Home > Media Centre > Speeches Printer-friendly page  

UCAPAN ENCIK HAWAZI DAIPI
SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN & KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA, DI CERAMAH TEMASIK
ANJURAN KESATUAN GURU MELAYU SINGAPURA
DI YORK HOTEL, SABTU, 18 SEPTEMBER 2004, 1.30 PTG

 

Puan Bibi Jan Ayyub, Yang Dipertua KGMS

Profesor S Gopinathan, Timbalan Dekan CRPP, NIE.

Encik Mohamed Noh Daipi, Penolong Pengarah, CPDD, MOE.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat  Sejahtera

Pengenalan

1.      Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) kerana mengundang saya ke Ceramah Temasik  yang ke-14 pada petang ini. Saya gembira sekali kerana  berpeluang untuk bersama  cikgu-cikgu sekalian. Dalam majlis seperti ini, kita dapat berkumpul dan berinteraksi, merapatkan hubungan dan bertukar-tukar idea, serta, menimba ilmu bersama. Ini amat baik sekali.

2.      Cikgu-cikgu sekalian memainkan peranan penting untuk membimbing pelajar  kita dalam pencarian ilmu. Cikgu-cikgu berhubung rapat dengan  pelajar setiap hari di dalam kelas, ketika menjalankan akitiviti kokurikulum, interaksi di luar kelas dan sebagainya. Bahkan interaksi cikgu-cikgu  dengan pelajar tidak berhenti setakat di sekolah. Cikgu-cikgu berdarmawisata, berkunjungan pada musim perayaan seperti Hari Raya dan ada yang rewang apabila guru mereka mengadakan majlis perkahwinan. Hubungan seperti ini amat baik sekali kerana cikgulah  antara orang-orang  yang penting dalam kehidupan para pelajar. Cikgu-cikgu berperanan mencorak masa depan pelajar. Oleh itu, cikgu-cikgu memainkan peranan penting untuk mengekalkan minat pelajar dalam pelajaran mereka, termasuk pelajaran Bahasa Melayu

3.      Saya akur, cabaran untuk mengekalkan minat pelajar kita ke atas bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah.  Profil para pelajar kita sudah berubah. Generasi muda kita sekarang begitu selesa dalam arus globalisasi dan menggunakan bahasa Inggeris secara meluas. Mereka lebih berkeyakinan dalam menimba ilmu baharu dan bersedia mencuba sesuatu yang berbeza. Ini amat baik sekali kerana kita sememangnya  menggalakkan generasi muda kita agar lebih berani mengambil risiko dan bersedia menghadapi kegagalan dalam mengharungi gelombang inovasi saintifik dan teknologi yang dapat  menghasilkan daya usaha yang tinggi.

4.      Cikgu-cikgu sekalian, apakah kesan perubahan profil pelajar kita ini terhadap bahasa Melayu di Singapura?  Satu tampilkan satu senario: Lebih ramai keluarga Melayu kita menggunakan bahasa Inggeris di rumah - sekurang-kurangnya dalam perbualan di kalangan anggota  keluarga pertuturan dalam bahasa Melayu diselang-selikan dengan bahasa Inggeris. Lebih ramai rakyat yang berpendidikan Inggeris menjadi ibu bapa. Apakah yang akan berlaku apabila generasi muda kita menjadi ibu bapa nanti. Dapatkah mereka menyediakan persekitaran bahasa Melayu yang diperlukan bagi anak-anak mereka nanti? Sememangnya  sukar untuk kita membayangkan bahasa Melayu pupus di Singapura. Namun, sekiranya kita tidak melakukan sesuatu sekarang, mungkinkah ini akan berlaku? Stephen Wurm dalam makalahnya[1]  “Strategi Pengekalan dan Hidup Semula Bahasa” menyenaraikan sebahagian tanda-tanda yang boleh membawa kepada kepupusan sesuatu bahasa.

(i)                   penggunaan yang berkurangan di kalangan kanak-kanak

(ii)                 penggunaan yang berkurangan di kalangan orang dewasa yang tidak mempunyai anak yang ramai atau tidak ada anak yang menuturkan bahasa mereka

(iii)                penggunaan bahasa yang baik hanya dapat dilakukan oleh penutur yang tidak muda daripada berumur 50 tahun

(iv)                golongan penutur bahasa tersebut mula meninggal dunia

(v)                  sukarnya menemui penutur bahasa itu.

5.      Cikgu-cikgu sekalian, di manakah bahasa Melayu kita di Singapura berdasarkan tanda-tanda yang diketengahkan oleh Stephen Wurm tadi. Sekiranya para pelajar tidak mempunyai persekitaran yang memberi mereka peluang untuk menggunakan bahasa Melayu yang mereka pelajari di sekolah, apakah kesannya terhadap penguasaan bahasa Melayu mereka? Apabila kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu terhad, ini akan menjejas kelakonan mereka dalam peperiksaan Bahasa Melayu. Apakah implikasi kepada masyarakat Melayu kita sekiranya jumlah pelajar Melayu yang mula cenderung untuk mengambil Bahasa Melayu B mula meningkat pada masa depan?

6.      Walau bagaimanapun, keadaan belum lagi menjadi masalah. Para pelajar kita masih menunjukkan kelakonan yang baik dalam peperiksaan bertulis  Bahasa Melayu mereka di peringkat sekolah mahupun di peringkat nasional. Dalam wawancara radio atau televisyen, kita dapat melihat dan mendengar  para pelajar Melayu kita berupaya menggunakan bahasa yang gramatis dan sebutan baku yang baik.

