Speeches

Speech by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the Thank-you Dinner for MLLPC Members on 14 April 2009 at 7.45 PM, at Kintamani Restaurant, Furama RiverFront Hotel

Encik Yatiman Yusof, Pesuruhjaya Singapura ke Kenya

Ahli-ahli Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC)

Sekretariat MLLPC

Assalamualaikum wbh

Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan anda pada hari ini dalam majlis makan malam yang dianjurkan khas untuk menghargai sumbangan anda semua, ahli perintis Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu.

Menyusuli saranan MLCPRC atau Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu pada 2005, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) telah dibentuk oleh Kementerian Pendidikan Singapura. Tujuan utama pembentukan MLLPC ialah untuk mendapatkan sokongan masyarakat dalam menyemai dan menyuburkan minat pelajar dalam bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. MLLPC bergabung tenaga dengan pertubuhan masyarakat Melayu, pihak media, institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah untuk menganjurkan program dan kegiatan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. MLLPC menyediakan dana kepada pertubuhan untuk menganjurkan program dan kegiatan tersebut.

Perkembangan MLLPC sepanjang penubuhannya

Sepanjang penubuhannya, MLLPC telah menyokong banyak pertubuhan masyarakat dalam menjayakan aktiviti-aktiviti kebahasaan yang telah mereka rancangkan dan anjurkan. Aktivit-aktiviti yang didanakan juga rencam bentuknya dan luas jangkauannya daripada khusus untuk para pelajar hinggalah kepada aktiviti bagi masyarakat umum. Yang utama, semua aktiviti yang diberikan dana oleh MLLPC mempunyai matlamat untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar khususnya dan masyarakat Melayu secara amnya. Di samping itu, MLLPC juga mengambil inisiatif untuk mengenalpasti dan menganjurkan kegiatan ikonik yang dianjurkan oleh MLLPC dengan kerjasama pertubuhan tertentu. Salah satu daripada aktiviti tersebut ialah Kuiz Cepat Tepat yang baru sahaja menamatkan siarannya pada hari Selasa lalu. Kuiz Cepat Tepat disokong oleh MDA. Kuiz itu telah menerima sambutan yang sangat baik daripada masyarakat Melayu dan ini tentu sekali memberangsangkan kita dalam usaha mewujudkan wadah untuk para pelajar menggunakan bahasa Melayu secara kerap dan tepat.

Dari tahun 2007 hingga 2008, MLLPC telah menyokong dan menganjurkan sebanyak 53 aktiviti (lihat Annex A). MLLPC telah membelanjakan lebih daripada setengah juta dolar bagi kegiatan-kegiatan tersebut. Pastinya kegiatan-kegiatan itu telah mengayakan pengalaman pelajar, guru dan orang awam yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan tersebut.

MLLPC dan perkembangan penggunaan bahasa Melayu

Sebagai Pengerusi MLLPC dan wakil Kementerian Pendidikan Singapura, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap anggota MLLPC yang telah berkhidmat dari Januari 2006 hingga Mac 2009 atas sokongan, sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan kepada MLLPC. Sokongan dan sumbangan anda telah mengukuhkan struktur dan fungsi MLLPC dalam masyarakat sebagai pemangkin dan pemacu penting dalam meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, guru dan awam serta meningkatkan minat dan penghargaan mereka terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. Sesungguhnya, anda telah menyumbang kepada kemantapan dan keutuhan kedudukan MLLPC dalam masyarakat. Syabas saya ucapkan kepada anda semua.

Perubahan keanggotaan MLLPC adalah suatu usaha yang tidak dapat dielakkan kerana kita perlu memperkenalkan pembaharuan yang diseimbangkan dengan prinsip kesinambungan. Lantas, saya berpendapat, sudah tiba masanya MLLPC memberikan peluang kepada generasi baharu untuk memacu teraju kepimpinan MLLPC bagi terus memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu di Singapura. Sudah tibalah masanya jawatankuasa yang sedia ada memberikan laluan kepada jawatankuasa yang baharu.

Namun, kesinambungan juga perlu untuk meningkatkan keberkesanan MLLPC. Seperti yang saya maklumkan semasa mesyuarat pada 3 minggu lalu, ahli-ahli jawatankuasa baharu akan dilantik tetapi ada juga ahli-ahli jawatankuasa yang sedia ada akan dijemput untuk terus kekal untuk memberikan dorongan kepada ahli-ahli yang baharu dan dalam memastikan terdapat kesinambungan dalam kepimpinan MLLPC.

InsyaAllah, MLLPC akan terus kekal, relevan dan berkesan. Sokongan anda, sama ada dari dalam atau luar MLLPC amat kami perlukan dan hargai. Kami harap pertubuhan masyarakat Melayu akan terus memberikan sokongan dan kerjasama dengan sentiasa menganjurkan aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan bagi penggalakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih luas dan berkesan bagi pelajar, guru, ibu bapa dan awam. Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sekali lagi bagi pihak Kementerian Pendidikan, Singapura dan MLLPC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota jawatankuasa yang telah sama-sama menyumbang masa dan tenaga sepanjang penubuhan jawatankuasa ini sejak tahun 2006. Sesungguhnya, hanya dengan bekerjasama dapat kita memastikan perkembangan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna-penggunanya.

Izinkan saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun:

Anak haruan lima-lima
Mati ditimpa punggur1 berdaun
Budi tuan kami terima
Jadi kenangan bertahun-tahu

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Sekian terima kasih dan selamat menjamu selera.

Wassalam.

Footnotes:

  1. Punggur = batang kayu mati yang tidak ada dahannya lagi. Kamus Dewan (edisi keempat), halaman 1249

Annex A

Permohonan Yang diterima dan jumlah dana yang diberikan oleh Jawatankuasa pembelajaran dan penggalakan penggunaan bahasa melayu (mllpc) 2007-2009

Tahun Jumlah permohonan daripada pertubuhan/individu Jumlah permohonan yang diluluskan Jumlah dana yang diberikan
2007 18 (10) 13 (5) $162,189.95
2008 36 (13) 30 (11) $351,670.00
2009
(Jan-Apr)
16 (12) 10 (8) $37,570.75
Total 70 53 $551,430.70
Nota: Angka dalam kurungan mewakili jumlah pertubuhan yang memohon dana. Terdapat pertubuhan yang memohon dana untuk lebih daripada satu kegiatan. Dana tidak diberikan kepada pemohon individu melainkan individu tersebut ditugaskan oleh MLLPC untuk menjayakan projek tersebut.