Speeches

Speech (In Malay) by Mr Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamed, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Education, at the Speech and Presentation Ceremony of the MAS Awards organised by Penamas, on Saturday 15 Mar 2008, 11.00 am, at the Sultan Mosque Auditorium

Yang berbahagia Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad

Encik Zulkifli Mohamed, Presiden Majlis Pusat Pertubuhan-pertubuhan Budaya Melayu (Majlis Pusat)

Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50)

Persatuan Guru Bahasa Melayu Singapura (PGBM)

Persatuan Ulama dan Guru Agama Islam Singapura (Pergas)
Para hadirin sekalian

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Membina Budaya Ilmu Masyarakat

Pengenalan

Alhamdulillah, saya berasa amat gembira kerana dapat bertemu bagi kali kedua di Majlis Penyampaian Anugerah Muhammad Ariff Ahmad Singapura (MAS) anjuran Perikatan Anugerah MAS (Penamas) yang terdiri daripada Majlis Pusat, Asas ’50, PGBM dan Pergas.

Dalam majlis penyampaian Anugerah MAS yang sulung pada bulan Disember 2006, kita telah meraikan empat orang tokoh muda yang telah berusaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi bidang-bidang yang diceburi seperti bidang persuratan, perguruan, dakwah dan pengajian Islam.

Pada hari ini pula, kita akan meraikan tiga pemenang lagi yang akan menerima Anugerah MAS. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka.

Membina Budaya Ilmu Dalam Masyarakat

Pemberian Anugerah MAS ini mencerminkan semangat dan iltizam masyarakat kita untuk memberikan penghargaan kepada individu yang gigih dan tekal dalam usaha membina budaya ilmu dalam masyarakat Singapura. Tokoh-tokoh seperti Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad dan rakan-rakan seangkatan beliau seperti Encik Suratman Markasan, Encik Aliman Hassan dan Almarhum Dr Masuri SN, yang telah berusaha untuk melestarikan dan mengembangkan bahasa Melayu di Singapura. Sesungguhnya, jauhari juga yang mengenal manikam.

Usaha mereka juga mendapat sambutan daripada pemerintah yang mempunyai komitmen untuk memastikan bahawa bahasa-bahasa ibunda terus menjadi pemampan dan pemantap budaya serta penjalin hubungan antara Singapura dengan seluruh negara Asia.

Bahkan dalam bidang perguruan, khususnya bagi guru-guru Bahasa Ibunda, Kementerian Pendidikan (MOE) telah menjalankan semakan untuk meningkatkan keterampilan dan profesionalisme guru-guru Bahasa Ibunda. Kini, guru-guru Bahasa Melayu yang belum berijazah berpeluang untuk mempertingkatkan diri mereka melalui program ijazah Bahasa Melayu secara sambilan yang akan dimulakan pada tahun 2009 di UniSIM. Program ini boleh dimanfaatkan oleh guru-guru Bahasa Melayu bagi melanjutkan pelajaran mereka dan mendalami pengetahuan dan kecintaan mereka terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.

Guru-guru pelatih Bahasa Melayu bagi program sarjana muda pula berpeluang untuk memperkaya pengetahuan bahasa dan budaya mereka melalui Program Penyerapan ke Malaysia, Indonesia, Brunei atau negara-negara serantau yang mempunyai institusi khusus dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu.

Dengan inisiatif-inisiatif baharu ini, saya berharap agar kita dapat mewujudkan golongan pendidik yang dapat memperkasa bahasa dan budaya Melayu dalam masyarakat majmuk Singapura.

Visi Arif Budiman Dan Program Bacaaan Luas

Golongan pelapis pendidik kita inilah yang akan membimbing anak-anak kita agar menjadi insan yang berilmu dan berbakti kepada masyarakat, selaras dengan visi pendidikan Bahasa Melayu, Arif Budiman.

