Speeches

Speech by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education, at the Berita Harian Inter-Secondary School Debate on Saturday, 26th April 2008 at 10.30 am at the Auditorium of Sultan Mosque

Speech delivered in Malay

Encik Saat Abdul Rahman

Editor Berita, Berita Harian.

Cik Haryani Ismail

Pengerusi Jawatankuasa Bahas Piala Berita Harian

Haji Ismail Abdullah

Pengerusi Lembaga Pengamanah Masjid Sultan

Para tamu, pengadil, guru-guru dan pelajar sekalian

Assalamualaikum…

Pengenalan

Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama para hadirin sekalian dalam Bahas Berita Harian 2008 pada pagi ini.

Ini merupakan tahun ke-12 Bahas Piala Berita Harian dianjurkan sebagai wadah untuk pelajar sekolah menengah menunjukkan kebolehan mereka berhujah secara spontan bagi menyampaikan pendapat dengan jelas lagi bernas tentang sesuatu mauduk yang diberikan. Saya gembira kerana Berita Harian terus mengambil peranan aktif dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu.

Meraih Pengalaman Melalui Aktiviti Bahas

Seramai 84 orang pelajar dari 21 sekolah telah menampilkan diri dalam Bahas Piala Berita Harian 2008 ini. Saya pasti pengalaman ini merupakan pengalaman yang bermakna dalam mempertingkat kemahiran berbahasa Melayu mereka. Dalam proses ini juga, diharap para peserta sedar akan pentingnya pengetahuan am dan isu-isu semasa dan seterusnya memberikan pendapat dan reaksi secara bernas terhadap isu-isu politik, ekonomi dan sosial yang menjadi sebahagian kehidupan seharian mereka.

Kesedaran golongan pelajar dalam hal-hal tersebut akan membolehkan mereka mempunyai perspektif yang luas dan matang tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dengan keprihatinan ini, kita akan mempunyai golongan pelajar yang berupaya memberikan maklum balas yang membina tentang isu-isu semasa daripada sudut warga muda Singapura. Proses ini sesungguhnya dapat menajamkan minda mereka dan mendidik mereka supaya peka terhadap hal-hal yang berlaku dalam masyarakat, negara ataupun peringkat antarabangsa.

Pendekatan Inovatif Dalam Bahas

Hadirin sekalian, salah satu kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-211 ini ialah keupayaan berkomunikasi dengan berkesan, baik daripada sudut kefasihan mahupun kebolehan menggunakan bahasa dalam konteks yang diperlukan. Hal ini dikatakan penting kerana sempadan geografi antara negara tidak lagi menghambat hubungan dalam kalangan warga jagat. Pertemuan secara peribadi kini boleh diganti oleh perbincangan menerusi teknologi canggih. Oleh itu, kita perlu membentuk warga Singapura yang serba boleh (versatile), mampu berkomunikasi dengan berkesan dan berupaya menyesuaikan diri mengikut kepentingan isu, tempat dan masa.

Untuk memenuhi keperluan semasa ini dan meningkatkan keberkesanan semasa berbahas, Kelab Obor, Berita Harian telah mengenalkan beberapa pembaharuan untuk mewarnai Bahas Berita Harian 2008 ini.

Saya diberitahu, format pidato yang diperkenalkan menampakkan kesan yang menggalakkan sebab pihak penganjur mendapati format ini merangsang pemidato berfikir secara kreatif semasa menyampaikan hujah. Dengan gaya tersendiri yang dapat menambat hati penonton, para peserta menunjukkan kesungguhan sebagai pembahas individu dan pada masa yang sama juga menunjukkan kesepaduan bekerja sebagai sebuah pasukan.

Untuk menjadi seorang pembahas yang baik, pelajar perlu melengkapi diri dengan pengetahuan yang luas dengan membaca dan merujuka bahan-bahan yang pelbagai seperti akhbar dan buku serta sumber maklumat dari bahan elektronik seperti televisyen, radio, internet, siaran podcast dan sebagainya. Dalam konteks ini, saya amat gembira kerana Kelab Obor, Berita Harian mengambil langkah ke arah ini.

Kelab Obor Memperluas Peranan

Kelab Obor yang ditubuhkan pada tahun 2006 terus berusaha untuk menjadi salah satu sumber para pelajar memperoleh pengetahuan dan pengalaman menjadi wartawan, jurufoto dan penyunting muda.

Sejak penubuhannya, Kelab Obor telah mempeluas aktiviti dengan menerbitkan Obor Plus. Ruangan ini memberikan pengetahuan tambahan tentang perkembangan dunia teknologi maklumat, sains dan sekitaran. Pada hari ini, dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan projek membaca i3 atau i-cube yang bermaksud idea, inspirasi dan inisiatif. Projek yang menggalakkan pelajar sekolah menengah membaca sejumlah buku bagi meraih lencana emas, perak dan gangsa ini diseiringkan dengan matlamat kelab ini untuk menggalakkan pelajar membaca buku - baik dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris bagi menebar ufuk minda mereka dan membaiki penguasaan bahasa mereka.

Dengan perluasan aktiviti ini, diharap Kelab Obor akan terus berjaya menarik perhatian pelajar menjadi anggotanya yang telah berkembang dari sekitar 16,000 orang pelajar dari 60 buah sekolah dua tahun lalu kepada 22,000 orang pelajar dari 78 buah sekolah kini.

Pembelajaran dan Penggunaan Bahasa Melayu

Para hadirin sekalian, pembelajaran Bahasa Melayu tidak dapat dilakukan dengan berkesan sekiranya usaha ini dijalankan oleh pihak sekolah sahaja, atau penggunaannya hanya terbatas dalam lingkungan sekolah sahaja. Persekitaran penggunaan bahasa Melayu yang luas dan bermakna perlu disediakan untuk menyokong pembelajaran para pelajar. Justeru, sokongan masyarakat untuk menyediakan pelbagai aktiviti yang dapat memperkukuh pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu para pelajar kita amat penting sekali.

Kementerian Pendidikan dan juga Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu(MLLPC) sentiasa bersedia berkerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, balai-balai rakyat dan institusi lain untuk terus menyediakan aktiviti-aktiviti bahasa Melayu bagi para pelajar, guru dan masyarakat amnya.

Penutup

Sekali lagi, saya ucapkan syabas kepada Kelab Obor atas kejayaan menganjurkan Bahas Berita Harian 2008 ini.

Kepada Sekolah Perempuan Raffles and Institusi St. Joseph, tahniah kerana anda semua telah membuktikan bahawa masyarakat kita tidak ketandusan daya berfikir secara kritis dan membina. Syabas sekali lagi! Semoga peraduan ini telah memberikan pengalaman yang bermakna kepada anda dan semua pelajar yang mengambil bagahian dalam siri bahas kali ini.

Akhir kata, kepada semua para peserta, semoga anda semua berjaya dalam apa jua bidang yang akan anda ceburi nanti, agar masyarakat kita akan dapat terus maju untuk menyahut cabaran dalam era globalisasi.

Terima kasih.