Speeches
Ucapan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Setiausaha Parlimen Kanan Kememterian Pendidikan dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, dan Anggota Parlimen Bagi GRC Tampines di Majlis Ulang Tahun Ke-5 Sayap Belia Asas '50, Sabtu, 14 Jun 2008, 2.30 petang, Perpustakaan Bedok
Dr Muhd Ariff Ahmad, Presiden Seumur Hidup, ASAS ’50
Encik Mohd Pitchay Gani, Timbalan Ketua Satu ASAS ’50
Sdr Suryadi Mohd Bajuri , Ketua Belia ASAS ’50
Sdr Fariz Husna Sajani, Pembimbing Belia ASAS ’50
Para Belia, Aktivis Persuratan
dan hadirin yang saya hormati
Assalamualaikum wr. wb
Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama para hadirin sekalian dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-5 Sayap Belia ASAS ’50 pada petang ini. Saya juga berasa begitu bangga atas undangan untuk melancarkan buku antologi cereka sains yang pertama di Singapura berjudul Scrinik. Ini disusuli dengan pelancaran dua inisiatif terkini belia ASAS ’50, iaitu, pameran Potret-Sajak dan Graftera.
Hal ini jelas menunjukkan keupayaan belia ASAS’50 untuk mengajukan inisiatif-inisiatif yang segar, membangun dan relevan dengan selera golongan belia generasi kini. Saya gembira dengan usaha para belia ASAS ’50 dalam mempromosikan bahasa dan sastera Melayu melalui aktiviti-aktiviti yang menjana daya kreatif dan kritis yang sebegini.
Karya-karya yang bakal ditampilkan merupakan seratus peratus karya belia; dicipta oleh belia, untuk belia. Saya pasti proses penciptaan karya-karya ini telah menyentuh naluri para peserta dan memberi kesan akan peri pentingnya bahasa dan sastera sebagai wadah pengucapan idea bagi masyarakat. Saya juga berharap agar para peserta juga sedar akan kepentingan peranan belia selaku agen perubahan dan pembangunan. Malah, menurut Profesor Syed Hussein Alatas, seorang ahli sosiologi, “…keterampilan belia dalam mengaplikasikan tenaga intelektual dan moral untuk memahami dan menghuraikan isu-isu genting merupakan kunci kepada kecemerlangan sesebuah masyarakat. “
Antara isu-isu genting ini termasuklah penularan aliran radikalisme dalam ideologi. Isu ini dirumitkan lagi dengan sempadan geografi yang semakin kabur, apatah lagi dengan peningkatan keupayaan mengakses maklumat dan berkomunikasi yang meluas di alam digital. Di sinilah para belia sering menjadi sasaran. Oleh itu, kita harus membentuk belia Singapura yang matang, progresif dan komited terhadap kemajuan negara. Saya fikir belia ASAS ’50 wajar dijadikan contoh pergerakan belia yang mempunyai ciri-ciri tersebut. Kesungguhan dalam meneliti dan mengupas hal-hal yang melanggar hukum kemanusiaan melalui karya-karya kreatif melambangkan keutuhan sendi moral yang dipegang oleh para belia ini.
Justeru, saya fikir amat wajar jika kita memberikan pengiktirafan diberikan kepada saudara Fariz Husna Sajani, Pelopor dan kini Pembimbing Sayap Belia ASAS ’50. Gagasan yang diapungkan pada tahun 2003 kian mantap, dikemas kini dan dilaksanakan. Dengan mekanisme yang tersendiri, belia ASAS ’50 telah berjaya untuk merencam dan merancakkan penglibatan belia dalam aktiviti-aktiviti persuratan pada tahap nasional. Dengan aktiviti-aktiviti ini, diharapkan belia ASAS ’50 akan terus menarik perhatian para belia lain untuk turut dan sekaligus meningkatkan jumlah keanggotaannya.
Saya juga mengucapkan syabas kepada ASAS ’50 dalam menggerakkan beberapa inisiatif mercu tanda bagi hampir setiap zaman. Ini kerana tuntutan dan keperluan setiap zaman berbeza. Tambahan lagi, peredaran zaman juga membawa perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ini bukan hanya dibataskan pada pendekatan dalam perjuangan, malah perubahan dalam pucuk pimpinan yang dilaksanakan secara tersusun. Dalam mengenal pasti golongan pemimpin belia yang berpotensi, saya fikir ASAS ’50 tidak menghadapi sebarang masalah. Selain itu, saya berharap agar ASAS ’50 akan terus menerbitkan buku-buku yang bermutu seperti antologi Scrinik yang akan dilancarkan pada hari ini. Ini juga harus diselarikan dengan aktiviti-aktiviti kreatif untuk para belia seperti penggemblengan grafitti dan sastera dalam Graftera. Dengan melaksanakan lebih banyak projek dalam aliran nasional, ASAS ’50 boleh menjadi aset kepada masyarakat dan juga negara.
Saya harap agar belia ASAS ’50 dapat menajamkan dan melanjutkan perjuangan dengan memanfaatkan projek-projek di peringkat nasional, rantau dan antarabangsa dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Kementerian Pendidikan (MOE), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan sebagainya. Dengan sokongan dana, infrastruktur dan sumber, saya yakin belia ASAS ’50 dapat mencapai misi mereka untuk RAP, yakni, membina Rangkaian Aktiviti Persuratan. Dengan ini, ASAS ’50 diharapkan dapat menjadi institusi persuratan yang dinamik, sekaligus meletakkan arena persuratan Singapura di peta dunia.
Saya juga mengharapkan agar belia ASAS ’50 dapat mengatur langkah-langkah proaktif dalam mendukung slogan mereka “Seni Bina Belia.” Seni yang membina itu bukanlah hanya dari segi estetiknya sahaja. Malah, menurut Vissarion Belinsky, seorang pemikir Rusia: “…seorang seniman/sasterawan yang perkasa dapat menggunakan bakat dan inteleknya untuk berbakti kepada masyarakat, lantas membangunkannya.” Justeru, dalam membina belia melalui sastera, anda juga membina generasi Melayu yang akan mengambil alih pucuk pimpinan masyarakat untuk masa hadapan.
Saya difahamkan bahawa arena persuratan dan kesenian Melayu di Singapura bergerak serentak ke arah yang progresif. Lebih banyak buku yang diterbitkan dan pelbagai aktiviti yang telah dirancangkan untuk tahun ini. Saya juga tertarik dengan hasrat melanjutkan sambutan ini sehingga bulan Julai dengan adanya satu forum belia membincangkan “Belia dan sastera dalam membentuk ideologi progresif.” Peluang untuk menonjolkan aktiviti-aktiviti belia semakin bertambah dengan kejayaan Singapura menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Belia (YOG) pertama pada tahun 2010. Inilah peluang untuk merealisasikan potensi yang ada pada sayap belia ASAS ’50.
Sekali lagi, saya mengucapkan syabas kepada belia ASAS ’50 atas kejayaan menganjurkan majlis pada petang ini. Karya-karya belia yang kreatif, menyegarkan dan bermutu tinggi ini jelas membuktikan bahawa generasi muda kita mempunyai potensi besar yang jika dipandu, didorong dan digilap dapat menghasilkan sasterawan yang berilmu dan berwawasan.
Terima kasih.

