Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN  ENCIK HAWAZI DAIPI , SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN BAGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA, BAGI MAJLIS PELANCARAN BUKU LEKSIKON:  DIREKTORI PENULIS MELAYU PASCA 1965, ANJURAN ANGKATAN SASTERAWAN 50 DAN LEMBAGA PERPUSTAKAAN NEGARA, PADA SABTU, 23 JULAI 2005, JAM 2.30 PTG, DI ARAS 5, BANGUNAN LEMBAGA PERPUSTAKAAN NEGARA

 

Encik Mohd Latiff Mohd

Naib Presiden, Angkatan Sasterawan 50

 

Dr N Varaprasad

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara

 

Encik Mohd Pitchay Gani

Timbalan Presiden Angkatan Sasterawan 50

 

Para Penulis yang saya hormati

 

Para hadirin yang saya muliakan

 

Assalammualaikum Wr. Wb.

 

1.         Saya sangat berbesar hati diundang ke majlis yang penuh bermakna ini, iaitu pelancaran buku “Leksikon : Direktori Penulis Melayu Singapura Pasca 1965.” Buku ini merupakan hasil gabungan kerjasama antara Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Saya diberitahu bahawa buku ini mengambil masa selama 2 tahun untuk disediakan. Bagi saya, ini merupakan satu usaha dan pelaburan yang berbaloi kerana buat kali pertama sebuah dokumen tentang para penulis Melayu dapat disediakan bagi rujukan masyarakat dan dijadikan khazanah seni kesusasteraan negara.

 

2.         Penerbitan buku ini memang tepat pada masanya.    Ia bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-40 yang bertemakan ‘40 tahun Pembangunan Negara’. Tema ini bertujuan untuk merenung dan menyingkap kembali segala pencapaian negara selama 40 tahun dan menjadi landasan untuk mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

 

Para hadirin sekalian

 

3.         40 tahun merupakan jangka masa yang singkat untuk membina tamadun sesebuah negara. Namun ini tidak menjadi penghalang bagi kita berkembang dan terus maju untuk mencapai kecemerlangan. Begitu juga dalam proses pembinaan sejarah kesusasteraan Melayu pasca kemerdekaan.  Jangka masa singkat ini tidak pernah menjadi penghalang untuk kita mengiktiraf tinta penulisan para karyawan kita.  Kebanyakan daripada 70 orang penulis yang dirakamkan dalam buku ini merupakan golongan yang giat berkarya dari tahun-tahun 60’an.  Malah ramai juga yang telah berkecimpung lebih awal daripada jangka masa tersebut.  Para penulis yang disingkap datang dari pelbagai latar belakang, bidang dan pengalaman.  Hal ini membuktikan wujudnya kemampuan dan iltizam para penulis Melayu dalam persada persuratan tanah air sekalipun mempunyai latar belakang yang berbeza.   Mereka terus menulis dan memanfaatkan segala peluang dan ruang yang ada di kota Singa ini walaupun setelah berpisah dari Malaysia pada tahun 1965.

 

4.         Semangat untuk terus menyemarakkan khazanah persuratan Melayu tanah air sekaligus mendukung hasrat pemerintah mencipta sebuah bandar renaissance, terus membakar dalam jiwa mereka. Buku ini merupakan bukti akan pencapaian penulis Singapura. Syabas saya ucapkan kepada para penulis kita. Kini kita juga boleh bermegah kerana mempunyai buku rujukan penulis kita sendiri setanding dengan rakan-rakan lain di Nusantara. Penggiat sastera di Nusantara juga boleh memanfatkan buku ini untuk memantau dan mengkaji para penulis Singapura dalam era jagat ini.

 

5.         Sudah tentu dengan adanya buku ini, nama-nama besar dalam persuratan Melayu Singapura seperti Muhd Ariff Ahmad, Masuri SN, Abdul Ghani Hamid, Suratman Markasan, Aliman Hassan dan Mohd Latiff Mohd dapat terus diabadikan dalam bentuk bercetak untuk rujukan para pengkaji dan generasi akan datang. Nama-nama penulis mapan dan baru dalam dunia penulisan dapat ditonjolkan sebagai bukti adanya kesinambungan bakat dalam dunia penulisan Melayu di singapura.  Hal ini akan menjadi inspirasi untuk para penulis dan bakat-bakat baru untuk bergiat dalam dunia penulisan.

 

Para hadirin sekalian

 

6.         Saya ucapkan syabas kepada Asas 50 atas usaha mendokumentasikan latar dan sumbangan para penulis Singapura dengan melibatkan organisasi nasional seperti Lembaga Perpusakaan Negara (NLB). Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada NLB yang sama-sama berusaha untuk mendokumentasikan khazanah Melayu Singapura. Pendekatan terbuka seperti ini memang dialu-alukan dalam kita meneruskan penakatan di dalam negara kosmopolitan ini. Saya berharap lebih banyak pertubuhan Melayu akan mengikut jejak untuk bergabung tenaga dengan institusi nasional dalam menghasilkan buku-buku ilmu, bahasa dan budaya, sesuai dengan keperluan masyarakat dan pembangunan negara. Kerjasama yang dijalin pasti dapat menyemarakkan lagi dunia persuratan tanah air.

 

7.         Asas 50 merupakan sebuah pertubuhan persuratan bermula pada tahun 1950 dan masih bergerak aktif sehingga hari ini dalam dunia persuratan dan pendokumentasian. Saya yakin bahawa usaha seumpama ini akan mendapat sambutan proaktif daripada pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Saya juga berharap lebih banyak usaha dapat digerakkan antara Asas 50 dan NLB dalam mencorak perkembangan sastera tanah air. Saya berharap agar Asas 50 dan NLB dapat meluaskan cakupan peranan mereka dengan melibatkan institusi-institusi pendidikan.

 

8.         Dunia pendidikan adalah dunia yang mencabar. Salah satu daripadanya ialah bagaimana kita boleh mendidik para pelajar kita agar mesra bahasa dan budaya. Ini boleh dimanfaatkan melalui bahan-bahan sastera khususnya. Oleh itu, penulis memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan bacaan tambahan sebagai wadah ilmu, bahasa, sastera dan budaya untuk para pelajar dan guru. Saya berharap lebih banyak buku-buku Melayu yang bermutu dapat dihasilkan oleh para penulis setempat. Pemerintah akan terus memberikan sokongan terhadap usaha yang dapat mencetuskan inovasi dan kreativiti. Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh para penulis sebaik-baiknya untuk meningkatkan kemampuan mereka dalam dunia persuratan sama ada melalui kursus-kursus yang diikuti oleh mereka mahupun bengkel-bengkel yang diadakan untuk para pelajar di sekolah-sekolah dan para penggemar sastera.

 

9.         Semoga lebih banyak usaha seumpama ini dapat dilakukan dalam mengkaji dan merakamkan khazanah etnik Singapura agar identiti kita dapat terus disulam sama indah dengan khazanah bangsa-bangsa lain di dalam kota yang rencam ini.

 

10.       Terima kasih.

 



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use