Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN  ENCIK MASAGOS ZULKIFLI , SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN DI SEMINAR BAHASA MELAYU 2007,  MAKTAB RENDAH INNOVA, SELASA 29 MEI 2007, 9.00 PAGI

 

 

Encik Mohamed Noh Daipi

Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan

Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, MOE

 

Encik Mohd. Fauzi bin Abdullah

Ketua Jabatan Sastera dan KOMSAS

Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia

 

Encik Arazmi bin Seman

Penolong Kanan Kokurikulum Kesusasteraan

Sekolah Menengah Kebangsaan Machang, Kelantan

 

Tetamu yang dihormati

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

 

Selamat Pagi

PENGENALAN

 

1.    Saya amat gembira kerana dapat bersama-sama hadirin sekalian pada pagi ini. Seminar seperti ini amat dialu-alukan kerana memberikan peluang kepada guru untuk terus mempertingkatkan tahap profesionalisme dan memperkukuh jaringan kerja guru-guru sekalian.

 

2.         Saya yakin, peluang untuk mendengar dan berbincang dengan  pakar-pakar jemputan kita dari luar negara seperti Encik Mohd Fauzi  dan Encik Arazmi, serta guru-guru Bahasa Melayu kita dalam sesi perkongsian nanti dapat dimanfaatkan oleh para guru sekalian dalam menyediakan pengajaran Bahasa Melayu yang dapat menarik minat pelajar kita mempelajari dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

 

3.         Bahkan, saya amat berharap sesi perkongsian oleh guru-guru Bahasa Melayu dapat dilakukan di peringkat sekolah, kelompok dan zon.  Dengan sesi-sesi sedemikian, guru-guru yang baharu dan yang berpengalaman dapat menggembleng tenaga, belajar daripada satu sama lain.  Pertukaran idea ini penting agar kita dapat terus menghasilkan pedagogi yang inovatif dan sesuai dengan keperluan pembelajaran pelajar kita seperti gurindam yang berikut:

 

            Terbang pakai sayap, melompat pakai kaki.

            Menyikat gunakan sisir, meraut gunakan pisau.

           

Membelah gunakan kapak, menebang gunakan beliung.

            Menyalai gunakan asap, memanggang gunakan bara.

           

Menampi gunakan nyiru, mengayak gunakan tampi.

            Menjahit gunakan benang, mengikat gunakan tali.

 

4.         Dalam kata lain, ’alat’ atau strategi pengajaran yang digunakan haruslah sesuai dengan objektif yang hendak dicapai dan mengambil kira  profil, minat dan kesediaan  pelajar kita.

 

 

 

 

TEMA SEMINAR: BERBENANG BAHASA BERSULAM SASTERA

5.            Hadirin sekalian, tema seminar hari ini amat bertepatan dengan objektif pembelajaran Bahasa Melayu. Kita sering mendengar bahawa karya sastera itu cermin masyarakat. Seperti lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan, begitulah pengajaran bahasa dan sastera. Oleh itu, ‘berbenang bahasa, bersulam sastera’ dalam pembelajaran Bahasa Melayu dapat  membantu kita mencapai objektif pembelajaran Bahasa Melayu  dalam membina jati diri, mewarisi nilai, memahami sejarah dan menjiwai seni dalam budaya masyarakat kita serta mengekalkan keunikan identiti kita sebagai masyarakat Asia.

 

6.            Tambahan lagi, Laporan Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu 2005 menyarankan agar diluaskan lagi penggunaan teks dan tugasan sastera yang sesuai[1] seperti sajak,  sedutan novel dan penulisan kreatif serta persembahan drama sebagai bahan pengajaran Bahasa Melayu.

 

7.            Kementerian Pendidikan telah menerima saranan tersebut dan akan memperkenalkan Kesusasteraan Melayu (Elektif) sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Combined Humanities, sebagai tambahan kepada mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang sedia ada bermula pada tahun 2008 dari Menengah 3.  Usaha ini akan memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar yang berminat dan berkebolehan untuk mempelajari kesusateraan Melayu.  Taklimat mengenainya akan disampaikan oleh Encik Mohamed Noh nanti.

 

8.         Kita akur bahawa pendedahan kepada bahan sastera akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan pembangunan sahsiah dan pemikiran para pelajar kita serta menanam minat membaca bahan-bahan sastera Melayu secara berdikari.  Hal ini penting agar pelajar kita mempunyai daya ingin tahu dan semangat menambah ilmu yang tinggi.

