![]() |
|
UCAPAN LAKSAMANA TEO CHEE HEAN, MENTERI
PENDIDIKAN DAN MENTERI KEDUA PERTAHANAN,
DI SEMINAR MASJID-MASJID MUIS
PADA HARI AHAD 25 JUN 2000 JAM 9.00 PAGI
DI HOTEL SHANGRI-LA
Tuan Haji Maarof Salleh, Presiden MUIS
Tuan Syed Isa Mohd Semait, Mufti Negara
Para anggota Majlis MUIS
Para tetamu dari Mabims (Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia)
Para pentadbir masjid
Tuan-tuan dan puan-puan
Selamat pagi saya ucapkan kepada anda sekalian.
Kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang-bangsa dan berbilang-agama. Kehidupan negara kita dibina atas dasar keharmonian dan perpaduan rakyat kita. Dengan berusaha bersama-sama, kita dapat menghadapi cabaran-cabaran baru dan menggunakan sepenuhnya peluang-peluang baru untuk membina kehidupan yang lebih baik bagi semua rakyat kita.
Globalisasi dan revolusi Teknologi Maklumat (IT) sedang mengubah dunia kita. Setiap negara perlu membuat penyesuaian untuk menghadapi cabaran-cabaran baru ini. Sebagai rakyat Singapura, kita harus menyambut baik cabaran-cabaran ini. Singapura sentiasa terbuka kepada dunia. Sistem pendidikan kita sedang mempersiapkan anak-anak kita dengan baik bagi menghadapi masa hadapan. Rakyat kita amat beruntung kerana mereka adalah antara orang-orang yang paling bersedia dalam dunia ini untuk merebut peluang-peluang yang disediakan oleh globalisasi and revolusi maklumat.
Perubahan ini akan membawa bersamanya pengaruh-pengaruh positif dan negatif. Para pemimpin masyarakat perlu memahami bagaimana hendak meraih faedah dengan menggunakan sebaik-baiknya aspek-aspek positif sementara mengurangkan akibat-akibat yang negatif.
Teknologi maklumat membolehkan kita menghubungi negara-negara dan masyarakat-masyarakat lain, tetapi ianya juga membolehkan individu dan masyarakat menyisihkan diri. IT membolehkan kita membina rangkaian pembelajaran yang sangat kuat dengan institusi-institusi pendidikan dan guru-guru yang terulung dari sekeliling dunia dan ini membuka peluang-peluang pembelajaran yang baru.
Namun demikian, IT juga membolehkan kita mengasingkan diri dari dunia luar untuk hidup dalam dunia maya kita sendiri. Kita boleh melintasi ruang siber untuk mendapatkan matlamat yang sama dengan mereka yang berada di seberang lautan. Tetapi kita mungkin terlupa untuk menghulurkan tangan tanda persahabatan, atau memberikan senyuman kepada jiran kita yang berada berdekatan dengan kita. Kita mesti belajar hidup dalam dunia maya ruang siber. Kita tidak seharusnya lupa bahawa kehidupan sebenar terus wujud dalam dunia sebenar di kalangan masyarakat sekeliling kita.
Globalisasi bererti bahawa kita perlu bersikap terbuka kepada dunia and kepada idea-idea baru. Kita mesti memahami budaya-budaya lain serta perubahan-perubahan yang dibawa oleh perkembangan dalam bidang sains dan teknologi.
Namun, setiap masyarakat dan kaum mahu mengekalkan nilai, tradisi dan budaya masing-masing. Tiap seorang dari kita mahukan sebuah panduan moral supaya kita tidak sesat jalan dalam dunia yang cepat berubah dan membingungkan.
Itulah sebabnya sekolah-sekolah kita menekankan tentang peri perlunya bahasa ibunda dan pendidikan moral. Ini akan membantu anak-anak kita mengekalkan budaya, warisan dan nilai-nilai mereka. Pada bulan Januari tahun ini, saya telah mengumumkan bahawa kita akan memperkukuhkannya lagi. Lebih ramai pelajar kini layak mempelajari Bahasa Ibunda Lanjutan di peringkat sekolah menengah. Dan bagi masyarakat Melayu, tiga program baru sedang diperkenalkan. Dari tahun depan, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Maktab Rendah Tampines akan memulakan program elektif khas Bahasa Melayu untuk menggalakkan para pelajar supaya melanjutkan minat mereka dalam bahasa, sastera dan budaya Melayu di Sekolah Menengah dan Maktab Rendah. Bagi mereka yang ingin melangkah lebih jauh, pihak Institut Pendidikan Kebangsaan atau NIE akan mula menawarkan program Kepujian dalam Bahasa dan Sastera Melayu.
Saya juga memahami dan menyokong keinginan masyarakat Islam untuk memupuk asatizah mereka sendiri. Pada masa ini, lebih kurang 400 orang kanak-kanak, atau 4% daripada pelajar Darjah 1 Muslim memasuki tahun 1 madrasah sepenuh masa setiap tahun. Apabila pendidikan wajib dilaksanakan, madrasah-madrasah boleh terus mengambil masuk pelajar-pelajar sepenuh masa sehingga yang sama bilangannya bagi tahun 1. Pelajar-pelajar ini akan dikecualikan daripada menuntut di sekolah-sekolah nasional. Pihak madrasah bolehlah terus menyediakan bakal asatizah bagi masyarakat Islam dari kalangan pelajar-pelajar ini.
