Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

 UCAPAN  ENCIK HAWAZI DAIPI ,
SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN BAGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA,
BAGI MENUTUP PERSIDANGAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU
ANJURAN KUMPULAN SOKONGAN BAHASA MELAYU,
KELOMPOK 3 TIMUR DAN MAJLIS BAHASA MELAYU SINGAPURA,
PADA SABTU, 25 SEPTEMBER 2004,
DI HOTEL CHANGI VILLAGE – LE MERIDIEN.
 


Encik Jimmy Tan, Superintendent  Kelompok 3 Timur
Para Pengetua Sekolah
Para pembentang kertas kerja
Para guru
Tuan-tuan dan Puan-puan


Selamat petang


Pengenalan

1.      Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya ke Persidangan Pengajaran Bahasa Melayu pada hari ini. Usaha pihak penganjur, iaitu Kumpulan Sokongan Bahasa Melayu, Kelompok 3 Timur dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Singapura patut diberi pujian. Persidangan seperti ini membawa manfaat yang besar kerana guru-guru dapat berkongsi idea mengenai strategi dan pendekatan yang berkesan dalam pengajaran Bahasa Melayu.  Kehadiran guru-guru pada hari ini sungguh bermakna, kerana walaupun hari Sabtu kini dianggap hari untuk bersama keluarga, ramai guru yang sedia hadir untuk mengikuti persidangan ini.  Semangat dan usaha cikgu sesungguhnya mencerminkan iltizam para guru Bahasa Melayu untuk terus meningkatkan ilmu dan mutu pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kita.

2.      Sepanjang hari ini, anda telah mendengar para akademik dan guru kita berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.   Saya diberitahu bahawa pihak penganjur terpaksa menolak lebih seratus permohonan kerana keterbatasan ruang.  Oleh itu, manfaat yang anda raih akan bertambah dan berganda, sekiranya anda pula berkongsi dengan para guru sesekolah atau sekelompok yang tidak dapat hadir pada hari ini. Jaringan kerjasama seperti ini bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan anda bahkan memberikan manfaat kepada para pelajar kita apabila anda pulang ke sekolah dan mempraktikkan ilmu yang baru diperoleh pada hari ini. Budaya bertukar-tukar idea dan berkongsi sumber seperti yang berlaku dalam persidangan ini membantu untuk  memastikan bahawa pedagogi Bahasa Melayu tidak statik. Usaha untuk terus memperbaik  tahap pengajaran Bahasa Melayu seperti ini akan membantu anda sekalian merancang dan melaksanakan pengajaran Bahasa Melayu yang berkesan dan menyeronokkan bagi meningkatkan minat pelajar kita ke atas bahasa Melayu. Kita harus terus berusaha menjadikan pelajaran Bahasa Melayu  mata pelajaran yang disukai pelajar di semua peringkat.

3.      Para hadirin sekalian, kita harus berusaha mengajar pelajar-pelajar kita agar faham dan menghargai apa yang kita ajarkan., bukan sekadar untuk membantu mereka lulus peperiksaan. Ia juga bukan sekadar untuk memenuhi keperluan sukatan pelajaran yang disediakan. Kita harus berusaha mengajar dengan objektif untuk membentuk perkembangan menyeluruh pelajar. Oleh itu, pendekatan yang berpusat kepada  pelajar akan memberi mereka  peluang untuk belajar melalui pengalaman  mereka. Ini dapat dilakukan dengan memberikan penekanan ke atas tugasan-tugasan yang memerlukan pelajar membuat penilaian kendiri bukan tugasan-tugasan yang berorientasikan peperiksaan dan arahan secara didaktik.

4.      Untuk memenuhi keperluan tersebut, Kementerian Pendidikan akan menyemak semula sukatan pelajaran dan mengurangkan kandungannya.  Ini diharap akan dapat membantu guru untuk menilai semula pendekatan pengajaran mereka. Dengan pengurangan kandungan dalam mata pelajaran mereka, guru boleh menggunakan masa untuk lebih mengenali pelajar mereka, menggalakkan mereka untuk bertanya, memberikan pendapat dan berfikir secara berdikari.  Ini akan membantu pelajar  membina keyakinan diri mereka.  Dengan kemahiran ini semua, kita harap akan dapat menghasilkan generasi muda yang berinovasi, kritikal, kreatif dan berdaya usaha, serta pelajar yang menghayati bahasa ibunda dan budayanya.

5.      Para hadirin sekalian, seringkali  kita mendengar tentang perubahan profil  pelajar kita. Seringkali kita  mengeluh tentang penggunaan bahasa Inggeris yang lebih dominan di kalangan pelajar kita. Hakikatnya, apakah yang boleh kita lakukan sebagai pendidik bahasa Melayu? Dunia pendidikan sentiasa mengalami perubahan. Keperluan hari ini tidak sama dengan keperluan masa lampau. Malah keperluan hari ini akan terus berubah mengikut keperluan pada masa hadapan. Daripada fasa pendidikan yang berteraskan penakatan selepas kita berpisah dengan Malaysia, kita bergerak ke fasa berteraskan kecekapan. Dan kini, kita dalam fasa pendidikan berteraskan kebolehan. Kita perlu terus bergerak maju dalam konteks pembinaan dan perlaksanaan kurikulum dan tidak boleh kekal dengan pendekatan dan strategi pengajaran yang sedia ada. Rancangan Pengajaran dilakar bukan setakat untuk memberikan ilmu semata-mata tetapi lebih daripada itu – harus mengisi juga keperluan pertumbuhan emosi, mental, sosial dan fizikal para pelajar. Guru tidak semata-mata mengajar tetapi perlu bertindak sebagai pembimbing yang dihormati, sebagai mangkin bagi pertumbuhan pemikiran yang kreatif dan kritis di kalangan pelajar.

6.      Perdana Menteri kita dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan yang lalu menyentuh tentang hadiah yang paling bermakna yang dapat kita berikan kepada generasi muda, iaitu pendidikan.  Bukan hanya setakat menyediakan mereka untuk pekerjaan tetapi belajar untuk mengharungi kehidupan, belajar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia dan belajar untuk menjadi insan yang sempurna.

7.      Sebagai guru Bahasa Melayu, hadiah yang dapat kita berikan kepada pelajar kita ialah kefasihan dan keselesaan mereka bertutur dalam bahasa Melayu dalam konteks-konteks yang berbeza dalam kehidupan seharian mereka. Hadiah itu akan lebih bermakna jika mereka dapat menerapkan dan menghayati nilai dan aspek budaya Melayu yang berteraskan ciri-ciri ke-Singapuraan dalam diri mereka. Jika perkara itu dapat dilaksanakan dengan berkesan,  para guru Bahasa Melayu telah berjaya membimbing pelajar menjadi rakyat Melayu Singapura yang menyintai bahasa dan nilai kebudayaan bangsanya dan bersifat progresif serta dinamik sebagai rakyat Singapura.

8.      Dengan ini, secara rasmi saya menutup Persidangan Pengajaran Bahasa Melayu ini.

         Sekian terima kasih.

 



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use