Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN OLEH ENCIK MASAGOS ZULKIFLI, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN DI MAJLIS PELANCARAN SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU 2008 DAN BAHAN PENGAJARAN MEKAR PADA KHAMIS, 26 APRIL 2007, PADA JAM 2.00 PETANG DI EDUTORIUM, KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Encik Mohamed Noh Daipi
Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan, Kementerian Pendidikan

Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat
Ketua, Jabatan Melayu, Bahasa dan Budaya Asia, NIE/NTU

Pengetua, para pensyarah, guru dan tuan puan sekalian.


Salam sejahtera saya ucapkan

PENGENALAN

1.         Para hadirin sekalian, saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama anda sekalian pada petang ini, di majlis Pelancaran Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah 2008 dan bahan pengajaran MEKAR.

JAWATANKUASA SEMAKAN KURIKULUM DAN PEDAGOGI BAHASA MELAYU

2.         Apabila saya mula bertugas di Kementerian Pendidikan pada bulan Jun tahun lepas, Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu (MLCPRC), yang dipengerusikan oleh Dr Hadijah Rahmat, telah menghantarkan laporan tentang dapatan dan saranan MLCPRC kepada Kementerian Pendidikan. Kementerian telah menerima saranan-saranan utama MLCPRC dan kini Kementerian sedang melaksanakan saranan-saranan utama tersebut untuk beberapa tahun akan datang.

3.         Sejak laporan MLCPRC dibentangkan, banyak usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan mutu program pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.  Ini termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).  Yang jelas, usaha penggalakan penggunaan bahasa Melayu tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata.  Keluarga, sekolah, pihak media dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat perlu berganding bahu untuk bekerjasama dalam membina persekitaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih luas untuk anak-anak kita.  Kita perlu menggalakkan mereka untuk terus menggunakan bahasa Melayu walaupun selepas tamat persekolahan, tidak kira semasa berbual dengan anggota keluarga, saudara-mara dan anggota masyarakat yang boleh berbahasa Melayu.

4.         Oleh itu, dengan dana $300,000 setiap tahun selama lima tahun yang telah diperuntukkan bagi MLLPC, beberapa kegiatan telah dapat dijalankan oleh pertubuhan masyarakat.  Saya percaya suasana bahasa, sastera dan budaya Melayu yang lebih rancak akan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar Bahasa Melayu kita khususnya dan masyarakat kita pada umumnya.

5.         Pada peringkat pengembangan Program Khas Bahasa Melayu di sekolah, Kementerian Pendidikan juga telah melaksanakan saranan MLCPRC dengan membuka sebuah pusat tambahan bagi Program Bahasa Melayu Elektif (MLEP) di Maktab Rendah Innova dan Program Elektif Bahasa Melayu di Sekolah Menengah (EMAS) di sekolah Menengah Tanjong Katong.  Program EMAS telah meneruskan program pengayaannya dengan mengadakan perkhemahan budaya, bengkel penulisan dan penerbitan bahan penulisan kreatif.  Sementara program MLEP telah mengadakan perkhemahan sastera, lawatan ke Padang, Indonesia penerbitan hasil penulisan pelajar untuk semua pelajar dan pengalaman bertugas di Berita Harian dan MediaCorp bagi sebilangan daripada mereka.

SUKATAN PELAJARAN DAN BAHAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU YANG BAHARU

6.         Para hadirin sekalian, satu usaha utama Kementerian Pendidikan yang akan mempunyai kesan meluas dalam penggunaan dan pembelajaran serta pengajaran Bahasa Melayu ialah pembinaan Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah 2008 dan bahan pengajaran pembelajaran yang dinamakan MEKAR.  Pembinaan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran pembelajaran yang baharu bukan sahaja bertujuan untuk mempertingkatkan pemerolehan dan penguasaan bahasa malah bertujuan untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan yang berbakti kepada masyarakat.  Ringkasnya bahan-bahan tersebut dibina selaras dengan visi Arif Budiman.   Pada peringkat sekolah rendah, pada dasarnya murid-murid akan dididik untuk mengenali dan memahami budaya Melayu sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura.

7.         Sinergi para pegawai Kementerian dengan para guru, pengetua, guru pakar dan pensyarah telah membuahkan penerbitan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu 2008 dan bahan pengajaran pembelajaran MEKAR.  Kerjasama daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan ini sudah tentu akan amat menguntungkan anak didik kita di sekolah.

8.        Lantas, sebagai wakil Kementerian Pendidikan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru, pengetua, guru pakar dan pensyarah serta pegawai kurikulum yang telah menyumbangkan idea, kepakaran, masa dan tenaga bagi  membina sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran dan bahan pengajaran pembelajaran MEKAR.  Saya diberitahu mereka terlibat dalam Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Penggerak pembinaan Sukatan Pelajaran dan Bahan Pengajaran serta terlibat dalam banyak sesi perbincangan kumpulan fokus dan uji cuba bahan.  Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada mereka yang terlibat dan untuk usaha baik ini. 

