Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentry Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the Launch of Berita Harian Student Newspapers - Gen G and i3 (i-CUBE) on Monday, 8 February 2010 at 3.00 pm at SPH Auditorium

Encik Patrick Daniel
Ketua Editor, Bahagian Akhbar Inggeris Melayu, SPH,

Encik Guntor Sadali,
Editor Berita Harian,

Editor-editor Berita Harian/Minggu

Guru-guru serta para pelajar yang saya kasihi

Selamat petang saya ucapkan.

Sikap suka membaca ialah kunci untuk menimba ilmu. Tabiat membaca pula memang sesuatu yang perlu dipupuk dari peringkat awal, pada usia yang muda. Lantas, menggalakkan anak-anak kita untuk suka membaca adalah penting.

Hakikat itu lebih penting lagi dalam konteks bahasa Melayu. Walaupun pencapaian pelajar Melayu kita dalam peperiksaan Bahasa Melayu kekal tinggi, tinjauan menunjukkan semakin ramai murid Melayu yang memasuki Darjah 1 datang dari keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah. Peratusannya meningkat daripada 0.5% pada tahun 1982 kepada 35% pada tahun 2009. Justeru penting bagi kita berusaha mendapatkan keseimbangan dalam menguasai kedua-dua bahasa ini.

Dalam sekitaran penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas, kita perlu berusaha dengan gigih untuk memastikan anak-anak kita berupaya dan selesa menggunakan bahasa Melayu, yang menjadi kunci kepada jati diri dan pemeliharaan warisan serta budaya kita. Hal ini penting kerana jati diri kita amat berkait rapat dengan nilai-nilai ketimuran yang baik untuk terus dijadikan panduan bagi kehidupan seharian kita.

Lantaran itulah, saya gembira dengan usaha proaktif Berita Harian untuk mengambil langkah menyumbang ke arah mencapai keseimbangan dalam penggunaan kedua-dua bahasa dan pemeliharaan jati diri masyarakat kita.

Hari ini, kita berkumpul untuk melancarkan akhbar pelajar pertama terbitan Berita Harian—satu titik bersejarah bagi akhbar tunggal bahasa Melayu di Singapura.

Saya gembira Berita Harian sedar akan pendekatan yang berbeza-beza yang perlu dilaksanakan untuk menarik minat golongan muda. Kita perlu terus menarik perhatian golongan muda ini, yang terdedah kepada pelbagai maklumat di Internet dan media baharu. Akhbar utama Berita Harian, yang disasarkan kepada pembaca umum, mungkin kurang berupaya menarik perhatian pembaca muda.

Akhbar pelajar mingguan terbitan Berita Harian ini mempunyai pendekatan yang bersesuaian dengan peringkat dan minat pelajar. Akhbar ini dinamakan ‘Gen G’ sebagai singkatan untuk ‘Generasi Geliga’ bagi murid darjah 4 hingga 6 dan i3 (i-CUBE) pula singkatan untuk ‘Inspirasi, Innovasi dan Idea’ bagi pelajar sekolah menengah, kandungan akhbar ini dihasilkan khas untuk pelajar.

Dari edisi awalnya sejauh ini, sejak diterbitkan pada 4 Jan lepas, kandungan ‘Gen G’ dan ‘i3’ (i-CUBE) cuba mengetengahkan sesuatu yang rancak, dinamik dan bertenaga. Lebih penting lagi, maklumatnya relevan kepada pelajar— merangkumi laporan mengenai isu-isu yang mendedahkan mereka kepada pengetahuan am termasuk ilmu sains, bahasa, budaya, karya kreatif seperti cerpen dan sajak serta latihan-latihan untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka. Sememangnya, usaha ini mendedahkan para pelajar kepada kaitan dan luasnya penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masa kini. Saya pasti, selain pelajar, guru-guru juga perlu memanfaatkan ’Gen G’ dan ‘i3’ (i-CUBE) untuk meningkatkan pelibatan pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu di bilik darjah. Dalam masa yang sama, guru juga harus arif mengaitkannya dengan keperluan sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

Selain ‘Gen G’ dan ‘i3’ (i-CUBE), saya juga gembira dengan usaha Berita Harian yang terus mendekati golongan muda di sekolah rendah dan menengah menerusi Kelab Obor. Saya difahamkan bahawa kelab yang ditubuhkan tiga tahun lalu itu, menganjurkan pelbagai kegiatan untuk pelajar dan guru. Sejak ditubuhkan, lebih 1,000 orang pelajar dan guru telah menyertai perkhemahan media, bengkel penulisan dan fotografi, sesi perkongsian serta forum pendidikan yang dianjurkan Kelab Obor.

Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya berharap agar Berita Harian akan meneruskan usaha murni ini selaras dengan usaha kita membentuk pelajar ke arah visi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, Arif Budiman.

Sekian, terima kasih.