7.      Pengekalan penggunaan  bahasa Melayu yang baik di kalangan pelajar  tidak dapat dilakukan dengan membiarkan keadaan bahasa Melayu  mereka berkembang meliar begitu sahaja.  Perkembangan bahasa mereka harus dipantau dan terarah. Potensi mereka harus dikenal pasti dan dibentuk. Oleh itulah Kementerian Pendidikan menyediakan program-program khas seperti EMAS di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan MLEP di Maktab Rendah Tampines. Para pelajar yang berbakat diberikan peluang mengambil Bahasa Melayu Lanjutan  di sekolah-sekolah mereka supaya minat mereka ke atas bahasa dan budaya Melayu dapat dikembangkan, walaupun mereka mungkin adalah pelajar jurusan sains.

8.      Untuk membantu  kita dapat menghasilkan para pelajar yang mempunyai kebolehan bahasa Melayu yang lebih tinggi, Kementerian Pendidikan juga  komited melabur masa dan sumber dalam melatih lebih ramai guru untuk menghasilkan guru yang berkualiti.  Walaupun semakin ramai guru Bahasa Melayu kita merupakan pelajar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua ketika mereka di sekolah, ini bukanlah penghalang bagi mereka untuk menjadi guru Bahasa Melayu yang berkesan. Kementerian Pendidikan telah membuka pelbagai peluang untuk pengembangan profesional mereka di luar sekolah contohnya Program Ijazah Bahasa Melayu di NIE. Dan kini, bermula pada tahun 2005 nanti, Kementerian Pendidikan telah mengenalkan model Kontinum Pengembangan Profesional untuk para guru. Model ini menyediakan laluan berstruktur  untuk para guru  mendapatkan pensijilan tinggi profesional termasuk ijazah dan posijazah.

9.      Namun,tugas  untuk membimbing perkembangan bahasa Melayu pelajar tidak harus dipikul oleh para guru sahaja atau sekolah. Ibu bapa dan masyarakat juga harus menyediakan suasana yang sesuai untuk anak-anak mereka agar menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam situasi-situasi tertentu. Saya pasti kebanyakan cikgu-cikgu yang hadir petang ini juga merupakan golongan ibu bapa. Oleh itu cikgu-cikgu mungkin bersetuju dengan saya bahawa guru hanya dapat mengajarkan laras atau gaya bahasa yang sesuai bagi sesuatu konteks sosial tetapi konteks tersebut hanya wujud ketika para pelajar bersama keluarga mereka. Contohnya ketika berinteraksi dengan orang-orang yang lebih tua dalam majlis-majlis perkahwinan atau kenduri, para pelajar harus peka akan tutur kata mereka. Mereka harus dapat membezakan tutur kata dengan kawan-kawan dan tutur kata yang mereka gunakan dengan orang-orang tua.

10.     Ibu bapa juga boleh mengalakkan pelajar sentiasa rapat dengan bahasa Melayu dengan menyediakan bahan bacaan bahasa Melayu. Selain akhbar Berita Harian, kita juga harus menggalakkan pelajar kita membaca lebih banyak buku sama ada yang dibeli mahupun yang dipinjam daripada perpustakaan sekolah atau Perpustakaan Nasional. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Statistik  pada tahun 2000 menunjukkan bahawa orang Melayu merupakan golongan yang paling kurang meminjam buku di Perpustakaan Nasional.  Daripada bilangan orang Melayu yang meminjam buku, dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa anak-anak Melayu yang berumur 5-14 tahun lebih cenderung meminjam buku-buku Inggeris. Hanya 30.7% daripada mereka meminjam buku-buku Melayu. Dapatan yang sama juga diperoleh daripada golongan peminjam Melayu yang berumur 15 tahun ke atas.  Hanya 34.8% daripada golongan ini memilih untuk meminjam buku-buku Melayu.  Kita harus sama-sama cuba mengubah keadaan ini kerana tabiat membaca buku-buku Melayu dapat mempertingkat kemahiran bahasa Melayu. Selain itu, membaca menambah ilmu pengetahuan, memberikan idea-idea baharu, memperluas pemikiran serta memperkaya kehidupan kita.

11.     Pertubuhan-pertubuhan Melayu seperti KGMS boleh menerajui langkah untuk menyemarakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat penutur bahasa Melayu.  Bahasa merupakan sebahagian daripada budaya kita. Dengan  usaha yang berterusan daripada pelbagai pihak, kita akan dapat mengekalkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Ini sesuai dengan konteks dwibudaya yang boleh kita kembangkan di kalangan para pelajar kita. Para pelajar kita boleh mengikuti perkembangan ekonomi, politik dan sosial negara-negara di rantau ini, khususnya  negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.

12.     Pengekalan bahasa tidak dapat dilakukan dengan melakukan sesuatu terhadap bahasa sahaja. Penuturnya harus menggerakkannya ke satu arah atau corak yang baharu. Untuk membawa bahasa Melayu ke satu peringkat yang lebih tinggi,  guru, ibu bapa dan masyarakat harus berganding bahu 

13.     Cikgu-cikgu sekalian, perubahan berlaku secara berterusan. Persekitaran dan keperluan mengubah sikap manusia terhadap bahasanya . Penekanan dalam bidang pendidikan juga berubah dan kemahiran yang baharu perlu disemai melalui system pendidikan kita. Namun, peranan guru sebagai pembimbing akan tetap kukuh. Oleh itu, teruskanlah usaha cikgu untuk menyemarakkan minat pelajar kita ke atas bahasa Melayu.

14.     Terima kasih.

_________________________________________________________________

[1] Makalah “Strategies for Language Maintenance and Revival  ini terdapat dalam buku Language Endangerment and Language Maintenance (2002) oleh David Bradley dan Maya Bradley

 

 



 
 

Page Last Updated : 02-Jan-2008

This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x
Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved.
Privacy Statement | Terms of Use