Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN ENCIK MASAGOS ZULKIFLI BMM, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN, DI MAJLIS PENYAMPAIAN BUKU BACAAN KEPADA PARA WAKIL PRASEKOLAH PADA SABTU, 8 SEPTEMBER 2007, AUDITORIUM PERPUSTAKAAN SERANTAU WOODLANDS, 10.35 PAGI

Cik Fuziah Muhamad Taha

Penyelaras Kumpulan Kerja Prasekolah dan Membaca,

Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Pengetua Sekolah Rendah Fuhua

Encik Mohamed Noh Daipi

Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan

Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum

Kementerian Pendidikan, MOE

Puan Nani Menon

Penyelaras  Makmal perkembangan Kanak-kanak

Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra, Malaysia.

Wakil-wakil daripada prasekolah, guru-guru dan hadirin sekalian


PENGENALAN

1.         Saya sungguh berbesar hati dapat bersama-sama para hadirin pada pagi ini. Majlis pada pagi ini jelas menunjukkan bahawa proses pendidikan murid-murid dari peringkat  prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat-peringkat seterusnya merupakan satu poses yang berkait dan berterusan. Setiap peringkat membawa kesan dan pengalaman yang penting dalam mencorak pembelajaran anak-anak kita.

2.         Antara pengalaman dan pendedahan yang perlu dilakukan secara berterusan dari peringkat awal ialah pemerolehan bahasa ibunda murid-murid kita. Bagi murid-murid Melayu, sudah tentulah pemerolehan bahasa Melayu. Ini selaras dengan dasar bahasa ibunda Singapura yang memberi peluang kepada setiap rakyat Singapura mempelajari Bahasa Ibunda selama yang mungkin dan setinggi yang termampu. Melalui pelajaran Bahasa Ibunda, diharap kita akan dapat membina warga Singapura yang kekal identiti masyarakat Asianya, tinggi nilai dan leluhur budaya serta kukuh jati dirinya.

3.         Pengajaran Bahasa Melayu di Singapura mempunyai dwimatlamat. Selain membina kefasihan berbahasa yang membolehkan murid-murid kita berkomunikasi dalam pelbagai konteks keperluan harian, pengajaran  Bahasa Melayu kita juga menerapkan nilai dan budaya Melayu.

4.         Saya mempengerusikan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. MLLPC bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti bahasa Melayu untuk para pelajar, ibu bapa dan masyarakat pengguna bahasa Melayu amnya.

5.         Satu daripada jawatankuasa kerja yang dibentuk oleh MLLPC ialah Jawatankuasa Kerja Prasekolah dan Membaca. Majlis hari ini merangkumi kedua-dua fungsi jawatankuasa kerja ini, iaitu berkaitan dengan prasekolah dan aktiviti membaca.

KEPENTINGAN PERINGKAT PRASEKOLAH

6.         Hadirin sekalian, peringkat prasekolah merupakan peringkat penting dalam mendidik murid-murid  kita yang sedang membesar. Prasekolah mempunyai kesan yang sangat mendalam dalam pengembangan fizikal, emosi, intelektual dan sosial murid-murid kita.  Di peringkat prasekolah, murid-murid akan mula mengenal minat individu, menunjuk bakat, membina keyakinan diri mereka dan belajar bergaul dengan anak-anak lain.

7.         Biasanya, dalam peringkat prasekolah murid-murid mula didedahkan dengan cerita-cerita dan lagu-lagu rakyat. Mereka memperoleh kosa kata melalui cerita yang didengar atau lagu yang dinyanyikan bersama-sama oleh mereka.

8.         Ketika anak-anak saya kecil, mereka juga gemar menonton video [ketika itu masih belum lagi ada VCD atau DVD], lagu-lagu yang sering dinyanyikan di peringkat prasekolah seperti ‘This Old Man’, ‘Mary Had a Little lamb’ dan sebagainya. Untuk cerita-cerita Melayu pula, saya mempunyai pandangan bahawa cerita-cerita rakyat dan jenaka seperti cerita Badang, Pak Pandir, Mat Jenin dan lagu-lagu seperti Burung Kakaktua, Tepuk Amai-amai, Enjit-enjit Semut  memberi kesan yang baik kepada anak-anak kita. 

