Speeches

Speech (In Malay) by Mr Masagos Zulkifli BMM, Senior Parliamentary Secretary (Education) cum Co-Chair of the Education Network of the Community Leaders Forum, at the Presentation Ceremony of the Certificate of Participation in the Three M Workshop organised by the Young Women Muslim Association (PPIS) on Saturday 15 Mar 2008 at 6.05 pm

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum wr wb

Selamat petang

Para ibu bapa, anak-anak dan hadirin sekalian

Pendahuluan

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan tahniah atas kegigihan peserta yang mengikuti Bengkel Maju Minda Matematika, atau singkatannya, Tiga M, hingga selesai. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas harian dan terpaksa mengimbangi masa antara kerja dan kewajipan di rumah, para peserta telah dapat meluangkan enam hari Sabtu demi menambah ilmu dan mempelajari kemahiran baru.

Pentingnya Sokongan Ibubapa

Baru-baru ini, saya telah ke Sekolah Rendah Greenridge untuk melihat sendiri keberkesanan program Learning Support Program (LSP), satu program sokongan tambahan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi anak-anak yang dikenalpasti kurang kemahiran asas dalam Bahasa Inggeris dan Matematik. Saya berkesempatan menemui Yusuf, seorang murid darjah dua di sekolah itu. Pada mulanya, oleh kerana dia tidak tahu membaca, Yusuf hilang keyakinan diri dalam pelajaran. Tetapi. setelah hampir dua tahun dalam LSP, berkat usahanya yang gigih, Yusuf berjaya mencapai tahap kemahiran yang baik. Minat dan keyakinannya dalam membaca menyerlah, dan dia lulus ujian sekolah dengan baik.

Dari analisa kami, perubahan ketara dalam diri Yusuf banyak datang dari sokongan yang diberi ibunya. Oleh kerana ayah Yusuf bertugas di luarnegeri, ibunya terpaksa mengemudikan sendiri kehidupan ketiga-tiga anaknya termasuk Yusuf. Namun ini tidak dijadikan hambatan untuk kejayaan anaknya. Ibu Yusuf memberikan galakan yang penuh kepadanya. Yusuf kini ghairah untuk meminjam buku dari sekolah untuk bacaannya di rumah setiap hari. Adakalanya ibu Yusuf menyuruhnya membacakan buku cerita melalui telefon kepada ayahnya yang berada di luarnegeri.

Keberkesanan Tiga M

Inilah matlamat Bengkel Tiga M - untuk melengkapkan dan memperkasakan keluarga dengan maklumat, pengetahuan dan kemahiran supaya kita juga dapat menyemai kemahiran-kemahiran tersebut dalam diri anak-anak kita seawal-awalnya. Kita sudah selalu mendengar peribahasa “hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Pentingnya menyemai kemahiran mengira dan keupayaan berfikir secara kritikal pada usia muda seawal umur prasekolah, tidak dapat diperlekehkan. Apa yang lebih menarik ialah, kita tidak perlu berbelanja besar untuk membeli bahan-bahan belajar atau permainan yang mahal. Kita hanya perlu bermodalkan usaha dan kreativiti. Melalui bengkel Tiga M ini, hadirin telah mempelajari bagaimana pelbagai alat di rumah seperti penyepit dan penyangkut baju dan kegiatan seperti melipat pakaian dan membeli barang-barang runcit boleh dijadikan pengalaman belajar yang seronok lagi menghiburkan untuk anak kita. Dengan cara ini, anak kita bukan sahaja dapat memahami konsep-konsep yang diajar dengan lebih baik, bahkan mereka juga dapat melihat dan mengalami sendiri kegunaannya dalam kehidupan mereka seharian.

Kajian penilaian yang telah dilakukan oleh Mendaki ke atas program Tiga M ini, menunjukkan bahawa cara pembelajaran yang diterapkan melalui bengkel ini ternyata berkesan. Lapan puloh enam peratus (86%) pelajar yang mengikuti program ini tidak perlu menghadiri Program Sokongan Pembelajaran (LSP) di sekolah-sekolah. Ini petanda yang baik yang menunjukkan bahawa teknik dan kemahiran yang diperolehi melalui Bengkel Tiga M dan peranan sokongan ibubapa dapat jelas merapatkan jurang kefahaman dan membolehkan pelajar-pelajar ini mengikuti sistem pendidikan formal.

