![]() |
|
UCAPAN ENCIK HAWAZI DAIPI, SETIAUSAHA PARLIMEN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN, DI MALAM BANGSAWAN, 26 JULAI 2002, 8.00 MALAM, SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG
Encik Lai Fee Kwong, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Sekolah (School Advisory Committee, SAC) dan anggota Jawatankuasa Penasihat Sekolah
Cik Tan Lay Choo, Pengetua Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang,
Wakil-wakil pertubuhan,
Pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan,
Guru-guru Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang,
Ibu bapa dan para pelajar sekalian
1 Malam ini adalah malam yang istimewa. Saya sudah lama tidak menonton bangsawan. Persembahan bangsawan yang akan disajikan oleh pelajar sekolah ini nanti tentunya akan mengingatkan kita kepada zaman kegemilangan satu unsur kesenian dan kebudayaan Melayu di Singapura pada satu ketika dahulu. Persembahan ini juga mempunyai erti tambahan kerana ia diadakan dalam Bulan Bahasa 2002.
2 Seperti yang dimaklumi, bangsawan adalah salah satu daripada aktiviti pengayaan bagi para pelajar yang mengikuti program Pilihan Bahasa bagi Sekolah Menengah (EMAS). Pemilihan bangsawan sebagai aktiviti pengayaan bersesuaian dengan objektif pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Melalui bangsawan, para pelajar dapat mempelajari pelbagai aspek bahasa seperti laras dan gaya bahasa bangsawan di samping berpeluang menggunakan bahasa berirama seperti pantun, syair, gurindam dan seloka.
3 Melalui bangsawan juga, para pelajar dapat menghayati salah satu kesenian Melayu dan mempelajari nilai-nilai moral yang terdapat dalam cerita yang dipersembahkan. Ini adalah satu cara yang baik untuk memupuk nilai-nilai murni di samping meningkatkan kerjasama dan mengeratkan silaturrahim antara para pelajar dan guru.
4 Saya mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan para pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang kerana menganjurkan persembahan bangsawan pada malam ini. Ini adalah kali pertama persembahan bangsawan serupa ini dianjurkan oleh sebuah sekolah di Singapura. Syabas!
Para hadirin sekalian,
5 Pada 31 Jan 2000, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Usaha ini dijalankan dengan tujuan untuk membantu setiap pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu mempelajarinya ke tahap yang termampu dan setinggi mungkin.
6 Pelajar-pelajar yang mempunyai keupayaan dan kecenderungan dalam bahasa Melayu, digalakkan mengambil Bahasa Melayu Lanjutan. Diharapkan para pelajar ini akan memainkan peranan sebagai penyulam bahasa dan budaya, melestarikan keunggulannya dan mengembangkan penggunaannya antara lain melalui bidang keguruan, kewartawanan dan penyiaraan serta kesenian. Jelas sekali, keputusan pemerintah menawarkan kursus EMAS ini adalah tanda sokongan pemerintah ke atas keinginan msayarakat Melayu untuk melahirkan pemuka bahasa dan budaya Melayu pada masa hadapan.
7 Program Pilihan Bahasa bagi sekolah-sekolah Menengah (EMAS) telah diperkenalkan di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang pada Januari 2001. Sambutan terhadap program ini amat menggalakkan. Seramai 252 pelajar menengah satu dan dua mengikuti program EMAS ini. Jumlah ini termasuk pelajar-pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan juga pelajar-pelajar dari sekolah lain.
8 Aktiviti-aktiviti seperti bangsawan, bengkel penulisan kreatif, dan perkhemahan bahasa dijalankan sebagai aktiviti pengayaan bagi menyokong program ini. Saya dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar EMAS yang mengikuti bengkel penulisan kreatif pada tahun 2001 telah menerbitkan sebuah buku yang memuatkan 20 buah karya kreatif hasil pena pelajar-pelajar itu sendiri. Buku yang berjudul 'Setitis Kasih Segunung Harapan' telah dilancarkan pada 12 haribulan Mac 2002 di Perpustakaan Masyarakat Choa Chu Kang. Kemunculan buku itu telah menambah lagi khazanah percetakan buku-buku Melayu yang dihasilkan oleh penulis-penulis setempat.
9 Saya ingin menekankan bahawa aktiviti-aktiviti pengayaan yang dijalankan bagi menyokong program EMAS adalah aktiviti-aktiviti yang sihat dan bermanfaat. Saya menyeru kepada ibu bapa agar terus memberikan sokongan padu kepada pihak sekolah dan para pelajar yang mengikuti program ini. Kepada para pelajar pula, saya berharap anda semua akan dapat menyeimbangkan minat dan usaha dalam mempelajari dan mengayakan diri dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam mata pelajaran lain. Saya percaya jika diberikan rangsangan yang betul dan berterusan, sekitaran yang menggalakkan, dorongan dan kesungguhan, pelajar-pelajar ini berupaya memenuhi hasrat dan aspirasi diri mereka sendiri, keluaraga sekolah, masyarakat dan negara.
10 Untuk para pelajar dan guru-guru yang telah bertungkus-lumus menyiapkan diri bagi persembahan malam ini, terima kasih kami ucapkan. Minat, kesungguhan dan penat lelah anda amat kami hargai. Bagi Cik Tan Lay Choo, Pengetua Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, tahniah kami ucapkan.
11 Sekian, terima kasih.
|
Page Last Updated : 02-Jan-2008 This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved. Privacy Statement | Terms of Use |