9.         Cerita-cerita dan lagu-lagu tersebut bukan hanya menjadi pengetahuan di peringkat prasekolah tetapi menjadi pembuka selera kepada murid-murid kita untuk mengetahui lebih banyak khazanah cerita dan lebih banyak lagu dalam bahasa ibunda mereka. Apabila mereka sudah tahu membaca dengan lebih baik, jenis cerita dan jenis buku akan berubah mengikut peringkat umur mereka. Justeru, minat membaca harus dipupuk disemai seawal mungkin.

BAHAN BACAAN YANG SESUAI DENGAN PERINGKAT UMUR

10.        MLLPC sedar akan jumlah bahan Bahasa Melayu untuk peringkat prasekolah di negara kita amat terhad. Oleh itu, kumpulan kerja Prasekolah dan Membaca telah membeli beberapa set buku yang akan diberikan kepada setiap prasekolah yang mempunyai program Bahasa Melayu. Kami berharap bahan-bahan yang dipilih dan diberikan dapat memberikan manfaat kepada para hadirin. 

11.        Buku-buku tersebut  telah pun dinilai oleh para pegawai Unit Bahasa Melayu, Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, MOE. Untuk menambah nilai buku-buku tersebut, Puan Nani Menon seorang pakar dari Universiti Putra Malaysia, telah bersetuju untuk membimbing hadirin sekalian  tentang cara menggunakan bahan bacaan tersebut. Puan Nani terlibat dalam pembinaan bahan Siri Genius ini.   Kami berharap sesi bahagaian pertama tadi dapat memberikan idea pengajaran menggunakan buku-buku tersebut kepada para hadirin. 

12.        Adalah diharap juga  agar set-set buku telah diberikan  akan menambahkan jumlah bahan bahasa Melayu yang boleh digunakan di prasekolah. Bagi prasekolah-prasekolah yang tidak ada bahan-bahan bahasa Melayu sebelum ini, anggaplah set-set buku yang kami berikan ini sebagai pemula koleksi buku-buku Melayu, ‘ Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’.

13.         Kita mahu murid-murid kita suka membaca buku-buku tentang Cerita Sang Kancil dan Sang Buaya, Si Luncai, Pak Kaduk, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah, Hang Tuah dan banyak lagi.  Sudah pasti murid-murid kita bukan sahaja dapat menambah kosa kata mereka tetapi memahami nilai yang terdapat dalam buku-buku tersebut.

KEBAIKAN MEMBACA BAGI KANAK-KANAK

14.        Para hadirin sekalian, kita semua sedar akan kebaikan membaca dalam kalangan murid-murid. Selain mendapat keseronokan, membaca juga dapat mengukuhkan cara murid-murid berfikir secara naratif. Dengan ini, mereka dapat menceritakan semula sesuatu kejadian, cerita atau apa sahaja yang mereka dengar, lihat atau baca dengan lebih efektif lagi. Tambahan lagi, membaca membina imaginasi murid-murid kita dengan membolehkan mereka menggunakan aspek alam, manusia, pengalaman dan idea yang telah dibaca oleh mereka dengan cara baharu yang lebih kreatif.

15.        Pertumbuhan otak kanak-kanak paling pesat berlaku sebelum kanak-kanak berumur sepuluh tahun berbanding dengan peringkat umur selanjutnya. [1] Oleh itu, para guru perlu mengambil kesempatan ini untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang dapat membentuk kecenderungan belajar, menanam nilai-nilai murni dan minat membaca secara berkesan di kalangan murid-murid kita.

PENUTUP

16.        Hadirin sekalian, dengan adanya sokongan kukuh dan berterusan daripada pemerintah, komitmen guru-guru Bahasa Melayu di peringkat prasekolah mahupun peringkat-peringkat seterusnya,  serta pelibatan masyarakat yang aktif dalam memperluas dan memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu,  saya yakin generasi akan datang akan terus berminat dan memahami kepentingan mempelajari bahasa Melayu.

17.        Saya mengucapkan terima kasih kepada Puan Nani Menon yang sudi datang untuk berkongsi ilmu beliau,  Jawatankuasa Kerja Prasekolah dan Membaca, MLLPC dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) bagi menjayakan majlis pagi ini.

18.        Sekian, terima kasih.   

 

 

_______________________________________

[1] Chiem & Caswell, Deeper Than The Ocean, Marshall Cavendish (2007)



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use