Untuk membolehkan para pelajar mereka layak dikecualikan, madrasah-madrasah ini perlu memenuhi taraf tertentu bagi Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat PSLE. Taraf ini, yang seharusnya ditetapkan pada peringkat yang munasabah, kini sedang dibincangkan oleh jawatankuasa Dr Aline Wong, MUIS dan kumpulan kemasyarakatan.
Semua pelajar di Singapura, termasuk mereka yang bakal menjadi pemimpin agama, memerlukan asas pengetahuan yang teras untuk mempersiapkan mereka bagi kehidupan dalam masyarakat berteraskan ilmu pada masa akan datang. Kesemua pelajar juga perlu membangunkan cita-cita bersama untuk lebih memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian sosial kita dalam Singapura masa depan.
Cabaran-cabaran ini tidaklah unik bagi Singapura. Orang-orang yang tinggal di setiap negara dan yang menganuti setiap agama dalam dunia ini juga menghadapinya.
Keadaan sekitaran yang terbuka, berpandangan jauh, berbilang-bangsa dan berbilang-agama di Singapura merupakan satu kelebihan yang besar. Rakyat kita, terutamanya rakyat muda Singapura, sudah biasa dengan kehidupan dalam dunia moden, berbilang-budaya dan cepat berubah. Para pemimpin masyarakat dan pemimpin agama kita mempunyai peranan yang istimewa untuk membantu rakyat Singapura mendapatkan keseimbangan untuk hidup dalam Singapura moden, dan dalam dunia moden.
Kumpulan-kumpulan agama, bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan-agama, boleh meneroka bidang baru untuk berdialog dan bekerjasama. Setengah-setengah masjid sudahpun mula mengadakan kegiatan-kegiatan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan-Islam. Kegiatan-kegiatan sedemikian dapat membantu dalam memupuk persefahaman di kalangan kumpulan-kumpulan etnik dan agama yang berbeza. Dengan berkongsi pengalaman dan sudut pandangan, mereka dapat membantu semua masyarakat di Singapura maju bersama.
Masjid-masjid di Singapura, yang dipimpin oleh MUIS, merupakan contoh yang baik tentang bagaimana institusi keagamaan boleh berubah mengikut masa. Dalam jangka masa 30 tahun yang lalu, masjid-masjid telah berjaya mengubah diri mereka untuk menjadi agen-agen perubahan sosial, dengan menggalakkan kegiatan-kegiatan muhibbah dan sosial bagi kedua-dua masyarakat Islam dan bukan-Islam. Sejak tahun 1991, lapan buah masjid baru dengan rekabentuk dan kemudahan-kemudahan moden telah dibina. Di samping menyediakan ketenangan rohani, masjid-masjid kita juga menyediakan berbagai-bagai kegiatan sosial seperti kelas pra-sekolah, kelab komputer, khidmat kaunseling, kursus-kursus kekeluargaan dan keibubapaan, dan juga program-program pembangunan belia.
Satu contoh yang menarik adalah program yang dijalankan oleh Masjid Al-Khair bersama Sekolah Menengah Choa Chu Kang. Para pelajar sekolah itu yang bukan-Islam kini dapat memahami agama Islam dengan lebih baik lagi, dan dalam proses ini, mereka menjadi lebih mesra dengan teman-teman mereka yang beragama Islam.
Pengalaman masjid Singapura jelas menunjukkan bahawa institusi-institusi keagamaan dapat memberikan sumbangan yang cukup besar terhadap pembangunan negara.
Dengan sukacita saya nyatakan di sini bahawa banyak masjid mengambil tindakan proaktif dalam menganjurkan program-program bagi pembangunan masyarakat. Umpamanya, mereka telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menggalakkan gaya hidup sihat, menganjurkan pemeriksaan kesihatan dan pameran mengenai bahaya merokok. Banyak masjid telah memberikan sokongan mereka dalam mengadakan pameran-pameran mengenai penyakit ginjal dan mendapatkan ikrar ginjal.
Masjid-masjid hendaklah meninjau bagaimana mereka dapat bekerja lebih rapat lagi dengan agensi-agensi pemerintah, terutama sekali dengan Persatuan Rakyat, supaya sumber-sumber mereka dapat digunakan dengan sebaik-baiknya dan memberi manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat.
Dalam seminar hari ini, anda akan membincangkan bagaimana amalan-amalan yang terbaik dalam masjid-masjid dapat diinstitusikan supaya institusi ini dapat menjadi pusat-pusat contoh bagi perkhidmatan kepada masyarakat. Semoga anda meraih kejayaan dalam perbincangan anda dan semoga anda akan terus memimpin masjid sebagai pusat-pusat yang cemerlang pada masa hadapan.
Terima kasih.
|
Page Last Updated : 02-Jan-2008 This site is best viewed with IE ver 5.x and Netscape ver 7.x Copyright 2004 Ministry of Education. All rights reserved. Privacy Statement | Terms of Use |