Speeches

Speech (in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the Arif Budiman Lecture Series 2, on Saturday 7 November 2009, 8.30am at the MOE Edutorium

Encik Mohamed Noh Daipi
Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan
Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, MOE

Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Pengarah, Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

Para guru, ibu bapa, pelajar dan hadirin sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera

Pengenalan

Saya gembira kerana dapat bersama-sama dengan hadirin sekalian dalam majlis Ceramah Arif Budiman 2009 pada pagi ini. Ini merupakan kali kedua Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Unit Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan menganjurkan Ceramah Arif Budiman ini dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan anggota masyarakat kita.

Hadirin sekalian, jika ceramah yang pertama pada September lalu memberi tumpuan pada aspek bahasa, ceramah kali ini pula mengenai aspek budaya yang menyentuh tentang jati diri dan peradaban Melayu.

Kita beruntung sekali kerana berpeluang menimba ilmu daripada pakar bahasa dan budaya Melayu dari Malaysia, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan. Semoga para hadirin sekalian mendapat manfaat daripada ceramah beliau sebentar nanti.

Kedinamikan Budaya Melayu

Hadirin sekalian, sebagaimana yang kita maklum, masyarakat Melayu kaya dengan sejarah, kebudayaan dan tradisinya. Di mana sahaja masyarakat Melayu berada, sama ada di rantau Melayu mahupun di bahagian dunia yang lain, pada dasarnya kita berkongsi satu sumber sejarah dan kebudayaan yang sama. Namun, pada masa yang sama, kedinamikan budaya memberikan keunikan dalam konteks masyarakat Melayu yang hidup dalam lingkungan geografi dan sosio-politik dan sosio-ekonomi yang berbeza.

Dalam konteks masyarakat negara kita yang berbilang bangsa, bahasa dan agama, mengenali warisan kita sudah pasti akan mengukuhkan jati diri kita. Dengan memahami pembentukan peradaban Melayu, kita akan lebih peka akan nilai dan tradisi yang menghubungkan satu generasi dengan satu generasi yang lain. Sekaligus memberi kesedaran nilai dan tradisi yang malar segar, tidak mengira zaman.

Polemik melalui akhbar yang berlaku dua bulan lalu tentang cara yang sesuai bagi masyarakat Melayu/Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri amat menarik sekali. Perdebatan yang berlaku melibatkan ramai anggota masyarakat dari kumpulan umur dan latar belakang pendidikan yang berlainan. Natijahnya, perbahasan melalui media menunjukkan bahawa orang Melayu amat peka tentang budaya mereka dan orang Melayu tidak keliru bahawa cara perayaan mereka adalah suatu ibadah dan cara beraya dari sisi agama. Asas yang dipegang amat kukuh, iaitu mengekalkan warisan demi kelangsungan jati diri kita sebagai sebuah masyarakat yang progresi sekaligus arif beragama. Kita yakin dan boleh meneruskan tradisi kerana tahu di mana ia tidak bercanggah dengan akidah dan tidak membebankan diri dari segi ekonomi dan keberkesanan kita.

Menerapkan Aspek Budaya Dalam Diri Pelajar

Hadirin sekalian, apakah aspek nilai dan budaya yang ingin kita terapkan dalam diri pelajar kita? Apakah nilai yang dapat mereka praktikkan apabila mereka berhubung dengan masyarakat umum atau setelah mereka menamatkan pengajian?

Sememangnya banyak kemahiran hidup yang menjadi teras nilai dan tradisi masyarakat Melayu kita yang kekal relevan dalam masyarakat negara bandar seperti Singapura. Dan kemahiran-kemahiran inilah yang perlu kita terapkan dalam diri pelajar kita.

Hal ini kerana nilai dan tradisi Melayu tidak bercanggah dengan nilai masa kini, malah mengukuhkan kemahiran dan perwatakan peribadi, kemahiran interpersonal dan kemahiran global pelajar kita. Antara kemahiran tersebut ialah nilai moral, kesedaran sosial, bekerja dalam kumpulan mahupun kemahiran silang budaya dan kesedaran akan perubahan global.

Justeru, yang lama jangan lekas-lekas dibuang, yang baharu jangan mentah-mentah ditolak. Budaya adalah manifestasi zaman. Oleh itu, untuk kekal teguh dengan jati diri yang bersatu dengan ikatan muafakat, kita perlu terus bersedia menghadapi cabaran dalam mengekalkan bahasa dan budaya Melayu dalam diri generasi muda kita.

Kepada para guru, teruskanlah usaha untuk meningkatkan kefasihan anak muda kita dalam bahasa Melayu dan semaikanlah minat mereka terhadap kesusasteraan. Usaha ini akan mencambahkan bibit-bibit pemahaman, penghayatan, dan kecintaan terhadap budaya serta seterusnya rasa bangga mempunyai jati diri Melayu kita.

Penutup

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekalung budi saya ucapkan kepada Sekretariat MLLPC dan para pegawai Unit Bahasa Melayu, MOE yang bekerjasama dalam menganjurkan majlis ini. Setinggi-tinggi terima kasih saya juga kepada Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, yang telah meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dengan hadirin sekalian.

Terima kasih juga kepada hadirin sekalian yang telah bersama-sama mendalami pengetahuan kita tentang kebudayaan dan peradaban Melayu. Semoga Siri Ceramah Arif Budiman ini akan merealisasikan visi Arif Budiman dan terus mendapat sokongan masyarakat Melayu pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.