Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN OLEH ENCIK HAWAZI DAIPI, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MERANGKAP KEMENTERIAN TENAGA KERJA DAN ANGGOTA PARLIMEN BAGI GRC SEMBAWANG
DI SEMINAR BAGI GURU-GURU BAHASA MELAYU PRA-SEKOLAH, 
HARI SABTU, 11 FEB 2006, JAM 9.00 PAGI DI THE EDUTORIUM, MOE


Puan Rashidah Abdul Rasip,
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan MENDAKI

Para pengetua dan guru,

Para hadirin sekalian,

1.         Saya berbesar hati dapat bersama anda di Seminar Guru Bahasa Melayu Pra-sekolah ini, dan gembira melihatkan begitu ramai guru hadir di majlis ini untuk berkongsi pengetahuan serta berinteraksi antara satu sama lain. Saya difahamkan SENSE, iaitu sebuah kooperatif Yayasan Mendaki, dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah bekerjasama buat beberapa bulan kebelakangan ini bagi menganjurkan seminar ini.

2.         Pagi ini, saya ingin membincangkan tentang tiga perkara; pertama berkenaan pendidikan Bahasa Melayu di Singapura;  kedua, saya akan membincangkan tentang profil pelajar-pelajar bahasa Melayu yang sedang anda didik di pusat-pusat pra-sekolah; dan akhir sekali, saya akan sampaikan mengenai visi untuk anak-anak kita yang belajar Bahasa Melayu – iaitu setiap daripada mereka akan menjadi orang dewasa yang berpegang pada ciri-ciri Arif Budiman – seseorang yang terpelajar yang dapat menyumbang kepada masyarakat.

Pendidikan Bahasa Melayu di Singapura

3.         Pembelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris di sekolah adalah asas untuk membina sebuah masyarakat yang berbilang bangsa dan budaya. Bagi kanak-kanak Melayu kita, pelajaran bahasa Melayu di sekolah amat penting dan bermakna. Pertama, bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan kita dan merupakan salah satu daripada bahasa rasmi. Kita perlu menanam rasa bangga ke atas keupayaan bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu di kalangan anak-anak kita kerana ia adalah bahasa ibunda mereka. Selain daripada itu, bahasa Melayu ialah bahasa utama yang digunakan di  negara-negara jiran kita. Oleh itu, ia mempunyai peranan ekonomi yang penting. Tetapi, kita harus menggalakkan anak-anak kita belajar bahasa Melayu, menggunakannya dengan berkesan dan menanam rasa bangga dapat penggunakannya dengan fasih buka semata-mata kerana ia penting untuk berniaga dengan negara jiran. Ia juga penting untuk membina hubungan yang erat dengan mereka. Bagi kita sendiri, penggunaan Bahasa Melayu penting untuk membina silatulrahim dan mengembangkan warisan budaya di kalangan masyarakat kita.

4.         Akan tetapi, di samping usaha untuk memelihara budaya, kita patut berikhtiar untuk sentiasa mengembang dan menyesuaikan Bahasa Melayu dengan kehendak masa kini. Contohnya, kanak-kanak sekarang amat terdedah kepada sains moden seperti IT, pengajian angkasa lepas dan penemuan-penemuan baru dalam dunia perubatan. Mereka perlu mengetahui dan memahami perbendaharaan kata yang berkaitan dengan topik-topik tersebut, serta penggunaannya di dalam percakapan harian. Mereka tidak patut berfikir bahawa Bahasa Melayu hanya layak digunakan apabila berbincang tentang adat dan budaya Melayu. Malah mereka harus bertutur dalam bahasa Melayu ketika membincangkan teknologi yang terkini.

5.         Ada sebuah pepatah yang berbunyi begini, “Kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Begitulah juga dengan pelajaran bahasa Melayu. Ia patut bermula sejak anak-anak kita masih kecil dan diperkukuh semasa mereka di tadika. Masa yang amat penting untuk membina asas bahasa yang kuat di kalangan anak-anak ialah semasa di pra-sekolah. Kanak-kanak akan lebih bersedia untuk memasuki zaman persekolahan apabila asas bahasa mereka kukuh. Mereka akan lebih mudah mempelajari kemahiran dalam membaca dan menulis yang dapat membuka jendela ke alam pengetahuan yang luas.

6.         Peranan tadika dan sekolah ialah untuk memupuk semangat belajar dan keinginan untuk menimba pengetahuan baru. Galakan dari guru-guru amat penting dalam membantu murid-murid yang baru mula mengenal erti belajar, membaca dan menulis.

Pelajar Bahasa Melayu Hari Ini

7.         Penggunaan bahasa di Singapura kini amat berbeza dengan masa persekolahan kita. Kini, sudah menjadi kebiasaan bagi ramai kanak-kanak Melayu bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah dan semasa berinteraksi dengan orang lain. Untuk anak-anak sebegini, bertutur dalam bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa yang sering mereka gunakan untuk bertutur dengan keluarga dan kawan-kawan. Maka tidak menghairankan jika anak-anak susah untuk mengikuti kelas-kelas bahasa Melayu di tadika dan sekolah.

8.         Oleh itu, pusat-pusat pra-sekolah perlu membuat ubahsuaian dalam kaedah pengajaran supaya dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar Bahasa Melayu yang berbeza. Keperluan kanak-kanak yang menggunakan bahasa Melayu di rumah berlainan dengan keperluan pelajar yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, guru tadika perlu mempelbagaikan cara mengajar yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap kumpulan pelajar.