9.         Jika pelajar kita kenal akan para penulis Barat seperti William Shakespeare, Charles Dickens, Ernest Hemingway, Stephen King dan JK Rowling,  saya rasa penting bagi mereka mengenal para bahasawan dan sasterawan Melayu termasuk penulis setempat seperti Dr. Arif Ahmad, Masuri S N,, Suratman Markasan, Dr. Hadijah Rahmat, Isa Kamari, Rasiah Halil, Peter Augustine Goh dan ramai lagi.  Baik juga dikenalkan para pelajar kita dengan para penulis muda tempatan yang juga merupakan guru Bahasa Melayu seperti Ishak Latif,  Helmilina Md Som dan Noor Hasnah Adam.  

10.           Dengan yang demikian, kita berharap akan dapat menggerakkan keinginan pelajar kita  untuk menghasilkan karya-karya mereka sendiri. Para hadirin sekalian, bilakah lagi masa yang terbaik untuk mula berkarya jika tidak ketika mereka di bangku sekolah?

 

MENAMBAH BAHAN BAHASA DAN SASTERA DI SEKOLAH-SEKOLAH

 

11.           Usaha telah dilakukan oleh pihak MOE untuk menambah jumlah bahan bacaan yang dapat memupuk minat pelajar membaca bahan-bahan sastera dan mempertingkatkan program bacaan luas. MOE telah menyediakan bahan bacaan kepada sekolah-sekolah bagi peringkat darjah satu hingga darjah empat ketika Majlis Pelancaran Sukatan Sekolah Rendah 2008 dan Bahan Pengajaran yang baharu pada bulan April lalu.  Bahan-bahan bacaan ini telah dinilai oleh para pegawai Unit Bahasa Melayu MOE dan telah diedarkan ke sekolah-sekolah.

 

12.           Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) juga telah membeli beberapa set buku untuk diedarkankan kepada prasekolah yang mempunyai program Bahasa Melayu.  Ini diharap dapat membantu membina kemahiran bacaan asas dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat yang lebih awal lagi.  Penggunaan sumber bacaan yang sesuai yang disokong oleh kaedah pengajaran yang menyeronokkan diharap akan dapat menyemai kemahiran berbahasa anak-anak kita.

 

13.           Bagi para pelajar sekolah menengah dan prauniversiti, pihak sekolah dan Perpustakaan Negara (NLB) telah menyediakan banyak bahan bacaan untuk mereka.  Daripada maklumat yang diberikan oleh pegawai Perpustakaan Negara, terdapat lebih daripada 18,000[2] bahan bacaan bahasa Melayu yang tersedia di NLB sesuai bagi kumpulan sasaran tersebut. Ini tidak termasuk novel-novel kreatif bagi orang dewasa yang juga sesuai bagi golongan remaja dan bahan-bahan yang terdapat dalam lelaman web NLB.

 

MENYEDIAKAN SUASANA YANG KAYA DENGAN BAHASA, SASTERA DAN BUDAYA

 

14.           Hadirin sekalian, proses mempelajari Bahasa Melayu tidak harus terbatas dalam kelas dan sekolah sahaja. Bahkan, ini harus dilakukan berterusan di luar sekolah. Oleh itu, saya berharap para guru dapat mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang boleh memanfaatkan pelajar Bahasa Melayu kita.

 

15.           Peraduan-peraduan seperti bercakap petah, berbalas pantun, berbahas, penulisan dan perkhemahan bahasa yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan, institusi ataupun di peringkat kelompok sekolah atau zon memberikan pelajar-pelajar kita peluang untuk berinteraksi menggunakan bahasa Melayu dengan rakan dan kenalan mereka dari sekolah lain dan masyarakat Melayu amnya.

 

PENUTUP

 

16.        Cikgu-cikgu sekalian, kerjaya perguruan amat mencabar. Selain mengasah kemahiran berbahasa pelajar, Cikgu juga menanam keyakinan diri dalam diri  mereka  untuk terus belajar dan menggunakan bahasa Melayu selepas mereka meninggalkan bangku sekolah.  Dengan iltizam yang tinggi, saya yakin Cikgu dapat menyediakan pengalaman pembelajaran bahasa Melayu yang bermakna kepada para pelajar.  

 

17.           Saya akhiri dengan ucapan tahniah kepada para pegawai Unit Bahasa Melayu, CPDD yang telah menganjurkan seminar ini. Ribuan terima kasih kepada para penceramah dari Malaysia dan guru-guru yang yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.   Semoga seminar ini  bermanfaat  bagi kita semua.

 

18.           Dengan ini saya merasmikan pembukaan Seminar Bahasa Melayu 2007.  Terima kasih.

 



[1] Laporan MLCPRC halaman 24, para 27.

[2] Data diberikan oleh Puan Fatimah Sulaiman, Pengurus Kanan, Perkhidmatan Perpustakaan Awam,  Majlis Perpustakaan Negara.



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use