Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN PENUTUP OLEH ENCIK MASAGOS ZULKIFLI, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN (PENDIDIKAN), DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA BAHASA, SASTERA DAN KEBUDAYAAN MELAYU KE-3, ANJURAN INSTITUT PENDIDIKAN NASIONAL, DI HOTEL MANDARIN, AHAD, 16 JUL 2006, 5.00 PTG

 

 

Dr Kamsiah Abdullah

Pengerusi,  Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Kebudayaan Melayu ke-3

 

Prof. Madya Dr. Hadijah Rahmat

Penolong  Ketua,  Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia

 

Para pembentang kertas kerja dan peserta persidangan

Tetamu yang dihormati

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

 

Salam sejahtera

 

PENGENALAN

 

1.         Saya gembira kerana sekali lagi dapat bersama-sama dengan para hadirin sekalian pada petang ini, dalam acara penutup di Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Kebudayaan Melayu Ketiga anjuran Institut Pendidikan Nasional (NIE).

 

2.         Seminar selama dua hari ini merupakan usaha NIE yang berterusan dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu di persada antarabangsa. Dengan adanya wadah seperti ini, penceramah dari pelbagai negara dapat berkongsi kepakaran dan maklumat serta bertukar-tukar pendapat tentang perkembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di peringkat rantau dan antarabangsa.

 

MEMPERLUAS PENGETAHUAN DAN JARINGAN KERJA

 

3.         Syabas kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Penganjur yang telah berjaya menjemput sebilangan besar para pembentang kertas kerja dari rantau ini.  Budaya berkongsi ini amat baik sekali dalam meningkatkan profesionalisme dalam kalangan ahli akademik dan para pendidik kita. Persidangan sebegini tentunya memberi peluang yang luas bagi semua peserta untuk meraih dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman dari segi bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu. Saya yakin anda semua telah meraih ilmu pengetahuan yang berguna atau sekurang-kurangnya seminar ini telah mencetuskan idea-idea baharu dan segar dalam usaha murni untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu. Usaha baik ini harus diteruskan.

 

4.            Selain itu, kita boleh menjadikan seminar serupa ini sebagai satu platform bukan sahaja untuk mempertingkat dan memperluas pengetahuan dan kemahiran tentang bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, tetapi juga untuk menjalin hubungan dan membina rangkaian kerja yang lebih erat dan kukuh untuk menyemarakkan lagi budaya berkongsi ilmu dalam kalangan ahli akademik dan para pendidik di rantau kita ini. Dengan adanya jalinan kerja serantau yang kukuh, kita mampu bekerjasama untuk menganjurkan seminar-seminar bertaraf antarabangsa yang lain yang pastinya akan memanfaatkan kita semua.

 

PENUTUP

 

5.            Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, NIE yang telah menganjurkan seminar ini. Saya ucapkan terima kasih kepada para penceramah yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.   Semoga seminar ini telah memperkaya dan memperkukuh minat serta kecenderungan kita terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu.

 

6.            Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

 

                        Permata bersinar di telaga zam zam,

                                    Menjadi mata cincin suasa;

                        Berakhirnya seminar, bermula iltizam,

                                    Semarak Bahasa Serentak Masa.

 

7.            Dengan ini, secara rasminya saya menutup Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Kebudayaan Melayu Ketiga.  Terima kasih.

 



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use