Kerjasama Bersama Rakan Kongsi untuk Luaskan Pendekatan

Semasa mula diperkenalkan pada tahun 2003, projek perintis Tiga M hanya mampu mendekati 16 orang ibu bapa dan 21 orang kanak-kanak. Kini dengan sokongan rakan kongsi di bawah naungan Rangkaian Pendidikan Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) iaitu Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Jamiyah dan 4PM, jumlah yang didekati meningkat berlipat kali ganda. Sejauh ini, 1,079 ibu bapa dan 1,237 kanak-kanak telah dapat manfaat dari mengikuti program ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakan kongsi kami, dan penganjur program kali ini PPIS, atas penyertaan dan komitmen mereka dalam memastikan program ini dapat dinikmati lebih ramai keluarga Melayu/Islam.

Sukacita juga saya umumkan bahwa program Tiga M ini akan diperluaskan lagi kepada beberapa tadika kelolaan badan-badan Melayu/Islam yang lain, termasuk tadika-tadika yang dikelolakan masjid. Setakat ini, tadika dan madrasah yang di bawah kelolaan Masjid Darussalam, Masjid Al-Khair dan Masjid Assyafaah telah bersetuju untuk menerapkan program Tiga M dalam sukatan pelajaran mereka. Kami bersedia meluaskan lagi program ini kepada mana-mana badan tadika Melayu/Islam yang mahu sama meraih manfaatnya.

Kempen Matematik dan Sains

Selaras dengan focus program Mendaki meningkatkan pencapaian akademik para pelajar kita dalam dua matapelajaran penting - iaitu Matematik dan Sains, Rangkaian Pendidikan akan melancarkan satu kempen Matematik dan Sains tahun ini. Ia akan dimulakan dengan sebuah Temasya Matematik dan Sains di Pantai East Coast pada 17 Mei nanti. Ia kemudian akan diikuti dengan tiga persembahan bergerak atau road shows di kawasan perumahan semasa cuti sekolah pada bulan Jun dan Disember. Bayangkan, jika kita boleh menjawab soalan algebra melalui alunan musik dan rentak, membuat teh tarik yang berwarna-warni untuk memahami konsep warna asas atau membuat pizza untuk memahami konsep pecahan dan perkadaran (fractions and proportions) - itulah antara idea-idea yang kreatif untuk mempelajari Matematik dan Sains dengan cara yang lebih menyeronokkan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti acara-acara itu nanti.

Menimba Ilmu Yang Berterusan

Saya harap, penglibatan para peserta dalam Bengkel Tiga M ini telah merangsang minat untuk terus menimba ilmu. Kami akan terus menilai program-program kami dan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Pendidikan supaya kita dapat melengkapkan ibu-bapa dengan maklumat terkini tentang lanskap pelajaran yang kian berubah. Dengan maklumat ini, kita dengan sendirinya akan dapat membuat keputusan yang baik untuk menggalakkan anak mencapai kecemerlangan.

Untuk membantu ibu bapa menyahut cabaran-cabaran ini, seperti peningkatan kos pelajaran dan kesan globalisasi, siri Seminar Pendidikan yang bakal dianjurkan pada April dan Ogos nanti akan memuatkan beberapa topik baru seperti bagaimana membuat perancangan kewangan untuk membiayai kos pelajaran anak kita bagaimana kita boleh mempersiapkan anak-anak untuk merebut peluang-peluang yang ada di persada dunia. Saya galakkan semua untuk menghadiri majlis-majlis ilmu ini.

Akhir Kata

Ahli falsafah Confucius terkenal Lao Tse pernah berkata, “Untuk menjelajahi perjalanan beribu batu, ia harus dimulakan dengan langkah pertama.” Kesungguhan para peserta menghadiri bengkel-bengkel ilmu seperti Tiga M ini adalah langkah pertama untuk memulakan perjalanan beribu batu tersebut - iaitu perjalanan untuk mencapai kecemerlangan. Harapan saya, kita semua akan terus mengatur langkah-langkah selanjutnya untuk meneruskan perjalanan ini, supaya kita dapat sama-sama mencapai visi sebuah masyarakat yang cemerlang.

Sekian, terima kasih.