PRINSIP YANG MENDASARI SUKATAN PELAJARAN BAHARU

9.         Pembinaan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran pembelajaran yang baharu mengambil kira pola penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid kita[1], minat dan kebolehan mereka.  Bahan-bahan tersebut dibentuk berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

a.      Penekanan pada kemahiran mendengar dan bertutur di peringkat rendah bawah.  Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah yang baharu memberikan penekanan terhadap kemahiran mendengar dan bertutur, terutama bagi murid darjah 1 dan 2 agar dapat meneguhkan asas Bahasa Melayu.  Kemahiran mendengar dan bertutur yang baik akan membantu meningkat keyakinan menggunakan bahasa Melayu dan menyokong keutuhan kemahiran membaca dan menulis kelak.

b.      Pengajaran Pembezaan.  Untuk memenuhi keperluan, minat dan kebolehan murid yang berbeza, sukatan pelajaran dan bahan pengajaran pembelajaran yang baharu ini juga  menyediakan kandungan dan latihan yang pelbagai darjah kepayahannya supaya guru dapat menyesuaikannya dengan kebolehan mereka.  Tambahan pula, sebanyak 20% ‘ruang putih’ telah disediakan untuk menyesuaikan pengajaran dengan memberikan tumpuan kepada strategi pengajaran yang berpusatkan murid.

c.      Tahap. Sukatan pelajaran dan bahan pengajaran pembelajaran yang baharu menyediakan Tahap atau pernyataan hasil pembelajaran pada peringkat akhir pembelajaran darjah 2, 4 dan 6.  Tahap yang disediakan akan membolehkan murid untuk mengembangkan penguasaan bahasa mengikut kebolehan mereka.

d.      Program bacaan luas.  Membaca masih merupakan usaha utama untuk meningkatkan mutu penggunaan bahasa dan membina daya imaginasi.  Bagi memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan telah membina bahan bacaan sokongan bagi darjah 1 dan 2.  Kementerian Pendidikan juga menyarankan senarai buku bacaan tambahan yang boleh digunakan sebagai bacaan tambahan bagi darjah 1 hingga 6.  Bagi menyediakan kepakaran guru menjalankan program bacaan luas, Kementerian Pendidikan telah menjalankan bengkel latihan untuk melaksanakan program bacaan luas yang tersusun dan berkesan di sekolah.

10.        Unit Bahasa Melayu akan membimbing semua guru yang mengajar di sekolah rendah untuk melaksanakan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran yang baharu melalui bengkel. Saya amat gembira kerana akan terdapat para guru yang akan bertindak sebagai pemudah cara dalam bengkel-bengkel yang akan dianjurkan.  Saya yakin setiap guru Bahasa Melayu yang bermotivasi dan berkebolehan akan dapat melaksanakan dan mencapai matlamat kurikulum dengan jayanya.

GURU SEBAGAI TUNJANG

11.        Para guru sekalian, setiap cikgu mempunyai peranan yang penting untuk menyemai minat yang mendalam dan keghairahan (passion)  menggunakan serta mempelajari Bahasa Melayu dalam kalangan murid kita.  Hal ini bermakna para guru harus sentiasa memikirkan cara dan strategi pengajaran yang kreatif dan berkesan untuk melibatkan murid dalam proses pembelajaran mereka.  Yang penting, berikanlah kata-kata rangsangan dan galakan semasa di kelas, supaya murid-murid akan terus berusaha dan gigih apabila mereka tahu kita yakin terhadap kebolehan mereka.  Setiap daripada Cikgu di dewan ini mempunyai keupayaan untuk menyemai minat dalam kalangan anak didik kita untuk terus belajar dan menggunakan bahasa Melayu.  Teruskanlah berbuat demikian supaya minat murid kita akan bercambah dan mekar dalam taman bahasa, sastera dan budaya di Singapura.  Jika hal tersebut berlaku, kita pasti visi Arif Budiman akan boleh dicapai.

PENUTUP 

12.        Para hadirin sekalian, majlis pelancaran Sukatan Pelajaran dan bahan MEKAR pada hari ini merupakan titik mula usaha baharu bagi menyediakan pelaksanaan sukatan pelajaran yang akan bermula pada tahun 2008 bagi darjah 1 hingga 4.  Walaupun banyak persediaan yang harus dilakukan di peringkat sekolah, kelompok sekolah atau zon, saya yakin, jalinan rangkaian kerja antara Kementerian Pendidikan dengan para guru sekalian dan dalam kalangan guru akan memudahkan kerja-kerja persediaan pelaksanaan yang akan dijalankan. Saya ucapkan selamat berjaya.

13.        Dengan ini, secara rasminya saya melancarkan Sukatan pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan bahan pengajaran MEKAR.

14.        Terima kasih.

 

________________________________________

[1]  Kadar murid BM dalam Darjah 1 yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah merosot daripada 82% dalam tahun 1996 kepada 71% dalam taun 2005 (MLCPRC Report, 2005)



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use