Speeches

Speech (in Malay) delivered by Mr Masagos Zulkifli, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education, at the Pertapis Education Seminar at the Le Meridian Hotel on 28 June 2008 at 9.00am

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamu’alaikum wr wb
Dan salam sejahtera

Encik Mohd Gazali Mohd Arshad,
President PERTAPIS

Anggota Lembaga Eksekutif PERTAPIS

Para ibu bapa, para pendidik, serta hadirin yang saya hormati

Pendahuluan

Saya amat bersyukur ke hadrat illahi kerana kita dapat bersama pagi ini di dalam suatu lagi majlis ilmu di bawah naungan Rangkaian Pendidikan Forum Pemimpin Masyarakat.

Sejak ditubuhkan pada 2003, Forum Pemimpin Masyarakat atau lebih dikenali dengan CLF, telah menjadi wadah bagi badan-badan Melayu/Islam untuk berganding bahu dan sama-sama menangani isu-isu genting yang dihadapi masyarakat kita. Sejauh ini, 20 pertubuhan Melayu/Islam telah bekerjasama untuk menjalani pelbagai projek di bawah naungan CLF, dan PERTAPIS adalah salah satu daripadanya.

Kemahiran dan pengalaman PERTAPIS dalam mengendalikan beberapa rumah kebajikan yang diwartakan pemerintah (gazetted welfare homes) dan program-program untuk golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah, menjadikan mereka rakan kongsi yang tepat untuk menjalankan program-program pembangunan seperti program sepadu untuk pembangunan remaja atau NUR dan siri seminar pendidikan untuk golongan ibu bapa.

Siri Seminar Pendidikan untuk golongan ibu bapa telah diperkenalkan Rangkaian Pendidikan sejak 2004. Tujuan utamanya ialah untuk memperlengkapkan ibu bapa dengan maklumat terkini tentang lanskap pendidikan kita yang sering berubah-ubah. Pada masa yang sama, melalui seminar seperti ini, para ibu bapa berpeluang untuk menimba ilmu dan mendapatkan panduan tentang bagaimana kita boleh mewujudkan suasana yang positif dan merangsang pembangunan minda anak-anak kita supaya mereka dapat terus maju dalam pelajaran.

Dengan sokongan dari rakan kongsi di bawah naungan Rangkaian Pendidikan seperti PERTAPIS, 4PM, Jamiyah, Muhammadiyah dan PPIS semenjak tahun 2006, Siri Seminar Pendidikan ini telah dapat diperluaskan dan memanfaatkan hampir 6,300 ibu bapa - peningkatan hampir tiga kali ganda jika dibandingkan dengan bilangan yang dicapai dua tahun sebelumnya. Kami harap, lebih ramai lagi badan-badan Melayu akan tampil kehadapan supaya kita dapat memanfaatkan kesan gandaan atau multipliler effect dan menyebarkan program-program seperti ini dengan lebih meluas.

Pentingnya Memperkasa Ilmu Keibubapaan

Tema seminar hari ini “Memperkasakan Ibubapa” memang amat tepat sekali, kerana peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak kita tidak dapat diperlekehkan, terutamanya di dalam zaman yang begitu mencabar hari ini.

Persekitaran yang dihadapi anak-anak kita jauh berbeza daripada apa yang kita lalui puluhan tahun yang lalu. Selain dari terpaksa mengharungi sekitaran persekolahan yang berdaya saing, anak-anak kita juga amat terdedah kepada pelbagai pengaruh yang mungkin bercanggahan dengan budaya dan adat kita sebagai orang Timur. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlukan kemahiran baru supaya kita dapat membimbing anak-anak kita dengan lebih efektif. Saya difahamkan, antara topik yang akan diketengahkan hari ini, ialah cara-cara untuk mengasah potensi, memahami perasaan anak-anak remaja kita dan mempelajari strategi-strategi baru supaya dapat berkomunikasi dengan mereka dengan lebih baik dan erat lagi. Saya pasti panduan-panduan yang diberikan amat berguna dan mudah untuk kita praktikan di rumah.

Pada masa yang sama, CLF juga sedang dalam proses melakarkan satu sukatan yang menggariskan beberapa kemahiran teras keibubapaan atau core parenting skills yang diperlukan ibu bapa hari ini. Antaranya - bagaimana menjana keluarga yang berdaya tahan (resilient families), kemahiran merancang kewangan kita dan memahami perkembangan psikologi dan emosi anak-anak kita dari bayi hingga ke peringkat remaja. Kemahiran-kemahiran ini penting supaya kita boleh menjadi ibu bapa yang lebih berkesan dan dapat berkomunikasi dan membimbing anak-anak kita dengan lebih baik. Program ini bakal diperkenalkan mulai tahun depan dan akan dikendalikan oleh Rangkaian Pembangunan Keluarga. Siri Seminar Pendidikan kelolaan Rangkaian Pendidikan pula akan memusatkan perhatian kepada isu-isu berkaitan degan pendidikan seperti informasi terkini mengenai lanskap pendidikan yang berubah-ubah dan bagaimana ibu bapa boleh menabung untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka, sehingga peringkat setinggi yang boleh.

Pentingnya Penglibatan Ibu Bapa

Izinkan saya untuk menyampaikan ucapan syabas kepada para ibu bapa yang hadir pada pagi ini kerana telah mengambil inisiatif untuk menghadiri majlis ilmu seperti ini walaupun sibuk dengan tugas-tugas seharian dan terpaksa mengimbangi masa antara kerja dan kewajipan di rumah. Kehadiran anda pagi ini membuktikan bahawa anda akur pentingnya keluarga dan sedia bertindak positif untuk memperbaiki keadaan keluarga anda.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan para ibu bapa untuk menghadiri sesi-sesi seminar selanjutnya yang dianjurkan badan-badan yang lain. Rangkaian Pendidikan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan mengadakan empat lagi siri seminar pada bulan Julai dan Ogos tahun ini. Seminar yang akan diadakan pada 12 dan 26 Julai akan tertumpu kepada isu-isu pendidikan di sekolah rendah, manakala, sesi pada 16 dan 23 Ogos akan menumpukan perhatian kepada isu-isu pendidikan di peringkat menengah. Jadi, jangan lepaskan peluang ini.

Harapan kami, kesungguhan yang ditonjolkan ibu bapa dan kesediaan kita untuk meluangkan masa menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ini akan menjadi contoh dan inspirasi kepada anak-anak kita untuk tidak putus-putus menimba ilmu dan mempertingkatkan diri.

Kesimpulan

Untuk mendorong dan mengalak anak-anak Melayu/Islam kita meraih kecemerlangan dan senantiasa maju ke hadapan, Rangkaian Pendidikan Forum Pemimpin Masyarakat akan terus menjana berbagai usaha bersama rakan kongsi seperti PERTAPIS untuk menganjurkan program-program pendidikan yang boleh dimanfaatkan bersama. Semoga kerjasama dalam usaha murni ini akan berterusan.

Akhir sekali, izinkan saya juga untuk sekali lagi mengucapkan tahniah kepada PERTAPIS, serta rakan-rakan kongsi yang lain, atas sokongan dan komitmen mereka untuk meneruskan usaha ini supaya kita sama-sama dapat mencapai visi masyarakat yang cemerlang.

Sekian. Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu’alaikum wr. wb.