dewasa. Semua ini penting dan akan membolehkan mereka mencapai kecemerlangan di sekolah dan dalam kehidupan.

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa sikap dan tatalaku ibu bapa yang menyokong pembelajaran anak-anak di rumah boleh dipelajari. Malah perubahan positif dalam sikap dan tatalaku ibu bapa menyumbang kepada perkembangan diri kanak-kanak yang lebih baik. Misalnya, kanak-kanak menunjukkan kemajuan dalam membaca dan menulis apabila ibu bapa menghadiri program bagi meningkatkan keupayaan anak mereka membaca dan menulis semasa mereka di peringkat prasekolah. Saya yakin, kehadiran anda pada simposium hari ini pasti membantu anda memupuk minat anak anda untuk suka belajar. Diharapkan hal ini akan berlaku sepanjang hayat mereka. Hadirin sekalian

Saya telah diberitahu bahawa kini terdapat lebih 100 buah Kumpulan Sokongan Ibu Bapa atau PSGs, di tadika-tadika dan banyak lagi kumpulan yang bakal dibentuk. Saya gembira kerana lebih banyak pusat prasekolah dan ibu bapa bekerjasama supaya mereka dapat memahami keperluan diri masing-masing dengan lebih baik lagi. Hal ini penting bagi kedua-dua pihak menyediakan satu persekitaran pembelajaran yang membina untuk kanak-kanak di pusat prasekolah dan di rumah. Namun hakikatnya ialah, para guru tidak boleh menggantikan ibu bapa—kasih sayang dan penjagaan ibu bapa itu unik, berharga dan tiada tolok bandingannya. Ibu bapa pula bukan pengganti guru. Setiap guru dan ibu bapa mempunyai peranan dalam menyokong dan melengkapi antara satu sama lain untuk melakukan yang terbaik bagi anak-anak kita. Bila kita dapat bekerjasama, anak-anak kita mempunyai peluang terbaik untuk berkembang. Bila satu bahagian tiada, atau apabila mereka tidak melengkapi satu sama lain, anak-anak kita akan berasa satu kehilangan.

Dengan usaha yang lebih giat untuk menggalakkan penyertaan keluarga yang lebih bermakna dalam peringkat prasekolah, perlu diingatkan bahawa komunikasi merupakan asas yang teguh dalam sebarang bentuk kerjasam. Pembelajaran menjadi satu risiko apabila guru menghala ke satu arah, tanpa memberitahu ibu bapa mengenai pembelajaran dan perkembangan anak mereka. Hal ini juga akan berlaku apabila guru dan ibu bapa tidak mempunyai persefahaman mengenai apa yang anak-anak perlu pelajari dan apa yang anak-anak mampu lakukan.

Cara yang paling berkesan bagi merangsang hubungan positif antara sekolah dan ibu bapa adalah melalui komunikasi yang dirancang dan berterusan. Komunikasi antara sekolah dan rumah yang berkesan ialah perkongsian maklumat dua hala. Hal ini penting untuk kejayaan anak-anak kita, dan merupakan satu peluang bagi pertukaran idea dan perkongsian persepsi. Pelibatan ibu bapa yang menggalakkan adalah pelibatan yang secara jujur, bertimbang rasa, dan jalinan hubungan yang konsisten. Apabila ibu bapa dan guru berkomunikasi dengan berkesan, hubungan positif dapat dijalin, masalah mudah diselesaikan, dan pasti kemajuan anak-anak meningkat.

Kesimpulannya boleh kita hayati dengan peribahasa ini, “ibarat kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar.” Peribahasa ini sesuai dengan keinginan kita, iaitu, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan bekerja rapat dalam menyediakan persekitaran yang positif lagi tekal, sesuatu yang penting untuk membina asas yang kukuh untuk pembelajaran anak-anak kita. Semoga simposium hari ini memberikan manfaat kepada anda semua.

Terima kasih.