Visi Arif Budiman ini telah disarankan oleh Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu dan telah mula dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di Singapura pada tahun ini melalui kurikulum baharu. Visi ini mencerminkan keinginan masyarakat kita untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan yang berbakti kepada masyarakat. Visi Arif Budiman menyediakan satu hala tuju yang sama kepada guru dan pelajar dalam membina kefasihan berbahasa dan penghayatan budaya. Kita berharap agar para pelajar kita dapat mengejar ilmu setinggi yang termampu dan menyumbang kepada masyarakat.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga telah menyarankan agar pihak sekolah berusaha untuk memupuk minat membaca buku-buku Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Oleh itu, bengkel-bengkel Program Bacaan Luas telah dijalankan bagi menyokong usaha ini. Pihak sekolah juga telah diberikan peruntukan kewangan untuk membeli bahan-bahan bacaan yang sesuai bagi para pelajar mereka. Dengan usaha ini, kita dapat membina budaya ilmu dengan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Sokongan Masyarakat

Kementerian Pendidikan akur bahawa sokongan masyarakat amat penting untuk menggalak dan meningkatkan pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar. Untuk itu, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) telah ditubuhkan pada bulan Februari 2006. Jawatankuasa ini dianggotai oleh para pemimpin masyarakat, wakil institusi pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan Melayu, pihak media dan pertubuhan profesional. Jawatankuasa tersebut bertugas untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu serta memupuk minat pelajar dalam bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. Dengan sokongan padu daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat, kita akan bersama-sama berusaha meluaskan persekitaran penggunaan bahasa Melayu bagi menjana kefasihan dalam kalangan generasi muda bertutur secara selesa menggunakan bahasa teras jatidiri kita. Saya ingin menjemput individu dan pertubuhan yang mempunyai idea kreatif untuk menggalakkan dan meluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar dan pengguna bahasa kita supaya memohon dana daripada MLLPC.

Sesungguhnya, gerakan kolektif seperti Penamas boleh memainkan peranan yang besar dalam membina budaya ilmu. Dalam konteks budaya ilmu ini, ilmu merupakan salah satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi masyarakat di setiap peringkat. Setiap anggota masyarakat mahu melibatkan diri, baik secara langsung ataupun tidak langsung dalam kegiatan keilmuan. Justeru, segenap lapisan masyarakat memberi keutaman, sokongan, bantuan, kemudahan dan pengiktirafan yang tinggi kepada individu, pertubuhan atau institusi yang terlibat dalam mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Individu dan masyarakat yang berbudaya ilmu akan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama meletakkan keutamaan dan premium yang tinggi untuk menimba ilmu.

Justeru, penting bagi gerakan seperti Penamas memikirkan cara-cara yang berkesan untuk menambat masyarakat kita agar mencintai ilmu. Ini boleh dilakukan dengan memikirkan strategi jangka panjang dari segi corak kegiatan dan menambah nilai anugerah untuk mendorong pelanjutan pengajian bagi para tokoh mudanya.

Sebagai contoh, acara Penamas boleh dibawa ke institusi pengajian tinggi, maktab rendah dan politeknik untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar tingkatan tinggi mengenai citra bagi menjana tokoh dalam mencari ilmu. Seminar bagi pelajar maktab rendah dan politeknik dengan kerjasama para guru juga boleh diadakan sempena acara penyampaian Anugerah MAS. Ini merupakan salah satu ikhtiar yang boleh difikirkan bersama-sama agar gong kejayaan ilmu yang dicanangkan oleh Penamas dapat disebar luas kepada seluruh masyarakat.

Semakan Berterusan

Hadirin sekalian, dalam usaha membangunkan masyarakat, kita harus juga bersedia untuk membuat semakan yang berterusan bagi memperkaya ilmu setiap golongan masyarakat - dari golongan kanak-kanak dan belia, pasangan muda yang bakal berumah tangga hinggalah golongan pekerja yang bakal bersara.

Semakan berterusan ini bermakna membuat refleksi dan menilai kekurangan pada diri sendiri serta meninjau peluang yang tersedia untuk meningkatkan harga diri dengan mengikuti kursus dan sebagainya. Hanya dengan usaha berterusan untuk meningkatkan keupayaan diri, kita boleh kekal relevan dalam arus perkembangan dan kemajuan yang pesat.

Penutup

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada ketiga-tiga tokoh muda kita yang berjaya meraih Anugerah MAS pada kali ini. Semoga anugerah ini menjadi pendorong kepada yang lain untuk membina kecemerlangan dalam masyarakat kita. Anugerah MAS memberikan peluang dan sumber yang diperlukan oleh ilmuwan untuk terus berusaha dan berjaya dalam lapangan yang mereka ceburi, menyusuli kejayaan yang diraih oleh Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad dan rakan segenerasi beliau; dan seterusnya membina nama dan menjadi ikon di rantau ini.

Semoga usaha Penamas yang mulia ini akan berterusan dan diberkati Allah swt.

Sekian, terima kasih.