![]() |
|
|
UCAPAN ENCIK HAWAZI DAIPI, SETIAUSAHA PARLIMEN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN & KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA, DAN PENGERUSI JAWATANKUASA BULAN BAHASA 2004,
Encik Yatiman Yusoff, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Penerangan dan Kesenian dan Pengerusi, Majlis Bahasa Melayu Singapura
Para Anggota Parlimen,
Pengenalan
1. Dalam Bulan Bahasa yang lalu, iaitu pada tahun 2002, kita telah bersama-sama menjayakan banyak aktiviti yang bertemakan ‘Indahnya Bahasaku’. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberikan peluang kepada kita menikmati keindahan bahasa Melayu. Kita juga telah melakarkan rancangan untuk memberikan penekanan dalam aspek bahasa yang berbeza secara berperingkat-peringkat dalam setiap Bulan Bahasa.
2. Bulan Bahasa 2004 kali ini memberikan penekanan ke atas aspek ‘Keterampilan Bahasa Melayu.’ Mengapakah ‘Keterampilan Bahasa Melayu’ penting? Keterampilan Bahasa Melayu merujuk kepada kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi wahana ilmu, pemikiran, kesenian, kesusasteraan, dan bidang-bidang lain lagi . Kita mempunyai lebih daripada 60,000 patah perkataan yang tersenarai dalam kamus, tidak termasuk istilah-istilah khusus dalam kamus-kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu terus berkembang sejajar dengan kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu. Masyarakat penutur bahasa Melayu perlu yakin akan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat penghubung. Apabila masyarakat penutur bahasa Melayu sedar akan keupayaan bahasa mereka ini, minat untuk mendalami pengetahuan dan menggunakan bahasa Melayu diharap akan meningkat. Namun kemajuan seterusnya bergantung kepada usaha, iltizam (komitmen) dan kesungguhan penutur bahasa itu sendiri untuk menggunakan dan menghayatinya, lebih-lebih lagi dengan lebih meluasnya penggunaan bahasa Inggeris dalam masyarakat kita. Tidak kurang pentingnya ialah rasa bangga akan warisan kita ini yang ampuh menjadi penyebar nilai-nilaihidup, tradisi dan budaya Melayu kepada generasi seterusnya.
3. Keterampilan bahasa Melayu dapat dilihat daripada perkembangan usaha membina bahasa Melayu sebagai bahasa moden. Sejak lebih 30 tahun lalu, kita telah membakukan bahasa Melayu di Singapura dari segi ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa dan sebutan bersama-sama dengan negara jiran kita. Usahlah kita beranggapan bahawa pembakuan bahasa kita ini hanya dalam soal sebutan. Kemajuan yang kita telah capai lebih meluas. Slogan Bulan Bahasa kali ini, ‘Baku Bahasaku’ mengingatkan masyarakat mengenai kemajuan dan pembangunan bahasa kita sebagai bahasa moden yang relevan. Inilah peranan Bulan Bahasa yang kita anjurkan setiap dua tahun. Ia mengingatkan masyarakat akan perlunya kita menggunakan bahasa kita dengan baik.
4. Jati diri kita sebagai Melayu Singapura harus dikukuhkan melalui tunjang budaya kita -- bahasa. Dalam kita bergerak seiringan dengan rakyat Singapura yang lain untuk membangunkan satu Singapura, kita juga harus mengekalkan identiti Melayu kita dengan terus mengembangkan bahasa dan budaya Melayu di kalangan masyarakat kita. Dengan identiti Melayu dan keakaran bangsa yang kukuh, di samping meneruskan kemajuan dalam pelbagai bidang lain, kita akan menjadi masyarakat seimbang yang dinamik, maju dan mampu bersaing dalam arena antarabangsa.
5. Kebolehan kita melaksanakan hasrat mengekal, mengukuh dan mengembangkan jati diri kita di negara majmuk ini seharusnya, malah sememangnya, menjadi sumber yakin diri kita sebagai rakyat Singapura berketurunan Melayu. Kemajuan yang kita capai dalam bidang pendidikan, kerjaya dan amalan agama Islam, serta taraf hidup yang kian meningkat juga menjadi sumber kebanggaan dan keyakinan kita. Walaupun kemajuan kita sederhana berbanding dengan kaum lain, apa yang kita capai tidak dapat disangkal. Oleh itu, usahkan kita terpengaruh atau terpesong oleh mana-mana pihak, baik di dalam atau di luar Singapura, yang memburuk-burukkan keadaan kita di sini. Kita tahu yang mana benar, yang mana dusta; yang mana permata dan yang mana kaca.
6. Bagi menggulung kata alu-aluan saya ini, saya ingin mengingatkan bahawa bahasa Melayu menjadi tunjang keakaran Melayu Singapura. Bahasa menjadi mestika masyarakat kita. Untuk itu izinkan saya meminjam keprihatinan dan harapan Cikgu Aliman Hassan, pemenang Anugerah Tun Sri Lanang 2001, melalui luah rasanya ‘Bicara Seloka Bahasa Ibunda’:
Kita warga dari bangsa bersejarah
7. Akhir sekali, bagi pihak Majlis Bahasa Melayu Singapura dan para pendokong bahasa dan budaya Melayu di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih anda dan kesemua 46 badan Melayu, termasuk Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di balai-balai rakyat dan kelab masyarakat, institusi pengajian tinggi dan persatuan-persatuan mahasiswa kita kerana berganding bahu menjayakan Bulan Bahasa 2004. Terima kasih yang tidak terhingga khusus kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, atas kesediaan beliau merasmikan Bulan Bahasa kita ini. Ia menandakan sokongan beliau dan pemerintah kepada usaha kita mengembangkan bahasa dan budaya serta kemajuan masyarakat Melayu Singapura.
8. Terima kasih.
|
|
Page Last Updated : 02-Jan-2008 This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved. Privacy Statement | Terms of Use |