9.         Kita bukan sahaja perlu memenuhi keperluan anak-anak yang berbeza. Malahan, kita juga perlu mengambil-kira minat mereka yang pelbagai dengan menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu lebih seronok. Salah satu cara untuk melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran bahasa ialah untuk menjadikan bahasa itu sesuai untuk mereka. Kita perlu mengadakan ruang bagi mereka mempraktikkan kegunaan bahasa dalam perkara-perkara harian yang mereka alami serta semasa mereka bergaul. Inilah masanya di mana guru-guru perlu berfikir secara kreatif tentang strategi-strategi yang sesuai untuk melibatkan murid-murid tersebut.

10.        Pakar-pakar pendidikan mendapati pembelajaran secara bermain adalah cara paling berkesan untuk membantu murid-murid di peringkat tadika mendengar, bertutur dan memahami bahasa. Jadi, guru-guru perlu kreatif dan menjadikan pelajaran bahasa itu seronok dengan menggunakan alat-alat mainan untuk membina suasana yang bermakna bagi anak-anak ini.

11.        Untuk memberikan anda beberapa cadangan bagi strategi-strategi yang dapat memupuk semangat cintakan bahasa Melayu, MOE sedang menyiapkan garis panduan mengajar untuk guru-guru bahasa Melayu di peringkat tadika. Saya difahamkan bahawa pengarang-bersama garis panduan ini, Puan Nadhira Koyakutty, Penyelia Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), akan menjelaskan mengenai dasar serta strategi-strategi ini. Saya juga difahamkan bahawa rakan-rakan saya di MOE telah bertemu  dengan beberapa hadirin di sini – iaitu beberapa orang pengetua dan guru –   untuk membincangkan tentang garis pandu tersebut. Terima kasih kerana menyumbangkan buah fikiran anda. Kami amat menghargai pendapat anda sekalian. MOE berharap untuk menerbitkan garis pandu itu dan menyiarkan kepada sekolah-sekolah pada awal bulan Mei tahun ini.

12.        Saya maklum bahawa buat masa ini, alat-alat pengajaran memang terhad dan susah untuk diperolehi melalui pasaran biasa. Namun, saya yakin bahawa guru-guru sekalian mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan dapat mereka alat-alat ini bagi kegunaan di bilik darjah. MOE prihatin mengenai keperluan anda semua. Sebab itu, kami telah membantu untuk bekerjasama dengan beberapa syarikat buku dan telah mengundang mereka untuk mempamerkan bahan-bahan mereka semasa seminar yang diadakan di Politeknik Nanyang pada bulan November lalu. Saya diberitahu syarikat-syarikat ini telah menerima pesanan daripada beberapa orang guru besar. Kami telah mengundang beberapa syarikat lagi untuk mempamerkan bahan mereka hari ini. Saya menggalakkan anda untuk melihat pameran tersebut di lobi Edutorium ini.

13.        Bak kata pepatah, “bertepuk sebelah tangan tiada akan berbunyi”, kita tidak boleh bekerja secara sendirian. Kita perlu bekerjasama untuk memperbaiki pendidikan anak-anak kita. Oleh itu, MOE telah bekerjasama dengan SENSE untuk mengadakan seminar ini. SENSE telah mencadangkan sebuah siri bengkel khas untuk guru-guru tadika, yang mereka akan bentangkan sebentar lagi.

Visi Arif Budiman

14.        Kajian Jawatankuasa Semakan Semula Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu telah mengusulkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang dipandu oleh visi Arif Budiman.

15.        Arif Budiman mencerminkan seorang yang berpendidikan dan berbakti kepada masyarakat. Visi ini memberikan guru-guru dan pelajar-pelajar Bahasa Melayu suatu arah yang selaras untuk menguatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mencapai kefahaman mendalam dari segi budaya. Tujuannya ialah untuk melahirkan individu yang sentiasa mengejar pengetahuan dan selalu berbudi bakti dalam perlakuannya. Kita membayangkan generasi-generasi yang akan datang bukan sahaja berilmu, bahkan tahu mendukung prinsip-prinsip yang mulia. Mereka adalah anak-anak muda yang tidak teragak-agak untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

16.        Sebagai guru, kita harus selalu ingat matlamat yang ingin digarap oleh visi Arif Budiman, iaitu
                  a. Berkeinginan untuk mencapai yang terbaik
                  b. Fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan
                  c. Bersemangat menyumbang kepada masyarakat

17.        Bagaimanakah kita dapat memupuk ciri-ciri ini? Inilah yang saya harap anda semua akan renungkan di seminar hari ini. Saya percaya ia bermula dari anda. Sebagai guru, kita memberi contoh kepada anak-anak didik kita. Apabila anak-anak ini datang kepada anda, impiannya akan dipengaruhi oleh perilaku anda sendiri. Anda memainkan peranan yang penting untuk mendidik anak-anak ini ke arah visi Arif Budiman.

18.        Saya mengalu-alukan usaha anda dalam memupuk rasa cintakan Bahasa Melayu. Saya berharap anda semua akan menimba manfaat daripada seminar hari ini.

19.        Sekian, terima kasih.

 

 



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use