Speeches
Speech (delivered in Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education and Ministry of Home Affairs, at the 18th Temasik Talk, on Saturday, 19 July 2008, 2.30pm at OnePeople.sg
Yang berbahagia
Dr Bibi Jan Md Ayyub
Presiden, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura
Ahli Jawatankuasa Pengelola KGMS
Guru-guru, Asatizah dan para hadirin sekalian.
Assalamualaikum Wr Wb.
Selamat petang dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) kerana telah sudi mengundang saya sebagai Tetamu Terhormat dalam majlis ilmu ini. Syabas juga kepada KGMS kerana telah secara mantap menganjurkan Ceramah Temasik setiap tahun dan pada tahun ini bersempena dengan Bulan Bahasa 2008.
Ini merupakan hujung minggu ketiga sambutan Bulan Bahasa 2008 dan pada hari ini sahaja, akan berlangsung atau sedang berlangsung tidak kurang daripada 12 kegiatan di merata kawasan di Singapura termasuklah kegiatan Ceramah Temasik ini.
Kegiatan-kegiatan ini dijalankan oleh pelbagai badan termasuk, Lembaga Perpustakaan Negara, ASAS 50, KGMS, Persatuan Guru Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan dan beberapa Kelab Masyarakat dari pelbagai daerah.
Satu perkara yang menarik ialah usahasama dan kerjasama yang diadakan antara kelab-kelab masyarakat dengan sekolah-sekolah bagi menganjurkan kegiatan-kegiatan sempena Bulan Bahasa 2008. Sebagai contoh, Kelab Masyarakat Boon Lay bekerjasama dengan Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang untuk menganjurkan Kuiz Bahasa dan Budaya manakala Kelab Masyarakat Fuchun dan Marsiling bergabung dengan Maktab Rendah Innova untuk menganjurkan Peraduan Bercerita dan Deklamasi Sajak. Malah, saya dimaklumkan bahawa pagi tadi, KGMS dan Maktab Rendah Tampines telah sama-sama menganjurkan Ceramah Arif Budiman yang kedua.
Usaha seperti ini amat digalakkan sebab banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh kedua-dua pihak. Pihak penganjur yang lebih berpengalaman boleh berkongsi pengalaman mereka dengan golongan muda tentang cara dan proses menganjurkan sesuatu kegiatan di peringkat kawasan undi mahupun di peringkat nasional seperti yang sedang dijalankan sempena Bulan Bahasa 2008. Golongan muda pula dapat berjinak-jinak menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dan menimba ilmu dari sukarelawan-sukarelawan yang bertugas.
Semua pengalaman ini tidak mungkin dapat dialami di bilik darjah. Golongan muda akan lebih memahami kerja-kerja kemasyarakatan yang dijalankan dan pengorbanan para sukarelawan yang melaksanakan tugas-tugas tersebut. Ini sedikit sebanyak akan memberi para pelajar pendedahan awal kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan semangat ini dapat dipupuk sejak awal lagi.
Topik perbincangan bagi ceramah yang akan disampaikan oleh Dr Sanat Md Nasir iaitu ‘Peranan Dialek dalam Pembentukan Istilah’ adalah bersesuaian dengan cogan kata Bulan Bahasa 2008 yang berbunyi, ‘Sempurnakan Bahasa. Gunakan Sentiasa.’ Dalam usaha kita menyempurnakan bahasa, adalah penting bagi para pendidik memastikan para pelajar mengetahui dan memahami bahawa perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu tidak boleh dibentuk dengan sewenang-wenangnya.
Setiap perkataan baharu yang diperkenalkan dalam bahasa Melayu telah menjalani suatu proses pembentukan kata seperti pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Saya tidak akan menerangkan proses-proses tersebut sebab Dr Sanat akan menerangkannya dengan lebih lanjut sebentar nanti.
Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah timbulnya perkataan-perkataan di media massa yang kurang sesuai dan tidak mengikut proses pembentukan kata yang disebutkan tadi. Sebagai contoh, perkataan sureheboh dan surebagus. Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh juruacara di dalam dan di luar negara.
Para penonton, terutama kanak-kanak yang menonton rancangan-rancangan tersebut akan meniru dan menggunakan perkataan-perkataan tersebut dalam perbualan mereka. Yang dikhuatiri, perkataan tersebut akan digunakan dalam bentuk tulisan sebab mereka menganggap perkataan yang digunakan di media massa adalah betul.
Ada banyak lagi contoh yang saya yakin para guru sendiri telah kesan di media massa. Mungkin penceramah kita, Dr Sanat juga mempunyai beberapa contoh lain yang beliau akan kongsi bersama. Yang penting, kita harus menjelaskan kepada para pelajar bahawa mereka harus menggunakan bahasa yang baku; baku dari segi ejaan, permaknaan, perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebutan. Mereka tidak boleh menggunakan perkataan baharu hanya sebab pengacara, juruhebah atau artis menggunakannya di media massa.
Dengan adanya usaha yang jitu dan berterusan dari pelbagai pihak termasuk guru-guru, golongan karyawan, pihak media massa dan semua pengguna bahasa Melayu, saya yakin matlamat kita untuk menyempurnakan bahasa Melayu akan tercapai, selaras dengan slogan Bulan Bahasa 2008; Sempurnakan Bahasa. Gunakan Sentiasa.
Selain Bulan Bahasa, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) juga menyokong penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang tahun. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan termasuklah Kuiz Bidai oleh Perbayu (NIE/NTU), Program Penghayatan Sastera oleh PGBM, Seminar Belia Arif Budiman oleh Maktab Rendah Tampines, Pertandingan Pidato oleh Persatuan Bahasa Melayu (NUS) dan Bengkel Bahas oleh 4PM.
Saya ingin memaklumkan kepada para guru bahawa dana MLLPC boleh digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang melibatkan pelajar-pelajar di sekolah di semua peringkat. Jika guru-guru berminat untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan kebahasaan yang baharu di peringkat kelompok atau peringkat nasional dan tidak pernah mendapat peruntukan kewangan daripada sekolah dan kelompok sekolah, silalah bermohon untuk mendapatkan pendanaan dari MLLPC. Borang permohonan boleh didapati di lelaman rasmi mllpc.sg.
Guru-guru dan pihak sekolah boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada badan-badan yang telah disebutkan tadi yang saya yakin bersedia untuk berkongsi maklumat dan pengalaman. Adalah lebih baik jika sekolah-sekolah bekerjasama dengan badan-badan tersebut untuk menganjurkan pelbagai kegiatan yang dapat dimanfaatkan oleh golongan pelajar dan masyarakat umum.
Semoga usaha bersepadu ini akan merancakkan lagi suasana pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan bahasa Melayu di Singapura.
Saya akhiri dengan serangkap pantun.
Raja Arif turun ke taman,
Taman larangan Betara Indera;
Arif bertemu dengan budiman,
Terindah daripada laut mutiara.
Sekian, Wassalamualaikum Wr. Wb.

