Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentry Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at Prophet Muhammad's Birthday Celebrations organised by Jamiyah Singapore on 2 Apr 2010 at 2.30 pm at Tampines Stadium

Tuan Haji Abu Bakar Maidin, Presiden, Jamiyah Singapura

Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, Pengerusi, Jabatan Pendidikan Jamiyah Singapura

Para Tetamu yang dihormati

Para pelajar, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Assalamualaikum wrwb

Saya berasa syukur dan amat berterima kasih kepada Allah swt kerana dengan rahmatnya kita dapat meluangkan masa bersama-sama pada petang ini. Majlis ini, pada hemat saya, amatlah penting kerana ia melambangkan betapa prihatinnya Jamiyah terhadap kemajuan ilmu pengetahun ukhrawi dan duniawi anak-anak kita yang pada satu masa nanti bakal menjadi pemimpin tidak kira kepada diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat mahu pun negara.

Saya difahamkan bahawa Majlis Haflah yang dianjurkan setiap tahun ini, bertujuan untuk mengiktiraf para pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran mereka bagi tahun tersebut. Usaha ini amatlah digalakkan kerana para pelajar harus diberi perangsang untuk mereka terus maju dan berjaya dalam pendidikan dan kehidupan mereka. Peranan ibu bapa pula tidak kurang pentingya kerana mereka perlu menyokong dan membimbing anak-anak mereka demi perkembangan sahsiah, nilai, emosi dan sosial yang sihat. Peranan ibu bapa juga amat penting sebagai teman pembimbing anak-anak untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam pendidikan atau bidang akademik.

Tuan-tuan dan puan-puan

Dunia hari telah berubah dengan pesat. Cabaran-cabaran sosial yang dihadapi oleh keluarga dan masyarakat kita hari ini jauh berbeza dari isu-isu sosial masa lampau. Perspektif, keperluan, cabaran dan keprihatinan bagi pendidikan juga telah jauh berubah. Oleh itu, dalam mempersiapkan anak-anak kita untuk terus berjaya dalam era dunia global yang semakin bersaing ini, kita perlu memastikan agar kurikulum yang termasuk kandungan pelajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan penilaian perlu terus disesuaikan dengan perubahan dan keperluan masa hadapan dan perkembangan diri anak-anak kita. Jika hal ini dapat dilakukan, sudah pasti anak-anak kita akan menikmati pembelajaran mereka sebagai sesuatu yang relavan dan bermakna. Lantas, diharapkan mereka akan terus berusaha gigih memajukan diri mengahadapi hari muka dengan lebih yakin untuk terus berjaya.

Para hadirin sekalian

Pencapaian anak-anak kita dalam bidang akademik perlu diseimbangkan dengan perkembangan yang sihat dari aspek moral dan pendidikan ukhrawi. Dalam konteks ini, peranan dan kepentingan madrasah hujung minggu Jamiyah tidak dapat disangkal lagi. Hal ini penting kerana matlamat madrasah hujung minggu Jamiyah mendukung waswasan pendidikan nasional yang menyeluruh yang mana aspek moral dan etika juga amat ditekankan. Menerusi kelas-kelas yang dijalankan pada hujung minggu, para pelajar bukan sahaja dapat meningkat keupayaan dalam pelajaran mereka tetapi juga diasuh dalam nilai-nilai murni Islam agar mereka menjadi seorang insan yang dapat dicontohi. Mengenal bahasa Al-Quran oleh para pelajar di peringkat awal dapat menjadikan mereka insan yang lebih dekat dengan agama Islam. Di samping itu, keupayaan bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Arab dapat mendorong mereka menimba ilmu pengetahuan yang lebih meluas dan berhubung dengan orang-orang dari rantau Timur Tengah pada masa hadapan.

Akhir kata saya ingin mengucapkan syabas kepada Jamiyah Singapura kerana berjaya menganjurkan Majlis Haflah ini. Saya berasa syukur anak-anak kita kini dalam asuhan para asatizah yang berkelayakan dan berkebolehan. Hal ini amatlah penting bagi kita menjana pendidikan seimbang yang benar-benar memenuhi matlamat dan keperluan hari ini dan masa hadapan. Semoga anak-anak kita dan Jamiyah mancapai sasaran yang telah ditetapkan.

Semoga segala usaha murni Jamiyah terus mendapat kebarkatan demi kesejahteraan ummah dan kemajuan negara.

Sekian, Wabilahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Wrh Wbh.