![]() |
|
UCAPAN ENCIK HAWAZI DAIPI, SETIAUSAHA PARLIMEN, KEMENTERIAN PENDIDIKAN DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA 2002, JUMAAT, 5 JULAI 2002, DI EDUTORIUM, KEMENTERIAN PENDIDIKAN @ 4.30 PM
Laksamana Pertama Teo Chee Hean
Menteri Pendidikan dan Menteri Kedua Pertahanan
Encik Yatiman Yusof
Setiausaha Parliamen, Kementerian Penerangan dan Kesenian
Teman-teman Anggota Parlimen
Anggota Jawatankuasa Penganjur Bulan Bahasa 2002
Wakil kedutaan, para tamu dari Riau,
Para pengetua sekolah, guru dan pelajar
Sambutan Bulan Bahasa tahun ini bertujuan menyebarluaskan mesej untuk melestarikan bahasa Melayu dengan memelihara keindahan dalam pragmatik berbahasa supaya masyarakat lebih mengenali dan menghayati bahasa Melayu. Kami berharap dapat mendedahkan kepada masyarakat pelbagai genre yang terdapat dalam bahasa Melayu yang indah dan unik seperti sajak, pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, peribahasa, teromba, talibun, mantera dan dikir. Kekayaan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu yang diisi dengan kata-kata indah dan beralas seharusnya dikenali dan digalakkan penggunaannya dalam penulisan, malah jika boleh dalam pertuturan. Unsur-unsur sedemikian semakin menghilang. Jika dibiarkan, kita akan mengenali bahasa Melayu dalam bentuk yang terkininya sahaja.
Maka Jawatankuasa Bulan Bahasa 2002 menyarankan perancangan berperingkat bagi sambutan Bulan Bahasa agar lebih fokus dan bermatlamat. Emat peringkat perkembangan yang diharapkan dapat direalisasikan demi memastikan kesinambungan dalam mencapai objektif melestarikan bahasa Melayu di Singapura. Selain daripada mengetengahkan aspek keindahan bahasa Melayu dalam sambutan tahun ini, kami menyarankan aspek-aspek berikut bagi sambutan pada tahun-tahun mendatang: ketrampilan, kedinamikan, dan seterusnya kesarwajagatan bahasa Melayu
Berpandukan hakikat ini, tema sambutan Bulan Bahasa tahun ini ialah "Indahnya Bahasaku". Matlamatnya supaya masyarakat penutur bahasa Melayu sedar akan keindahan yang ada dalam bahasa Melayu yang seharusnya dilestarikan; bukan dicemari atau dikesampingkan kepentingannya. Kita tidak dapat menolak gelombang perubahan yang melanda bahasa terutama sekali dengan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak kita. Namun, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu terus segar dan berkembang seiring dengan bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu, sebagai bahasa ibunda, sebenarnya merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan Singapura. Bahasa Inggeris diberikan fungsi penyalur ilmu serta penyambung lidah dan setiakawan di kalangan pelbagai kaum di negara kita, sementara bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda berfungsi sebagai penyulam budaya dan nilai dalam diri penuturnya. Ilmu dan budaya melengkapkan insan. Orang yang berilmu, berkemahiran dan pada masa yang sama terdidik tentang nilai dan budayanya adalah bagai seorang bangsawan moden. Beliau berfikiran dan bersikap kosmopolitan, tetapi bersandarkan kepada nilai dan jatidiri kemelayuannya. Perlunya arif budaya ini lebih-lebih lagi penting sekarang ini sedang kita terdedah kepada pengaruh cara bertindak dari luar yang tidak seaman, tidak selembut dan tidak sehormat cara Melayu, walaupun ia datang dari masyarakat seagama dengan kita.
Bahasa Melayu di Singapura tidak ketinggalan dalam perkembangan bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu juga mampu mengikuti perkembangan bahasa Inggeris terutama sekali dengan kemajuan sains dan teknologi. Menyingkap sejarah, kita dapati bahasa Melayu, sebenarnya, MENYERAP UNSUR-UNSUR bahasa Melayu kuno, Sanskrit, Tamil, Davida, Hindi, Arab, Farsi, Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris. Faktor fleksibiliti dalam menyerap istilah-istilah baru ini membantu dalam usaha menjadikan bahasa Melayu relevan dan diangkat sebagai bahasa keempat paling banyak penuturnya di dunia.
Menggunakan istilah baru demi perkembangan bahasa dan memudahkan perhubungan mungkin dapat diterima tetapi perbuatan menterjemah secara sewenang-wenangnya tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja kerana akan menjejas keindahan dan jatidiri bahasa kita. Saya berharap agar pihak media massa akan menyokong usaha kami dalam menyebarluaskan mesej menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana keindahan sesuatu bahasa itu bukan hanya terletak PADA kepelbagiannya tetapi dalam penggunaannya yang betul.
Bulan Bahasa ini amat istimewa kerana kegiatan-kegiatan yang dilakarkan merentas usia iaitu daripada peringkat pra-sekolah sehingga peringkat usiawan. Semua golongan dalam masyarakat penutur bahasa Melayu berpeluang menikmati keindahan dan kedinamikan bahasa Melayu di Singapura serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti tersebut yang bercorak peraduan, ceramah, kuiz, pameran, pelancaran buku, sesi bercerita, pementasan dan sebagainya. Malahan ia juga disokong oleh Kementerian Pendidikan Singapura, Lembaga Perpustakaan Negara, stesyen-stesyen radio dan televisyen Mediacorp Pte Ltd, akhbar Berita Harian, sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan Melayu dan bukan Melayu, balai-balai rakyat dan orang perseorangan.
Sering kita dengar perbualan di radio dan televisyen antara pengacara rancangan dan penonton mahupun pendengar. Mereka yang diwawancara kadangkala kelihatan atau kedengaran kekok bertutur dalam bahasa Melayu kerana kurang pengalaman berbuat demikian di khalayak. Hal ini juga mendapat perhatian kami. Maka sambutan Bulan Bahasa tahun ini merupakan peluang untuk orang ramai menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dengan mengikuti kegiatan-kegiatan yang telah dirancangkan. Malahan, mereka juga dapat mendalami dan mengenali bahasa Melayu dengan lebih rapat lagi melalui ceramah dan pameran yang dianjurkan.
Kami berharap agar Bulan Bahasa ini akan menjadi wadah yang digunakan dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat penutur bahasa Melayu untuk meningkatkan imej bangsa Melayu sebagai bangsa yang mampu menyerap pengaruh luar tanpa menjejas jati diri bahasa dan BUDAYANYA. Akhir kata, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada tetamu terhormat kita, Laksamana Pertama Teo Chee Hean, kerana sudi merasmikan pelancaran Bulan Bahasa kita ini. Demikian juga KEPADA semua tamu, termasuk Bapak Salleh Djasit, Gubenor Propinsi Riau, dan Ibu Salleh Djasit, serta para pelajar.
Izinkan saya melengkapkan ucapan ini dengan serangkap pantun :
| Tingkap papan kayu bersegi, Sampan sakat di pulau Angsa, Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa. |
Terima kasih.
|
Page Last Updated : 02-Jan-2008 This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved. Privacy Statement | Terms of Use |