Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN ENCIK MASAGOS ZULKIFLI, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN DI UPACARA PELANCARAN PROJEK CERPEN – PERADUAN MENULIS CERPEN 24 JAM, DIANJURKAN OLEH MEDIACORP TV12 SURIA PADA HARI SABTU, 27 OKTOBER 2007, 10.00 PAGI DI TAMAN WARISAN MELAYU

Puan Lim Suat Jien
Pengarah Urusan, MediaCorp TV12

Para peserta Peraduan Menulis Cerpen

Tuan-tuan dan puan-puan

Selamat Sejahtera


PENGENALAN

1.         Saya berbesar hati dapat bersama-sama para hadirin pada pagi ini dalam pelancaran Projek Cerpen, satu peraduan menulis cerpen 24 jam yang dianjurkan oleh Mediacorp TV12, Suria.

2.         Saya puji pendekatan unik dan kreatif Suria dalam mengenal pasti, membentuk dan mempertingkat kebolehan bakat-bakat baharu dalam penulisan cerpen dalam bahasa Melayu di Singapura. Ini merupakan manifestasi definisi inovasi – melakukan sesuatu yang sama dengan cara yang baharu.  

PENGGALAKAN PENGGUNAKAN BAHASA MELAYU

3.         Para hadirin sekalian, pembelajaran Bahasa Melayu tidak dapat dilakukan dengan berkesan sekiranya usaha ini dijalankan oleh pihak sekolah sahaja. Persekitaran penggunaan bahasa Melayu juga perlu disediakan untuk menyokong pembelajaran para pelajar dan pengguna bahasa Melayu yang lain. Justeru, sokongan masyarakat untuk menyediakan pelbagai aktiviti yang dapat memperkukuh pembelajaran bahasa Melayu para pelajar kita amat penting sekali.

4.        Saya gembira kerana Suria mengambil peranan aktif dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu. Projek ini merupakan inisiatif kedua Suria. Sebelum ini, Suria telah bekerjasama dengan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) dalam rancangan TV Potret Bahasa, kempen untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan tepat.

5.        Kempen tersebut telah menerima respons yang positif daripada masyarakat, para karyawan setempat termasuk penonton bukan Melayu yang menonton saluran Suria. Kami juga menerima maklum balas daripada para guru bahawa mereka  telah menggunakan program tersebut dalam kelas Bahasa Melayu mereka.  Walaupun segmen tersebut pendek, mungkin hanya lebih kurang lima belas saat, segmen tersebut dikatakan berkesan bagi membantu murid mempelajari beberapa aspek penting penggunaan tatabahasa Melayu yang betul. Memandangkan respons yang baik, mungkin pihak Suria boleh menimbangkan untuk menambah waktu siaran rancangan tersebut.

6.        Saya telah dimaklumi bahawa satu rancangan kanak-kanak yang baharu, Tahu Nahu akan dilancarkan oleh Suria pada hujung tahun ini. Rancangan ini sesuai untuk kanak-kanak yang sedang belajar di peringkat sekolah rendah. Ini merupakan satu lagi inisiatif baik Suria dalam menyediakan program pendidikan yang bermutu dan dapat membantu memperkukuh asas bahasa Melayu anak-anak kita. Seperti kata peribahasa Melayu, jika hendak melentur buluh biarlah dari rebung.

PROJEK  PENULISAN CERPEN

7.        Projek Penulisan Cerpen ini mempunyai tiga komponen –  bengkel penulisan, peraduan menulis cerpen 24 jam dan drama sepuluh siri daripada sepuluh karya yang dipilih. Siri drama ini akan ditayangkan pada bulan Januari 2008.

8.       Projek ini telah menarik perhatian lebih daripada 150 peserta daripada pelbagai latar belakang. Sambutan ini amat menggalakkan. Ini menunjukkan bahawa minat untuk menyertai aktiviti-aktiviti bahasa Melayu masih kuat. Oleh itu,   kita perlu menyediakan wadah yang cukup agar minat ini dapat dikekalkan dalam kalangan peserta tua dan muda dalam masyarakat kita. 

PEMBELAJARAN BAHASA IBUNDA UNTUK MENGEKALKAN SIFAT TERSENDIRI  DAN IDENTITI SEBAGAI ORANG ASIA

9.        Sebagai saluran Melayu tempatan, Suria boleh memainkan peranan yang penting dalam menyokong pembelajaran dan penggalakan penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Ini selaras dengan dasar dwibahasa pemerintah.
 
10.      Kefasihan menggunakan bahasa ibunda akan memberikan para pelajar kita keyakinan tentang kedudukan mereka  dalam dunia, dengan dunia Barat dan bangsa-bangsa lain di Singapura.  Kebolehan bahasa ibunda memudahkan mereka memahami warisan budaya serta menjadi penguat agar berdepan dengan cabaran dengan tabah.

11.      Tambahan lagi, kebolehan ini akan memberikan pandangan alam atau world-view yang seimbang dengan perspektif dunia yang banyak menggunakan bahasa Inggeris. Ini dapat membantu Singapura mengekalkan sifat tersendiri dan identiti masyarakat Asia kita.

12.      Bagi bahasa Melayu, selain kelebihan ekonomi yang dapat diraih, kebolehan menggunakan bahasa Melayu akan memperkukuh hubungan kita dengan negara-negara jiran Asia kita.

13.      Oleh itu, kekuatan Suria menyediakan rancangan-rancangan bermutu seperti berita bahasa Melayu, pengetahuan am, maklumat, drama dan hiburan boleh menjadi alat yang efektif dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan dan berkembang dalam masyarakat kita.

PENUTUP

14.       Saya berharap agar semua peserta yang mengambil bahagian dalam peraduan menulis cerpen 24 jam ini akan meraih pengalaman yang menyeronokkan.

15.       Kepada MediaCorp TV12 Suria, syabas atas usaha menganjurkan aktiviti yang bermakna ini.

16.      Sebelum saya mengundur diri, izinkan saya mengakhiri  ucapan  saya dengan serangkap pantun:

          Gagah berdiri Taman Warisan Melayu,
                      Berteduhlah penulis lama dan baharu;
          Lahirkanlah karya hasil penamu,
                      Masyarakat progresif lagi berilmu.

17.       Terima kasih.



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use